Pages

Ads 468x60px

Thursday, May 24, 2012

ISLAM LIBERAL – Rancangan Orientalis Musnahkan Islam



Sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriyy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh para orientalis dan dilatari oleh pengaruh fahaman asing seperti sekularisme, modenisme dan pascamodenisme adalah aliran pemikiran Islam liberal dan fahaman pluralisme agama.

Antara intipati perjuangan aliran ini ialah meyakini semua agama adalah benar dan merupakan jalan menuju kepada Tuhan yang sama. Agama yang pelbagai itu dianggap sebagai pintu-pintu yang banyak untuk menuju ke syurga. Maka, bagi mereka, agama mana yang menjadi pilihan, bukannya kunci ke syurga, tetapi kunci ke syurga adalah nilai keikhlasan seorang manusia untuk membebaskan manusia lainnya dari kelaparan, penderitaan, kekerasan dan ketakutan.

Aliran pemikiran ini juga berpegang bahawa larangan perkahwinan berlainan agama sudah tidak lagi relevan dan menganggapnya hanya sebagai masalah sosial-politik. Pernikahan pula dianggap sebagai konsep yang aneh kerana menurut mereka persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan wanita, sama ada dengan akad (nikah) atau tidak, wanita tetap menjadi tempat bagi lelaki melampiaskan nafsu. Mereka juga menghalalkan perkahwinan homoseksual kerana bagi mereka homoseksualiti itu adalah fitrah yang diciptakan Tuhan.

Selain itu, fahaman Islam liberal ini juga mempercayai bahawa kitab suci semua agama adalah mukjizat, sekaligus menafikan kesucian al-Quran dan meletakkannya setara dengan kitab-kitab agama lain. Menurut mereka, al-Quran sebenarnya adalah perangkap bangsa Quraisy untuk menunjukkan kewujudannya di tengah suku-suku Arab yang lain. Sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dianggap pula hanyalah kemampuan kepimpinan (leadership value) seorang manusia ke atas manusia yang lain, justeru ia juga boleh dimiliki oleh manusia lain.

Secara prinsipnya, ajaran Islam liberal ini telah mencemarkan dan bercanggah dengan kemurnian tauhid (Aqidah Islamiyyah), menggugat kemutlakan al-Quran sebagai kitab suci, menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad s.a.w., menggugat autoriti al-Sunnah dan ijmak ulamak, serta menggugat keunggulan syariat Islam dan kedaulatannya.

Sebenarnya, aliran pemikiran seumpama ini mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat dengan memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya yang sebenar sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba. Ia juga bertujuan untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan, dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu dalam urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat.

Hakikat perancangan mempromosikan aliran pemikiran Islam liberal ini adalah berpangkal punca setelah musuh-musuh umat Islam gagal berhadapan dengan sikap dan keperwiraan umat Islam di zaman bersatunya umat Islam di bawah kewujudan satu khilafah dan tunduk di bawah satu hukum, lalu mereka menghantar para orientalis ke wilayah-wilayah umat Islam untuk mencari rahsia kekuatan umat Islam dan akhirnya menemui suatu kesimpulan yang diungkapkan oleh Gladestone, “Selagi umat Islam berpegang teguh dengan kitab ini (al-Quran), selama itulah kita tidak dapat menguasai mereka. Oleh yang demikian, kita hendaklah menyusun perancangan untuk memisahkan mereka dari kitab ini.” Lalu muncullah Islam liberal di abad ini untuk menjayakan misi tersebut.

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, walau dibenci oleh orang-orang kafir.” (Surah as-Soff : 8)

Wallahua’lam.

Sunday, May 20, 2012

BAHAYA ANCAMAN ISLAM LIBERAL


Golongan Islam Liberal ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fekah. Segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulamak, termasuk tafsiran daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat serta ulamak mujtahid ditolak oleh mereka.

Pengaruh liberalisme yang telah terjadi dalam agama Yahudi dan Kristian mulai diikuti oleh sekumpulan sarjana dan pemikir muslim termasuklah dengan menubuhkan forum diskusi dan institusi seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia dan Sister in Islam (SIS) di Malaysia.

Gerakan Islam Liberal ini sebenarnya adalah lanjutan daripada gerakan modernisme Islam yang muncul pada awal abad ke-19 di dunia Islam sebagai suatu konsekuensi interaksi dunia Islam dengan tamadun barat. Modernisme Islam tersebut dipengaruhi oleh cara berfikir barat yang berasaskan kepada rasionalisme, humanisme, sekularisme dan liberalisme.

