Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 24, 2011

IBRAH DARI MESIR : PERANAN GENERASI MUDA


Kejatuhan Regim Hosni Mubarak terhadap revolusi dan tuntutan rakyat Mesir baru-baru ini telah memberikan gambaran luar biasa terhadap sebuah keangkuhan kuasa autokrasi Sang Pemerintah yang telah berkuasa 3 abad lamanya.

Ini sudah pastinya memberi seribu satu pengajaran yang amat penting kepada masyarakat dunia.
Nekad jutaan rakyat yang mendesak,berhimpun dan berkampung beramai-ramai di Medan Tahrir membuahkan hasil yang tidak mengecewakan.

Apa yang lebih membanggakan, sebilangan besar yang terlibat dalam proses revolusi rakyat ini merupakan golongan pemuda yang berjiwa kental dan bersemangat waja. Nabi s.a.w. pernah bersabda :
حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

“Aku di dokong oleh para pemuda. Sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua".
Ungkapan Baginda s.a.w. ini jelas mengiktiraf fungsi dan peranan para pemuda dalam mendokong serta merealisasikan perjuangan yang dibina batu asas oleh Baginda s.a.w. Pemuda merupakan ejen perubah bagi ummah keseluruhannya.

Sejarah telah membuktikan, lahirnya pemuda-pemuda seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan Solahuddin Al-Ayubi telah menjadi pencetus kepada kebangkitan Kerajaan-Kerajaan Islam di pelusuk dunia.


PERANAN


Pemuda seharusnya mempunyai keupayaan yang maksima serta kesungguhan yang jitu untuk mendalami urusan agama agar golongan ini tahu dan faham secara masak dalam hal berkait dengan ‘produk’ (Islam) yang ingin di’pasar’kan (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat .
Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadamkan cahaya hidayah Allah s.w.t.
CEPAT BERTINDAK

Kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai prasarana kemudahan penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat. Kita memerlukan pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah yang terpikul. Sabar mendepani mehnah serta bijak melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah melengkapkan aspek dan ciri-ciri kemenangan.

SIFAT PEMUDA


Pemuda yang memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas serta menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah sudah tentunya melonjak momentum kekuatan dalaman yang digeruni pihak lawan.


Pemuda tulen adalah pemuda yang tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau muslihat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah walaupun rutin mereka bergalas peluh dan keringat .


Matlamat perjuangan pemuda tidak mengenal istilah kalah atau gugur melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah SWT atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan persada perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian utama yang ingin dicapai .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

KESIMPULAN

Pemuda mestilah sentiasa dalam kondisi dan keadaan bersiap siaga . Bersedia apabila diperlukan. Hadir apabila dipanggil. Bertindak apabila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan persatuan (jamaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dengan alasan yang tidak wajar.

Ditulis oleh :

Mohd Azarul Aiman Rosli

Ijazah Sarjana Muda Kuliah Syariah Wal Qanun,
Syu'bah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar.

Thursday, February 17, 2011

JOM MENGUNDI!


KEWAJIPAN

[1]
Menurut pandangan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.

[2] Pada pandangan beliau lagi, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung, atau kerana berharap dapat mengambil manfaat bila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat ke-2 yang bermaksud, "Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah."

[3] Manakala sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) sehingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian.

Firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud, "Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil." "Dan janganlah kalian (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang-orang yang berdosa hatinya." (al-Baqarah: 283)

[4]
Walaupun perkara-perkara di atas lebih ditujukan kepada piliharaya untuk menentukan kerajaan bagi sesebuah negara, saya berpandangan, prinsipnya tetap sama dalam Pilihanraya Kampus (dan mana-mana pemilihan untuk melantik kepimpinan) iaitu kewajipan memberi kesaksian (wajib turun mengundi), memberi penyaksian yang benar (mesti pilih calon yang terbaik) dan dilarang menyembunyikan penyaksian (tidak boleh untuk tidak mengundi).

