Pages

Ads 468x60px

Monday, February 20, 2012

Syria – Kunci Terakhir Kebangkitan Islam...


Lapan bulan sudah berlalu, namun masih tiada tanda ia akan surut. Bumi Syria menjadi saksi kekejaman rejim yang terus berlarutan walaupun siri lontaran suara rakyat dan kecaman antarabangsa terus hebat diadakan.

Di tampuk kuasa, pemerintahnya buta dan tuli rasa kemanusiaan, dan ia bukanlah suatu yang ganjil bagi mereka yang menguasai tampuk kepimpinan secara warisan. Bermula dengan ayahnya, Bashar Al-Assad terus menggasak mereka yang tidak sehaluan dengan citarasanya. Kuakan darah aktivis Ikhwan Muslimin yang bergelimpangan suatu masa dahulu belum berhenti lagi.

Isu pembataian di Syria bukanlah isu yang boleh dianggap terpencil dan lapuk di sisi umat Islam amnya. Sangat aneh jika ia dipandang remeh kerana rakyat tidak berhenti menuntut perkara yang sangat rasional iaitu hak keadilan dan layanan kemanusiaan. Hanya bermula dengan tindakan berani sekumpulan kanak-kanak yang menconteng keinginan untuk meruntuhkan kerajaan Syria di muka dinding bangunan, hukuman bunuh menjadi jawapan bagi mereka. Lantas tindakan kejam ini menuntun rakyat amnya bangkit menentang sistem lapuk tirani dan kebobrokan sosialisme Arab.

Teori Domino yang disebut-sebut seusai kebangkitan rakyat di Tunisia mengajak dunia amnya melihat belahan Timur Tengah secara khusus. Baik dari sudut pergolakan politik, kelemahan sistem ekonomi, masalah kadar pengangguran yang meningkat ditambah kelemahan urus tadir kerajaan menjadi faktor utama yang mendorong revolusi Arab. Kebangkitan Arab tidak berhenti di Mesir, ia terus berlarutan ke Yaman dan Syria, namun lain halnya di Syria berbanding Mesir, tiada lagi tanda Bashar Al-Assad akan turun dari kerusi empuknya.

Keadaan diburukkan lagi dengan penempatan tentera di Homs, serangan demi serangan ke atas rakyat terus berlanjutan walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa ia dihentikan. Lebih menyedihkan apabila masjid-masjid dirobohkan dan para penyokong Bashar Al-Assad masih boleh berarak gembira menyambut kedatangan duta Rusia ke negara itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Para ulama’ terkehadapan memimpin kebangkitan rakyat dengan mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat bangkit mempertahankan hak nyawa dan harta benda mereka. Masyarakat dunia Islam harus sedar bahawa kebangkitan rakyat bukanlah penentangan yang semberono sebaliknya ia merupakan kebangkitan akidah. Kanak-kanak dibunuh, para wanita dirogol dan mereka yang keluar memenuhi jalan-jalan raya berwuduk terlebih dahulu sebelum pergi, kerana mereka belum pasti adakah mereka akan pulang atau sebaliknya.

Inilah manifestasi rakyat yang sudah jemu dengan pemerintahan yang mengenyangkan tembolok pemerintah sedangkan rakyat berada dalam paras kemiskinan. Sosialisme Arab yang bertapak lama sudah tidak mahu diterima lagi kerana ia tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya mengaut hak mereka. Dasar sosialisme yang merampas hak individu dan menyamaratakannya dalam kalangan rakyat mencipta jurang yang besar antara rakyat dan pemerintah.

Untuk rakyat, tindakan bersuara merupakan satu dosa yang besar, mereka harus dibunuh sedangkan ironinya hak untuk bersuara dijamin oleh Islam. Hal ini ditunjukkan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Suatu hari seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dia telah dianiaya oleh jirannya. Lalu baginda mengarahkan agar dia meletakkan barang-barangnya di muka jalan berhampiran rumahnya sebagai tindakan protes terhadap jirannya. Apabila orang lalu-lalang, mereka bertanya apakah yang telah berlaku dan apabila hal sebenar diketahui, jirannya berasa malu dan menghentikan tindakannya. Inilah lunas dan alternatif Islam yang membenarkan tindakan protes atas kekejaman yang berlaku.