Rancangan musuh-musuh Allah dan muslim, iaitu Zionis dan Amerika adalah untuk memecahbelahkan umat Islam dengan memberi sokongan kepada golongan Islam yang radikal dan pada belahan dunia Islam yang lain mereka menaja kelompok Islam liberal, disamping menghidupkan semula tarekat-tarekat sufi yang menyimpang, MAKA gambaran majoriti umat Islam sebenar yang mengikuti manhaj ahli sunnah wal jamaah dan menjadi umat pertengahan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Menurut penganut dan aktivis kumpulan Islam liberal ini, agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara qat’ie. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Sebenarnya, program Islam liberal ini dilancarkan oleh barat untuk memperkuatkan liberalisme politik di negara-negara umat Islam setelah gagalnya sekularisme di Timur Tengah (dunia Islam). Bagi mereka, tanpa liberalisme Islam yang kuat, maka liberalisme politik di Timur Tengah dan negara umat Islam yang lain tidak akan berhasil. Kerana itu, mereka menaja kumpulan-kumpulan dan individu-individu tertentu di negara-negara umat Islam untuk mempromosikan fahaman Islam liberal ini.

Secara ringkasnya, ada tiga bidang dalam ajaran Islam yang menjadi sasaran liberalisasi iaitu; [1] liberalisasi bidang aqidah dengan penyebaran fahaman pluralisme agama, [2] liberalisasi bidang syariah dengan melakukan perubahan metodologi ijtihad, dan [3] liberalisasi konsep wahyu dengan melakukan dekonstruksi terhadap al-Quran.

Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bentuk kesesatan.

Wallahua’lam.

Sunday, May 13, 2012

RESOLUSI Sidang Meja Bulat


RESOLUSI
Sidang Meja Bulat
“BERSIH 3.0 & Masa Depan Malaysia”

Menyedari dan menginsafi keperluan gerakan mahasiswa untuk mengadakan platform perkongsian dan membina persefahaman dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa terhadap isu-isu penting dalam negara, bagi meningkatan kesedaran dan partisipasi mahasiswa terhadap agenda pembangunan masa depan negara Malaysia serta menentukan halatuju dan jalan penyelesaian alternatif terhadap sesuatu masalah atau isu yang berlaku, kami, pimpinan gerakan mahasiswa, menuntut dan mencadangkan kepada pihak yang berkenaan, untuk :
  1. Menghidupkan dan menyuburkan semula ‘Speaker Corner’, dialog bebas dan program baktisiswa bagi meningkatkan nilai idealisme dan aktivisme mahasiswa serta partisipasi dalam menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat.
  2. Meneruskan kebersamaan gerakan mahasiswa untuk mengadakan perbincangan bagi mencari kata sepakat dan jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah dan isu yang melanda rakyat Malaysia dan umat Islam.
  3. Meningkatkan nilai kematangan dalam isu-isu semasa, masyarakat dan ummah, selaras dengan tahap keintelektualan sebagai seorang yang terpelajar.
  4. Memberi dan meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang tanggungjawab sebagai pembela masyarakat dan jurubicara ummah.
  5. Menyokong penuh lapan (8) tuntutan BERSIH 3.0 dan menuntut pihak SPR dan kerajaan melaksanakannya sebelum diadakan Pilihanraya Umum ke-13.
  6. Menyeru ahli politik dalam negara meningkatkan kematangan berpolitik dengan meningkatkan kewibawaan masing-masing pada kaca mata rakyat dan tidak menggunakan politik kotor.
  7. Kesepakatan atas agenda Islam mestilah diutamakan melebihi sentimen politik kepartian.
  8. Memberi fokus kepada pembangunan jati diri Islam kepada mahasiswa.
  9. Menolak sebarang bentuk pemikiran dan tindakan yang di luar batasan syara’.
  10. Menyeru gerakan mahasiswa dan mahasiswa untuk mengemukakan alternatif atau cadangan tambahan terhadap bantahan atau sokongan yang dibuat terhadap pelbagai pihak.
  11. Mengadakan wacana terbuka diantara Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihanraya Umum ke-13.
Dengan ini kami berikrar, untuk meneruskan momentum membela dan memperjuangkan nilai-nilai kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh Islam demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang dan dirahmati Allah s.w.t.

Wallahua’lam.

Resolusi ini dipersetujui sebulat suara oleh :
  1. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh, Pen. Setiausaha Agung PKPIM Pusat
  2. Khairul Azhar Khayun, Koresponden PKPIM UIAM
  3. Aiman Faudzi, JK Informasi & Maklumat PEMBINA Pusat
  4. Mohd Eqwan Mohd Roslan, Presiden PEMBINA UIAM
  5. Nur Aisyah bt. Mohamad Hijazi, Timb. Ketua Biro Media PEMBINA UIAM
  6. Akram Ikrami Taib Azamudin, Presiden GAMIS
  7. Nur Syazwani, Timb. Pengerusi SIGMA-GAMIS
  8. Marwan Abdullah, Mantan Pengerusi KARISMA Daerah Gombak
  9. Mohamed Mu’az Mohamed Ruslan, AJK KARISMA Daerah Gombak
  10. Atikah Mohd Hatta, AJK KARISMA Daerah Gombak
  11. Raafiq Zakaria, Timb. YDP GPMS UIAM
  12. Mohamad Akhmal b. Muhamed Supian, Ketua Penerangan GPMS UIAM
  13. Nur Adiela Kamarizzaman, Naib Presiden Ma’ruf Club UIAM
  14. Safiuddin Samsir, Bendahari Ma’ruf Club UIAM
  15. Nur Khairunnisaa’ Kamaruzzaman, AJK Penerangan Ma’ruf Club UIAM
Tarikh : 12 Mei 2012

