Pages

Ads 468x60px

Monday, July 23, 2012

RESOLUSI “Urgent Meeting : We Are Brother”


Menyedari bahawa adalah suatu kewajipan di sisi agama bagi mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam khususnya yang sedang ditindas dan dizalimi di Syria, Myanmar dan Palestin, pada 18 Julai 2012 bertempat di Kulliyah of Education UIAM, Institut Forum Siswa (i-FORSIS) dengan kerjasama Ma’ruf Club (MC) UIAM telah menganjurkan “Urgent Meeting : We Are Brother” bagi menetapkan suatu pendirian terhadap isu tersebut dan menyediakan pelan tindakan yang dapat meningkatkan kecaknaan dan rasa tanggungjawab ummah terhadap musibah yang sedang melanda umat Islam di Syria, Mnyanmar, Palestin dan negara-negara umat Islam yang lain.

Hasil daripada pertemuan itu :-
Kami sekeras-kerasnya membantah sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan tersebut dan pembunuhan yang dilakukan itu juga merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan prinsip agama.
 Kami menyeru supaya umat Islam dan masyarakat yang prihatin supaya :
  1. Mengusahakan sedaya upaya bagi mengumpul dan menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
  2. Berterusan memanjatkan doa secara khusus kepada Allah di bulan Ramadan yang mulia ini bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin.
  3. Menyebarluaskan maklumat dan informasi terkini berkenaan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi di Syria, Mnyanmar dan Palestin kepada seluruh peringkat masyarakat melalui medium dan pendekatan yang pelbagai. 
Oleh itu, kami akan :
  1. Menyediakan platform bagi membina dan mengukuhkan kesatuan umat Islam serta bertujuan membincangkan pendirian dan pelan tindakan terhadap isu-isu yang melanda umat Islam.
  2. Melancarkan dana khas bagi mengumpul bantuan kewangan untuk disalurkan kepada umat Islam Syria, Mnyanmar dan Palestin.
  3. Menganjurkan kempen secara berterusan dan besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keadaan umat Islam yang lain.
  4. Mengadakan “Himpunan Solidariti Ummah” pada hari Jumaat, 27 Julai 2012, 2 PM di Masjid UIAM Gombak. 
Oleh hal yang demikian, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan agenda ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Resolusi ini disediakan dan dipersetujui sebulat suara oleh :
  • Hasbullah Mohd Faudzi, Moderator i-FORSIS
  • Mohd Aizzat Abd Rahim, Ma'ruf Club
  • Ni' Nurul Ain Mamat Nor, Ma'ruf Club
  • Muhammad Uzair Izzat Amir, PEMBINA
  • Abdullah Abdulwoheb Al Kamel, Syria
  • Qutub Shah, Myanmar
  • Muhammad Sayed, Myanmar
  • Hassan AbuOmar, Palestin
  • Ummi Kalsom, Vietnam
  • Muhammad Andi Piadani, Indonesia
  • Tami Astie Ulhiza, Indonesia
  • Yan Mary, Cambodia
Tarikh : 23 Julai 2012 (3 Ramadan 1433 H)

Friday, July 13, 2012

MAHASISWA BANTAH PENYENARAIAN FGVHB


Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) secara tegas membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Bursa Malaysia dan mendesak supaya Kerajaan Malaysia menggantung penyenaraiannya. Bantahan dan desakan ini adalah penting bagi menyelamatkan 112,635 orang peneroka Felda berserta 1.6 juta orang ahli keluarga mereka di 317 buah tanah rancangan Felda daripada mengalami kerugian, kehilangan hartanah dan menanggung beban hutang.

Pendirian INSPIRASI berasaskan kepada perkara-perkara berikut :
  1. Penyenaraian yang dibuat dengan menjaja slogan ‘demi peneroka’ membelakangkan tema “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” setelah hanya 2.5% saham diperuntukkan kepada peneroka daripada sejumlah 2.2 bilion unit saham FGVHB. Daripada jumlah tersebut, peneroka hanya mendapat 810 unit saham seorang. Jumlah ini adalah tersangat kecil berbanding dengan yang diperuntukkan kepada pelabur institusi (41%) dan pelabur bumiputera (11.5%).
  2. Penyenaraian yang dibuat pada 28 Jun yang lalu adalah tidak kena masanya kerana pasaran saham dalam negeri dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu dan mengalami aliran menurun. Hal ini dapat difahami secara jelas dengan melihat kepada nasib yang dialami oleh saham Facebook yang merosot sehingga 25% sejak 10 hari selepas penyenaraiannya dan nasib 3 daripada 5 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mengalami kerugian sebanyak 20% daripada nilai pasaran saham sehingga akhir Mei lalu.
  3. Prestasi FGVHB berada dalam keadaan tidak memberangsangkan akibat daripada produktiviti ladang Felda yang rendah kerana sehingga 53% daripadanya telah berusia 21 tahun dan perlu kepada penanaman semula. Proses penanaman semula ini perlu menelan belanja sekira-kira RM15,000 per hektar menjadikan jumlah keseluruhannya RM2.8 bilion. Projek dan pelaburan FGVHB di luar negara pula belum mampu untuk menjana keuntungan.
  4. Kejatuhan saham FGVHB akan melibatkan wang rakyat iaitu peneroka sedangkan peneroka juga perlu menanggung beban kadar faedah pinjaman yang dibuat daripada bank bagi tujuan pembelian saham dan sebahagian peneroka juga terpaksa menggadai hartanah mereka untuk tujuan itu. Bencana kerugian akibat penyenaraian tersebut telah dipaksakan keatas para peneroka dan keluarga mereka.
  5. Proses penyenaraian FGVHB telah memperlihatkan adanya campur tangan politik berkepentingan pihak tertentu dan telah menjadikan Felda hak milik persendirian individu-individu tertentu. Ia juga membuka peluang kepada para pelabur asing termasuklah Zionis-Israel untuk menguasai aset negara dan tanah para peneroka.

