Pages

Ads 468x60px

Monday, September 24, 2012

WUFI, PKPIM, MC, KARISMA & GAMIS SEPAKAT TOLAK PENCABULAN DEMOKRASI KAMPUS


Ringkasnya, kesepakatan itu adalah berkenaan [1] bantahan terhadap konspirasi calon tajaan, [2] penafian penglibatan dengan amalan budaya politik kotor dan [3] seruan kepada pengundi untuk memilih calon yang tepat.

Apa yang pasti, kesepakatan antara WUFI dengan PKPIM, MC, KARISMA dan GAMIS ini akan menyebabkan kumpulan Pro-Aspirasi a.k.a Pro-Universiti dan calon-calon tajaan mereka, berserta juga pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dengan penajaan calon ini, tidak akan duduk senang dan akan semakin gelisah. MUNGKIN sebaran fitnah terhadap calon-calon WUFI akan lebih giat dilancarkan selepas dari ini.

Kesepakatan yang berjaya WUFI turut serta ini bukan sahaja telah membuktikan keabsahan integriti politik WUFI dan kredibiliti calon-calonya, bahkan sekaligus menafikan wawasan politik Pro-Aspirasi a.k.a Pro-Universiti dan kelayakan calon-calon tajaan mereka untuk diangkat sebagai wakil pelajar. “CHECKMATE!” Ayuh mahasiswa! Kita turun mengundi – tolak Aspirasi, undi WUFI.

Berikut adalah kenyataan penuh “Tolak Pencabulan Demokrasi Kampus”.

______


KENYATAAN MEDIA
TOLAK PENCABULAN DEMOKRASI KAMPUS

Kami, mewakili;

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Ma’ruf Club UIAM (MC)
We Unite For Islam (WUFI)

Dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan para mahasiswa di seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan perwakilan pelajar atau Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih sempena PRK yang bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia pada 25 September ini.

PRK adalah merupakan suatu wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawan dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan oleh sama ada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahupun pihak universiti    dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’. Perbuatan ini seumpama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sepatutnya bersikap adil dalam mengendalikan pilihanraya dan memberi kebebasan hak kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka, TETAPI mereka telah merancang suatu usaha untuk memenangkan calon tertentu.

Sekiranya pihak berkenaan telah merancang untuk memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan pendanaan (sponsorship), maka apalah ertinya dan perlunya sebuah pilihanraya diadakan? Campurtangan seperti ini adalah merupakan suatu perbuatan yang biadap dan terkutuk.

Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap universiti. Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan adalah wajar mereka segera BERTAUBAT dan BERUNDUR daripada terus memegang posisi penting dalam kementerian atau universiti.

Oleh yang demikian, kami menyeru kepada para mahasiswa untuk memilih calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus masing-masing. Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu berdikari, berpegang kepada prinsip, jujur, amanah dan berpekerti mulia. Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon-calon yang bukan sahaja mempunyai KEMAMPUAN untuk menunaikan manifesto yang diumumkan, tetapi juga mestilah yang mampu menjadi USWAH dan QUDWAH kepada warga universiti.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah atau akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK kali ini. Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah, kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan politik mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berkomuniti dalam kampus.

Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang  kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena politik.   Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat adalah sangat penting demi memastikan para mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.

Sekian. Terima kasih.

23 SEPTEMBER 2012

Monday, September 17, 2012

POLITIK KAMPUS


Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah sebuah institusi pelajar (students body) yang sangat penting di universiti, sekalipun ia telah mengalami suatu proses pemposisian semula (repositioning) dalam kedudukannya di universiti dan pengstrukturan semula (restructuring) dalam keorganisasiannya sehingga memberi kesan kepada ruang pengaruh dan kekuasaan yang dimiliki oleh badan itu.

Proses repositioning dan restructuring yang berlaku dalam suatu tempoh dan secara beransur-ansur itu – sama ada ia dijalankan atas nama agenda pemerkasaan ATAU dengan tujuan political interest pihak-pihak tertentu, ditambah pula dengan pelbagai peraturan yang mengikat – telah memberi suatu kesan yang tidak molek iaitu lahirnya barisan kepimpinan MPP yang hanya ‘work IN system’ berbanding ‘work ON system’.

MPP dengan peranannya untuk memupuk kesedaran akademik dan kerjaya dalam kalangan mahasiswa, memperjuangkan agenda kebajikan, membina penyatuan mahasiswa untuk memperjuangkan hak, menyebarkan maklumat, bertindak sebagai perantara hubungan diplomasi antara pentadbiran universiti dan pelajar serta mendokong visi dan misi universiti, sudah pasti berhajat kepada sebuah barisan kepimpinan yang berdaya saing, karismatik dan berani.