*Institut Forum Siswa (i-FORSIS) adalah penganjur Sidang Meja Bulat “BERSIH 3.0 & Masa Depan Malaysia"

Thursday, May 10, 2012

KENAPA NIK AZIZ ‘BAPA KAFIR’


Tidak susah untuk menjawab pertuduhan ‘Bapa Kafir’ oleh Tan Sri Rahim Noor (Rahim Noor) kepada Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat hafizhohullah (Nik Aziz). Sandaran pertuduhan yang dikemukakan itu adalah apabila YB Menteri Besar Kelantan itu menyokong dan menyeru rakyat ke BERSIH 3.0 kerana kata beliau, ia adalah tanggungjawab agama.

Barangkali sebenarnya, sebab-sebab yang saya kemukakan berikutlah membuatkan Rahim Noor tidak teragak-agak menggelarkan Nik Aziz sebagai ‘Bapa Kafir’.

Nik Aziz mengemukakan teori bahawa pembangunan Firaun – sama ada yang wujud di zaman Nabi Musa atau zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. – adalah sekadar berkisar dalam tempurung dunia semata-mata. Sedangkan pembangunan yang berteraskan Islam adalah pembangunan yang berwawasankan akhirat.

Maka, asas pembangunan yang digerakkan oleh Nik Aziz adalah pembangunan yang mengajurkan pembinaan hubungan yang harmoni antara individu dan pada masa yang sama, menggalakkan keharmonian antara masyarakat dan alam sekitar. Kerajaan yang dipimpin oleh beliau menyerah diri secara total kepada Allah, iaitu pemilik sebenar kekayaan dan semua sumber, kerana sedar bahawa manusia hanya pemegang amanah Allah di bumi ini. Dengan asas ini, Nik Aziz mentadbir Kelantan.

Economic Developement di Kelantan bukan semata-mata pada pertumbuhan fizikal ekonomi sahaja, tetapi juga mengambil kira kesejahteraan dimensi kemanusiaannya sebagai suatu yang sama pentingnya, kerana aspek kemanusiaan yang Islami inilah yang akan menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Nik Aziz memperkenalkan adab Islam dalam pentadbiran beliau, antaranya dengan mengamalkan membuka majlis dengan al-Fatihah dan mengakhirinya dengan Tasbih Kaffarah, mengasingkan dif-dif mengikut jantina, serta majlis atau jamuan rasmi diselaraskan mengikut waktu solat supaya dapat menjadikan semua aktiviti pentadbiran ini sebagai Ibadah yang berguna serta mendapat keberkatan daripda Allah s.w.t.

Pentadbiran beliau bersifat sederhana bersesuaian dengan konsep ketaqwaan dan mengamalkan jimat cermat bagi mengelakkan pembaziran. Beliau dan para exco tidak membeli kereta baru, pelbagai elaun dipotong dan menghidupkan budaya gotong-royong antara kerajaan dan rakyat untuk membangun negeri Kelantan, dan amalan berlumba-lumba menghabiskan peruntukan tahunan dihentikan.

Nik Aziz juga menghapuskan amalan pemberian hadiah kepada pegawai kerajaan dan memberi amaran keras akan memecat sesiapa sahaja kakitangannya yang terlibat dengan rasuah. Beliau juga melarang penggunaan jentera dan harta kerajaan negeri untuk kepentingan parti di dalam pilihanraya.

Hari Jumaat dan Sabtu diumum sebagai hari cuti mingguan, hari Jumaat untuk menuntut dan hari Sabtu sebagai hari keluarga. Maka lahirlah masyarakat yang berilmu dan masyarakat yang penyayang di negeri beliau.

Ekonomi yang dibangunkan dipastikan tanpa unsur riba, wang kerajaan dari bank-bank konvensional dipindahkan ke bank bebas riba, pinjaman tanpa riba diperkenalkan, gadaian konvensional yang berasakan riba juga ditamatkan serta ditubuhkan ar-Rahn (sistem gadaian Islam yang bebas riba) dan akaun berasingan untuk hasil dari sumber yang halal dan haram diasingkan.