CALON


Calon-calon pemimpin mahasiswa Islam mestilah bergerak untuk mengurus politik dan menyampaikan dakwah yang matlamatnya adalah untuk ubudiyyah kepada Allah. Mereka perlu berusaha membuka mata masyarakat dan mempamerkan bahawa Islam ialah “solution” atau penyelesaian bagi setiap masalah sosial (dan lain-lain) yang timbul. Penerapan dakwah dan konsep amar ma’ruf nahi mungkar diperjuangkan untuk membentuk satu biah yang Islamik dan bersesuaian dengan perintah Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

KEMPEN

Budaya kempen dan gerak kerja piliharaya yang lain mestilah jauh dari unsur provokasi dan sekadar melancarkan serangan persepsi – walaupun itulah unsur politik - , namun adalah lebih baik jika ia diisi dengan ilmu dan informasi yang benar dan bermanfaat serta menonjolkan qudwah yang baik kepada massa.

PILIHANRAYA


Pilihanraya peringkat mahasiswa bukan medan merebut kuasa. Pemilihan peringkat kampus bukannya medan membalas dendam atau menunjuk siapa yang lebih gagah dan lebih kuat. Tetapi pilihanraya kampus adalah medan yang terbaik untuk menyemai hikmah dan menyubur adab sebagai mana yang tergambar melalui tema Taman Ilmu dan Budi, UIAM tercinta ini.

SERUAN SAYA


Diharapkan kepada semua calon, agar dapat bertanding dalam suasana dan semangat ukhuwwah Islamiyyah serta menjadikan PRK sebagai medan dakwah dan tarbiyyah. Walaupun berbeza tujuan dan sebab-sebab penyertaan dalam PRK, namun atas nama Islam, saya berharap calon-calon dapat bertemu dengan setiap pelajar (mad’u) untuk menyampaikan mesej yang terkandung dalam ucapan saidina Umar al-Khattab :

نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله

"Kita adalah suatu kaum yang diberi kemulian oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kemuliaan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt ."

Sama-samalah kita menghayati pesanan ini agar kita menjadi seorang insan atau manusia yang berbangga dengan agama yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Kepada seluruh pelajar UIAM, tunaikan kewajipan anda sebagai pengundi.

Jom Mengundi!

Wallaua’lam.

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

[1] Lahirnya Rasulullah s.a.w. di bulan Rabi’ul Awwal lebih 1400 tahun yang lalu, telah membawa rahmat ke sekalian alam kerana dengan pengutusannya, Islam disebarkan. Lahirnya penghulu para rasul dan penutup segala nabi ini, diikuti dengan sebuah perjalanan kehidupan yang penuh dengan ujian. Inilah perjuangan memastikan umatnya selamat untuk balik bertemu Allah s.w.t.

[2] Kelahiran baginda Nabi s.a.w. disambut dengan terpadamnya api yang disembah penganut Majusi, runtuhnya empat belas anjung istana Kisra Parsi dan robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah. Inilah petanda kelahiran baginda adalah untuk meruntuhkan kebatilan dan tanda rahmat untuk seluruh alam. Petanda bahwa kelahiran baginda ini akan merubah suasana jahiliyyah kepada suasana yang berlandaskan syariah. Petanda bahwa dunia ini akan mengalami satu revolusi yang bersifat ‘alamiyyah (universal).

[3] Diantara masa kelahiran sehingga saat bertarung dengan sakratul maut, Nabi s.a.w telah melalui pelbagai kesukaran, dihina, dicaci dan dipulaukan. Terlibat dalam berpuluh peperangan, Badar, Uhud, Khaibar, Mu’tah, Hunain dan Tabuk menjadi medan pertempuran. Memeterai perjanjian, namun dikhianati. Untuk apa Nabi s.a.w. perlu melalui ini semua? Sudah pasti kerana CINTAnya pada umatnya.

[4] Jasa apakah mampu untuk kita lakukan untuk membalas budi Nabi s.a.w., sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada baginda? Baginda tidak meminta, apatah lagi untuk menyuruh umatnya meraikan ulang tahun kelahiran baginda. Sungguh-sungguh Nabi s.a.w. memperjuangkan Islam untuk kita, maka kita juga mesti bersungguh-sunguh dengan Islam.

[5] Demi mengukuh pegangan kita terhadap Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., suka untuk saya memanjangkan beberapa seruan berikut kepada seluruh warga UIAM :
  1. Meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah bersifat syumul, merangkum dan menyusun seluruh hidup manusia.
  2. Meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi bagi kebangkitan umat Islam, kekuatan asasi bagi menyelamatkan dunia dan membebaskan manusia yang tertindas di bawah kuasa taghut yang zalim.
  3. Menolak fahaman sekularisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme dan ideologi-ideologi ciptaan manusia yang lain kerana menerima sistem berkenaan beerti kufur terhadap Islam dan engkar terhadap Allah s.w.t.