Titik puncaknya ialah proses pemilihan kepimpinan MPP itu sendiri iaitu Pilihanraya Kampus (PRK). Kerana melalui proses inilah, ‘siapa yang begitu dan begini’, akan dipilih menjadi wakil kepada pelajar. Maka, penyempunaan proses ini berkehendak kepada dua (2) perkara; PERTAMA, partisipasi menyeluruh mahasiswa, dan KEDUA, pelaksanaan sistem pilihanraya yang adil dan telus. Proses PRK ini tidak boleh dipalit dengan perancangan dan tragedi yang merugikan masa depan anak bangsa.

Himpunan Merdeka Kampus atau nama patriotik penganjurannya National Students Marching yang diadakan pada 16 September yang lepas sewajarnya mendapat perhatian serius arus perdana dan prihatin pelbagai pihak. Mahasiswa, pensyarah, pentadbir universiti, masyarakat awam, pemimpin masyarakat, kerajaan, media dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan perlu mengambil sikap bertanggungjawab dengan mendengar, meneliti dan bertindak ke atas isu yang diutarakan.

PERTAMA, berkenaan dengan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan PRK, dan KEDUA, berkenaan dengan signifikasi PRK sesi 2012/2013 di ambang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Tuntutan 6 Perkara Piliharaya Adil dan Bersih yang dikemukakan oleh mahasiswa iaitu penetapan tarikh PRK dalam kalendar universiti, penglibatan mahasiswa dalam election commissioner, pemantauan perjalanan PRK oleh badan bebas, sistem pengundian yang telus, kebebasan berkempen dan peruntukkan dana untuk calon, adalah suatu gagasan electoral reform yang sangat baik yang dapat memelihara kutulenan demokrasi, mendidik mahasiswa untuk berjiwa besar dan sekaligus dapat mengatasi masalah kemeruduman penglibatan mahasiswa dalam proses ini. Maka, tidak ada sebab untuk tuntutan ini ditolak daripada dilaksanakan.

Malangnya, di ambang PRU13 ini, telah wujud konspirasi terancang (OPS2020) untuk memperalatkan PRK demi survival politik regim pemerintah yang dijalankan di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melibatkan antaranya Biro Tata Negara (BTN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga isu ini telah dibangkitkan di parlimen pada 20 Jun 2012 yang lepas. OPS2020 ini dilihat sebagai suatu tindakan terdesak kerajaan bertujuan memberi kekalahan moral kepada pihak pembangkang.

Tindakan sebegini secara langsung telah mencemarkan institusi pendidikan tinggi sebagai sebuah institusi ilmu yang bebas daripada pengaruh dan cengkaman politik berkepentingan, mencabar nilai ‘kemahasiswaan’, dan telah menterjemahkan bahawa tiadanya jaminan akan terpeliharanya ketulenan demokrasi di Malaysia, khususnya dalam PRU13 akan datang.

Jika demikian keadaannya, bererti hak rakyat telah dikhianati, dan ini pastinya akan mengundang rasa tidak puas hati. Perasaan tidak puas hati akan membuatkan seseorang menentang dengan lebih hebat dan hatinya lebih sukar dipuaskan. Jika cukup teruk, perasaan ini bukan sahaja telah mampu menumpaskan Sukarno atau Nehru atau Moulay Hasan, bahkan juga menumpaskan Indonesia atau India atau Maghribi. Pastikan, jika tidak mampu puaskan hati orang, jangan sakitkan hati orang. Jika tidak, DS Najib dan Malaysia juga boleh ‘ditumpaskan’ oleh perasaan ini.


Friday, September 14, 2012

PRK – Cerminan Kecemerlangan Bangsa



Golongan terpelajar dengan title “MAHASISWA” adalah merupakan aset terpenting negara dan bangsa. PERTAMA, kerana populasinya mencecah 45% daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia. KEDUA, kerana golongan ini adalah generasi pewaris yang bakal menerajui negara dan menentukan hala tuju serta tahap yang akan dicapai oleh negara. KETIGA, kerana nilai berilmu pengetahuan yang dapat memberi input berharga kepada pembangunan negara dan bangsa.

Kerana tiga (3) ‘KERANA’ ini, golongan mahasiswa seharusnya dibentuk dan dididik menjadi sebuah generasi yang berkepemimpinan, bertanggungjawab, amanah, berani memperjuangkan hak mereka dan berani bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku keatas bangsa mereka.

Nilai berjati diri, dinamik dan unggul ini sudah pasti tidak mampu dibentuk jika hanya dengan kurikulum dan kokurikulum akademik semata. Pembentukan characteristics ini perlu lahir daripada pengalaman dan penghayatan terhadap proses kehidupan sebenar (the real life) yang dipandu dengan dasar kebenaran (al-haq), keadilan (al-‘adl) dan kebebasan (al-hurriyyah).

Penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kampus (PRK) – samada sebagai pengundi ataupun calon – sekurang-kurangnya menjadi cerminan kepada prestasi nilai-nilai tersebut. Ini kerana, partisipasi dalam proses tersebut adalah manifestasi dari kesedaran dan kefahaman terhadap hak dan tanggungjawab sebagai anggota dalam sebuah masyarakat kampus. Menafikan peranan diri dalam proses tersebut adalah suatu sikap meruntuh kecemerlangan masa depan.

Hakikatnya, peratusan keluar mengundi yang hanya sekitar 45-65% sahaja di seluruh kampus di Malaysia adalah sangat memBIMBANGkan. Sedangkan negara memerlukan tenaga dan daya kepimpinan baru untuk menggantikan kepimpinan sedia ada. Sepatutnya PRK dimanfaatkan sebaiknya untuk mengasah bakat serta menonjolkan sifat kepemimpinan dalam diri mahasiswa sekaligus dapat melahirkan mahasiswa yang matang, pro-demokrasi dan berdaya saing dalam menjana suasana politik yang positif pada hari mendatang.

TETAPI proses ini mestilah berlangsung secara bebas, bersih, adil dan sistematik. Tarikh PRK perlu dijadualkan dalam kalendar akademik, mahasiswa mesti diberi ruang menganggotai Election Committee, badan pemantau bebas perlu dilantik, kaedah pengundian mesti yang tidak boleh dimanipulasi dan boleh dinilai semula, kebebasan menggunakan media dan tempoh yang cukup untuk berkempen, dan disediakan peruntukkan dana kepada calon bagi membiayai proses pemilihan dan bagi menjayakan manifesto. Jika proses ini dicabul, generasi yang akan lahir adalah generasi bacul.

Sebagai contoh, masih ADA LAGIKAH (?) mahasiswa yang berani bersuara dan bertindak mempertahankan hak mereka apabila kebenaran menggunakan Main Audi untuk K-Fiqh Politik Islam Semasa yang sepatutnya berlangsung pada 15 September 2012 ini diBATALkan. Mengharapakan pencerahan daripada para sarjana, tetapi dikhianati oleh sang durjana. CELAKA! Apa kita buat?

Tuesday, September 4, 2012

KAMPUS KITA BUKAN LUBUK BUAYA


Kesalahan berfikir dan berencana yang sangat malang bahkan merugikan yang dilakukan oleh para pentadbir Institut Pengajian Tinggi adalah apabila menjadikan kampus dan warganya sebuah teritori yang tidak berpartisipasi di arena politik. Sedangkan kampus yang menjadi tempat lahirnya para bijaksana, pasti mempunyai sumber daya yang berpotensi untuk mengambil peranan strategik dalam arena politik tanah air.

Lebih parah lagi, adanya pelbagai peraturan demi menghalang para pensyarah dan mahasiswa dari memberi sumbangan langsung dalam pembangunan politik. Lalu, peranan kampus sebagai pusat membina ketamadunan ilmu dan peradaban budi dimandulkan dengan pendidikan ‘job oriented’ dan sengaja dibiarkan budaya hedonisme bersarang.

Kesannya, sebahagian besar siswazah yang bergraduasi dengan pelbagai taraf kelulusan, tidak memiliki kesedaran politik (political awareness) yang membina dan gagal menunaikan tanggungjawab sosial (social responsibility) dengan berkesan.

Bahaya jangka masa panjang jika keadaan ini berterusan ialah lahirnya kepimpinan negara dan generasi bangsa yang mementingkan diri sendiri dan hilangnya budaya permuafakatan serta semangat tolong-menolong dan gotong-royong dalam membangunkan Malaysia untuk berhadapan dengan pelbagai peranan dan cabaran pada masa hadapan.

Kualiti ‘terpelajar’ dengan kemampuan untuk menguji yang benar dan yang salah dengan pendapat yang beralasan berdasarkan ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa sepatutnya mampu diterjemah dengan memikul tanggungjawab mencari dan membela kebenaran, juga menentang sebarang bentuk penyelewengan dan kebatilan.

Maka, kerana kebimbangan terhadap kemampuan mahasiswa ini, pemerintah korup sedaya upaya mengahalang daripada wujudnya hubungan ‘mutual simbiosis’ yang komprehensif, kompetitif & konstruktif antara rakyat dan pemerintah, dan sekadar menjadikan hubungan itu sebagai hubungan objek-subjek demi mengekalkan kedudukan dan kekuasaan yang sedang dimiliki.

Biarlah ummah boleh mendekati kampus dan mendapat manfaat daripada kita. Jangan biarkan ummah menjadi seperti pemancing yang tidak dapat merasai nikmatnya udang galah kerana sang buaya. Ayuh bebaskan kampus kita! Kampus kita bukan lubuk buaya.

:: Kajang, 4/9/12, 8.36PM