Aktiviti kebudayaan dan hiburan yang bercanggah dengan Islam dan melalaikan diharamkan, penjualan arak diketatkan, minggu sembahyang diadakan, mempromosikan pelancongan agama dengan menjadikan tujuan industri pelancongan adalah untuk memerhati kebesaran Allah dan tanda-tanda keagunganNya melalui pemerhatian terhadap keindahan alam, perbezaan muka bumi dan kelainan budaya pelbagai bangsa.

Martabat wanita diangkat melalui kempen kesedaran menutup aurat, menyediakan kaunter berasingan untuk kaum wanita, menambah cuti bersalin dan mengharamkan iklan yang memaparkan wanita yang tidak menutup aurat.

Jawapannya, Nik Aziz ‘Bapa Kafir’ kerana semua dasar dan tindakan yang dilakukan oleh beliau adalah menyimpang dari fahaman Sekularisme serta merugikan juak-juak Kapitalis dan Sosialis.

Walaupun pada awalnya ramai yang sangsi dengan perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan kerana beliau seorang ustaz yang dikatakan (kononnya) jahil pentadbiran dan anti pembangunan, namun hari ini beliau bukan sahaja dapat menjana pembangunan ekonomi dengan baik tetapi juga berjaya menghapuskan rasuah yang gagal dilakukan oleh mana-mana kerajaan lain di dunia ini.

Semoga Allah sentiasa menolong dan merahmati Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat hafizhohullah, ulamak kekasih Allah dan pewaris para Nabi, pemimpin yang mahu menyelamatkan rakyatnya dari kemiskinan redha Allah, ekonomis yang pragmatik dari segi penggubalan dasar belanjawan dan pembangunan negeri, dan murabbi ummah yang siang malamnya bekerja untuk memartabatkan Islam dan umat Islam.

Wallahua’lam.

Wednesday, May 2, 2012

GUGAT SAMPAI GAWAT


Salah satu hak dan tanggungjawab sebagai rakyat adalah untuk mengawasi tingkah laku para pemerintah dan dasar-dasar pemerintahan. Maka menjadi kewajipan kepada rakyat untuk menasihati, menegur dan membetulkan apa-apa yang tidak kena. Dalam hal ini, penting sekali untuk kerajaan meminta pandangan rakyat dan menghormati aspirasi mereka. Apa-apa yang baik dan bermanfaat yang diutarakan oleh rakyat mestilah diterima.

Hubungan timbal balik ini menjadi dasar terpenting bagi mana-mana kerajaan di seluruh dunia. Banyak sekali kerajaan di dunia ini tumbang akibat tidak memelihara dasar hubungan pemerintah dan rakyat ini. Terakhir, fonomena ini boleh dilihat jelas dalam kebangkitan dunia Arab yang menyaksikan jatuhnya pemerintah angkuh di Tunisia, Libya dan Mesir.

Malangnya, pemerintah yang bongkak dan sombong di tanah air kita ini tidak pernah mahu untuk mengambil pengajaran dari mana-mana peristiwa penting yang berlaku di dalam atau luar negara sama ada dulu, kini dan selamanya. Kerana itu, perubahan ke arah menjadikan Malaysia yang lebih adil dan demokratik tidak berlaku.

Sikap membabi buta dalam merangka pelbagai dasar negara dan membuta tuli terhadap aspirasi rakyat yang dibuat atas slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, memenjarakan rakyat Malaysia dalam atmosfera penindasan dan kezaliman yang tidak berkesudahan sedang TV3 dan Utusan Malaysia membaluti kebobrokan yang berlaku itu dengan corak dan warna yang lebih harmoni untuk manfaat politik parti pemerintah.

Padahal, hari ini kita hidup dalam dunia informasi tanpa sempadan. Rakyat sudah mempunyai kesedaran nasional, kematangan politik dan pendidikan patriotik yang jauh lebih baik berbanding dahulu. Rakyat sudah mampu untuk membuat timbang tara secara tepat untuk mempunyai keyakinan kepada keberkesanan sesuatu sistem dan perlunya sistem itu dipertahankan.

Cukuplah sistem yang telah dibina oleh UMNO-BN selama 54 tahun, dengan jenayah yang merata, gejala sosial yang meruncing, hiburan yang melampau, media yang tidak adil, institusi awam yang tidak bebas, pilihanraya yang tidak bersih, politik fitnah serta pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa. Sistem korup ini harus perlu segera diroboh sekali dengan pembinanya.

Ayuh rakyat Malaysia, selaku rakan kongsi dalam membina negara, kita juga perlu bertindak sebagai pressure group dan agen penerangan bagi memastikan perubahan ini berlaku. Kita mahu adalah Malaysia yang adil dan demokratik serta dirahmati Allah s.w.t. Ayuh! Meraka kita gugat sampai gawat.

2.18 AM, 30 April 2012, Jakarta, Indonesia.