[6] Untuk tujuan tersebut juga, ini seruan saya kepada seluruh anggota Ma’ruf Club dan semua organisasi/persatuan/kelab yang berorientasikan dakwah yang lain :
  1. Menyebarluaskan dakwah Islam untuk memberi faham kepada warga UIAM tentang kecantikan dan keindahan Islam.
  2. Mengukuh gerak kerja amar ma’ruf nahi munkar bagi menyelamatkan warga UIAM daripada terjerumus kedalam perkara yang mengundang murka Allah s.w.t.
  3. Saling bekerjasama dan sokong menyokong di antara satu sama lain bagi membina kekuatan gelombang kebaikan di bumi UIAM.
  4. Membina kader-kader dakwah yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan qudwah yang baik serta mampu berperanan di dalam masyarakat khususnya warga UIAM.

[7] Akhir kata, tanda cinta kepada Nabi s.a.w. yang paling kuat adalah dengan memperjuangan Islam, memelihara Islam daripada sebarang hinaan dan ancaman, memastikan seluruh manusia menerima Islam, sehingga Islam dilaksanakan dalam seluruh urusan kehidupan insan sampailah kepada hal ehwal pemerintahan.

Wallahua’lam.

Sunday, February 13, 2011

Kisah CINTA

Bulan Februari bulan CINTA???

Cinta Nabi s.a.w. pada Umat

Sabda Nabi s.a.w. “Setiap nabi memiliki doa yang mustajab (pasti dikabulkan), maka setiap nabi segera menyebutkan doa-doa mereka. Sedangkan aku menunda doaku untuk memberi syafaat kepada umatku di hari kiamat...” (Riwayat Abu Hurairah r.a.)

Rasullullah s.a.w. lebih rela menanggung beban kezaliman musyrikin sehingga patah giginya, mengalir darah dari tubunya, tertusuk besi pada pipinya, diracun makanannya, sedangkan baginda ada kelebihan untuk mengelakkan semua itu dari berlaku...itu semua kerana CINTA kepada umat.

Cinta Sahabat pada Nabi s.a.w.

[1] Rasa dahaga Nabi s.a.w. membuatkan Abu Bakar as-Siddiq bersegera mendapatkan minuman sehingga Nabi s.a.w. dapat menikmatinya. Lalu kata Abu Bakar (setelah Rasulullah s.a.w. minum air tersebut), “Maka, Nabi s.a.w. meminumnya sehingga aku merasa puas”.

Kepuasan dirinya adalah pada kepuasan Rasullullah s.a.w., orang yang dia CINTA.

[2] Permintaan Umar al-Khattab di saat kematiannya tidak lain melainkan memohon untuk dikuburkan di sebelah kubur Nabi s.a.w. Tidak ada yang lebih mengembirakan beliau melainkan setelah permohonannya mendapat keizinan daripada Aishah r.a. Katanya, “Alhamdulillah, demi Allah, sesungguhnya tidak ada apa yang lebih aku harapkan melainkan dapat dikuburkan di sebelah kuburan Rasulullah s.a.w.”

Sehingga setelah kematiannya pun, tetap mahu berada di samping orang yang dia CINTA.

[3] Seorang wanita ansar yang ayah, suami dan anak lelakinya turut serta dalam peperangan Uhud, tidak sedikit pun bertanya dan merisaukan tentang keadaan mereka. Wanita tersebut ke medan parang dan telah dikhabarkan tentang kematian ayah, suami dan anaknya seorang demi seorang. Khabar apa lagi yang dia mahu sehingga masih terus berada di medan itu? Ya, khabar berkenaan orang yang dia CINTA lebih dari ahli keluarganya, Rasulullah sa.w. Katanya kepada Rasulullah s.a.w. setelah mandapati baginda selamat, “Segala musibah setelah keselamatn engkau adalah ringan”.

Tidak penting kematian ayah, suami dan anaknya, kerana yang penting dalam hidupnya adalah Rasulullah s.a.w. Inilah CINTA.