Allah juga telah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 148 :

“Allah tidak menyukai perkataan yang buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

Ulama’ tafsir menjelaskan “orang yang dizalimi” dalam ayat tersebut boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa tentang keburukan-keburukan orang yang menzaliminya. Lantas, salahkah rakyat Syria menuntut agar Bashar Al-Assad turun dari kerusinya dan menghentikan pembunuhan yang tidak rasional ini? Pastinya dia bukan menumpahkan darah musuh Islam, tetapi darah watannya sendiri dan penderitaan rakyatnya dipendam sejak pemerintahan rejim ayahnya.

Dalam menangani isu ini, seharusnya Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Liga Arab bijak mencari peluang dan solusi dalam menghentikan kekejaman ini tanpa mengharapkan pertolongan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hakikatnya, isu Syria dipandang enteng seolah-olah tidak diambil peduli walaupun jumlah korban makin meningkat. Media massa lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan yang makin panas dibuai gelombang pilihan raya umum baik kelemahan kerajaan negeri, krisis dalaman sesetengah parti politik, soal intergriti ahli politik dan pelbagai ganjaran yang menanti  rakyat selepas pilihan raya nanti.

Bangunkan ufuk minda, darah umat Islam makin deras mengalir di Syria, lupakah diri pada sabda Rasulullah (saw) :

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sama seperti dia mencintai dirinya.”

Isu Syria tidak tertakluk kepada rakyatnya sahaja, sebaliknya ia merupakan isu bersama umat Islam amnya, apatah lagi ia membabitkan pegangan akidah dan siri kekejaman yang tidak kunjung padam. Revolusi dunia Arab dan kebangkitan rakyatnya tidak harus dipandang sepi lantaran ia memacu semangat kesedaran baru menolak kelemahan sistem ciptaan manusia, yang mana ia tidak menjamin keadilan yang sebenar sebaliknya menawarkan penindasan terhadap rakyat.

Hak bersuara dihalang, nilai nyawa menjadi murah dan perlindungan hak sosial serta kebajikan rakyat terabai mendorong rakyat menolak kerajaan yang korup dan zalim. Dunia Arab dan Asia berkongsi rasa yang sama, disapa angin Islam yang menjadi tali pengikat hubungan ukhwah Islamiah. Maka sudah sampai masanya ia diperkemaskan dan diikat kuat agar ia tidak putus lagi menerusi sokongan dan bantuan yang berterusan. Syria – kunci akhir kebangkitan Islam...akan tiba masanya Islam menang!


Thursday, February 9, 2012

HIMPUNAN AMAN SELAMATKAN SYIRIA


Walaupun Bashar al-Assad dikatakan sudah menghentikan serangan tentera, namun sehingga minggu lalu keganasan terus berlaku. Terkini, serangan askar kerajaan ke atas bandar Homs dan beberapa kawasan kejiranan, telah mengorbankan tidak kurang 200 orang. 

Ikrar Bashar al-Assad untuk mempertahankan kuasanya dengan kekerasan tentera menjadikan Syiria kini kekal satu-satunya negara Arab yang terus bergolak sejak tercetus ‘Arab Spring’ sehingga berakhirnya krisis politik di Yaman dengan berundurnya Presiden Ali Abdullah Saleh. 

Gabugan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat yang prihatin untuk turut serta dalam himpunan aman yang akan diadakan pada hari esok (10 Februari), selepas solat Jumaat, di hadapan Kedutaan Syiria, Jalan U Thant, bagi menyatakan bantahan dan kecaman ke atas pembunuhan rakyat Syiria oleh regim Bashar al-Assad yang kian semakin meruncing. 

GAMIS juga menuntut supaya, kerajaan Malaysia segera memanggil sidang tergempar Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bagi menyelesaikan krisis di Syiria. GAMIS berpandangan, Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatan-nya, gagal menyelesaikan kemelut tersebut berikutan dua kuasa veto dunia, Rusia dan China telah memilih untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan PBB terhadap Syiria. 

Perhimpunan di hari ‘sayyidul ayyam’ esok sebagai bukti solidariti umat Islam, beserta doa yang akan dipanjatkan sebagai bukti kebergantungan hamba kepada sang Khaliq, pasti bukan suatu yang sia-sia. Ayuh kita berhimpun! 

EIKHWAN ALI 
Naib Presiden GAMIS