Oleh itu, bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan membantah penyenaraian tersebut, saya menyeru kepada para peneroka dan anak-anak peneroka khususnya dalam kalangan mahasiswa untuk turut serta dalam Himpunan Oren Selamatkan Felda pada hari esok (Sabtu, 14 Julai) untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi tujuan merayu kepada Baginda untuk campur tangan bagi menghentikan penyenaraian FGVHB di Bursa Malaysia.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Pengerusi INSPIRASI

Sunday, July 8, 2012

SYRIA PERLUKAN KITA


Minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah mencecah lebih 14000 orang. Peristiwa hitam yang telah berlangsung selama 16 bulan itu sehingga kini menyaksikan pembantaian berterusan regim Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya sendiri. Bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengakhirkan krisis yang sedang berlangsung itu, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang dirancangkan.

Hasrat rakyat Syria adalah supaya kesengsaraan mereka dapat ditamatkan sama ada dengan penyelesaian secara rundingan atau kemenangan segera tentera pembebasan rakyat Syria.

Setelah 6 Perkara Pelan Keamanan Majlis Keselamatan PBB gagal dilaksanakan, terkini, persidangan di Geneva (30 Jun – 1 Julai), ‘Confrence of Islamic Ummah Supporting Syrian People’ di Istanbul (2 – 3 Julai) dan mesyuarat ‘Friends for Syria’ di Paris (7 Julai) secara umumnya telah menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi rakyat Syria dan mengecam tindakan kejam Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya serta mahu ia dihentikan segera. Pelbagai pihak lain juga sedang rancak mengusahakan bantuan kemanusiaan.

Pelbagai spekulasi khususnya berkenaan hubungan regim Bashar al-Asaad dengan Israel dan AS, sebab sokongan Russia terhadap regim tersebut, rasional pendirian Iran dan kemungkinan campur tangan kuasa luar serta kesannya, telah menyebabkan tidak sedikit rakyat Syria sendiri dan umat Islam lainnya masih berkonflik untuk membuat suatu pendirian yang jelas dan tegas terhadap kemelut ini.

Hal ini dinilai oleh pemerhati terhadap sebilangan rakyat negara itu yang semacam berada di persimpangan sama ada untuk menyatakan kesetiaan kepada regim Bashar al-Asaad atau menyokong perjuangan rakyat dek kerana bimbang memikirkan kesan kejatuhan Bashar Al-Asaad akibat kebangkitan yang berlaku dan di sisi yang lain, wujud rasa tragis mengenang kekejaman yang dilakukan oleh regim Bashar al-Asaad.

Spekulasi-spekulasi itu juga telah mengundang pelbagai andaian terhadap apa yang akan berlaku di Syria, antaranya, barat akan menyerang Syria dengan bantuan negara-negara Arab dan Turki, atau kerajaan Syria berjaya mengawal keadaan dan menamatkan kebangkitan rakyat, atau akan berlaku perang saudara yang tidak dapat diramalkan masa depannya.

Apa juga hal sebenarnya tentang spekulasi tersebut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian bahawa sesebuah kerajaan tiada hak untuk mencabuli keamanan negara dan rakyatnya apatah lagi melakukan seperti apa yang telah berlaku di Syria, dan mengecam sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria. Oleh itu, GAMIS menyeru semua pihak untuk turut membantah dan terus memberi tekanan supaya regim Bashar al-Asaad segera menamatkan pembunuhan terhadap rakyatnya, serta bersama-sama mengusahakan dan menyokong misi bantuan material dan spiritual untuk rakyat Syria. Syria perlukan kita!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Naib Presiden GAMIS