[4] Sawad, seorang sahabat yang bertubuh besar, telah di’pukul’ oleh Nabi s.a.w. kerana menjadikan barisan tentera tidak lurus dalam peperangan Badar. Pukulan itu telah ‘menyakitkan’ Sawad, lalu meminta untuk di’balas’ pukulan Nabi s.a.w. itu. Rasulullah s.a.w. membuka bajunya, dan membenarkan Sawad untuk memukulnya. Namun apa yang dilakukan Sawad.....mendakap dan mencium tubuh Rasulullah s.a.w. Hairan Nabi s.a.w. dengan tindakan Sawad, lalu mohon penjelasan. Kata Sawad, “.....aku ingin akhir masaku di dunia dengan menempelnya tubuhku pada tubuh engkau wahai Rasulullah s.a.w., sehingga Allah mengharamkan bakaran neraka ke atas tubuhku....”

Allahuakbar, hebatnya CINTA seperti ini.

Dan kisah-kisah cinta ini...

[5] CINTA Tsauban – menangis kerana (hanya) malam telah memisahkan dirinya dengan diri Rasulullah s.a.w.

[6] CINTA Abu Thalhah – pemanah tepat yang menjadikan tubuhnya benteng melindungi Nabi s.a.w. dalam peperangan Uhud. Kematiannya didahulukan, Rasulullah s.a.w. diutamakan.

[7] CINTA Abu Dujanah – Punggungnya dipenuhi anak panah sehingga kelihatan seperti landak ketika menjadi benteng kepada Rasulullah s.a.w.

[8] CINTA Ummu ‘Ammarah – Dipukul dengan pedang sehingga kelihatan tulang sikunya dan bercucuran darah keluar darinya. Cuba diselamatkan oleh anaknya, tetapi melarang dengan katanya, “Biarkan aku, Rasulullah s.a.w. harus engkau lindungi”.

Inilah beberapa kisah CINTA dari orang-orang mulia yang mencinta Nabi s.a.w., yang kerana CINTA mereka, menjadikan mereka bersama baginda di syurga.

CINTA DURJANA Umat Akhir Zaman

Malangnya, terdapat dikalangan umat pada hari ini, demi cintanya pada manusia yang melebihi cintanya pada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., sanggup meraikannya dengan membelakangkan hukum agama sehingga ada pula hari khas untuk meraikan cinta mereka. Lebih malang, cinta mereka diraikan dengan cara melakukan maksiat. Inilah CINTA DURJANA umat akhir zaman.

KESIMPULANNYA

Tidak cukup mencintai Nabi s.a.w. dengan sekadar berarak dan berselawat di majlis sambutannya, tetapi kehidupan baginda mestilah dijadikan ibrah, akhlak baginda dijadikan qudwah dan perjuangan baginda dijadikan sunnah.

Wallahua’lam.

Friday, February 11, 2011

ISLAM SEBAGAI SOLUSI


[1] Laporan di dada-dada akhbar yang dipaparkan hampir setiap hari menunjukkan bagaimana parahnya masalah sosial dan perzinaan yang berlaku di Malaysia, terutamanya di kalangan muda-mudi.


[2] Inilah natijah yang dapat kita saksikan dengan adanya idea kebebasan dan budaya kuning dari barat yang diterapkan di negara kita. Maksiat merajalela, kes-kes zina, kelakuan bebas, judi dan arak sudah menjadi lumrah.

[3] Pelbagai peraturan dan hukuman telah diperkenalkan, perbincangan demi perbincangan meja bulat telah diadakan. Namun bilangan kes-kes sebegini terus meningkat tanpa menunjukkan sedikit pun tanda-tanda akan reda. Tiada penyelesaian, solusi untuk pencengahan, yang ada hanya rawatan, itu pun sekadar pada simptom-simptomnya sahaja, bukan pada penyakitnya.

[4] Saya yakin dan percaya, jika benar-benar sistem Islam diterapkan nescaya kejadian yang parah ini pastinya dapat dibendung dari awal. Ini kerana di dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan perempuan, bentuk pakaian wanita muslimah, hukum memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca yang merosakkan generasi muda-mudi pada hari ini.

[5] Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu jalinanan tatatertib peraturan yang tertentu. Peraturan-peraturan ini hanya ada pada Islam.

[6] Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti berikut :

  • Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan.
  • Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya.
  • Rasulullah bersabda, "Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya." [HR. Bukhari dan Muslim].
  • Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya.
  • Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah, bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama.

[7] Bukan sahaja dalam masalah sosial Islam mempunyai solusi, juga dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan apa jua urusan kehidupan manusia. Hanya ISLAM SEBAGAI SOLUSI.

Wallahua’lam.