Pages

Ads 468x60px

Wednesday, February 13, 2013

NON-MUSLIM BUKAN MUSUH


Suatu hakikat yang mesti diterima oleh kita ialah kewujudan pelbagai bangsa dengan anutan pelbagai agama di negara kita. Interaksi yang berlaku dalam perhubungan ini mestilah dapat menjamin keharmonian dan kemakmuran serta tidak berlaku penindasan dan diskriminasi. Sekalipun Islam dianuti oleh hampir keseluruhan bangsa Melayu dan Melayu pula adalah mewakili majoriti warga Malaysia, Islam menyuruh agar menghormati penganut-penganut agama Kristian, Hindu, Budhha, Sikh dan agama-agama lain dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Prinsip terpenting yang mesti dipegang oleh bangsa Melayu dan umat Islam dalam hal ini ialah mesti memandang orang-orang bukan Islam sebagai manusia yang menjadi kewajipan kepada kita untuk mengajak mereka kepada Islam sehingga mereka menerima Islam sebagai akidah atau bersedia untuk bernaung di bawah sistem hidup Islam. Tidak seharusnya mereka dipandang sebagai musuh kepada Melayu dan Islam yang mengancam hak-hak keistimewaan Melayu dan kesucian agama Islam.

Sikap yang sepatutnya ada kepada bangsa Melayu-Islam terhadap terhadap masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam mestilah berasaskan kepada nilai toleransi dan menghormati kebebasan akidah agama-agama lain. Ia penting untuk menjamin kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan manusia. Sekalipun tidak Melayu, bahkan bukan Islam, perkara yang menjadi hak kepada mereka mestilah ditunaikan sebaiknya oleh kita semua sebagai sesama anggota masyarakat atau sebagai pemerintah di negara ini.

Adalah suatu kewajipan kepada umat Islam untuk beramal dengan ajaran Islam dan menjaga akidah mereka. Apa juga perkara yang menjadi halangan atau ancaman kepada Islam mestilah segera diatasi. Namun, ia perlu dilakukan menurut dan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam, perundangan negara dan norma masyarakat. Tidaklah boleh segala bentuk halangan atau ancaman yang dikatakan ada itu, semuanya dipersalahkan ke atas penganut-penganut bukan Islam. Sepatutnya, terlebih dahulu umat Islam menilai kelemahan-kelemahan sendiri, memperbaiki diri dan mengukuhkan kedudukan dan peranan Islam dalam sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

Bangsa Melayu-Islam juga perlu memahami perbezaan antara toleransi yang diizinkan dan diraikan oleh Islam dengan ketundukan dan sikap menyerah diri kepada kemahuan dan kehendak bukan Islam. Tidaklah bermakna menunaikan apa yang dituntut oleh bukan Islam atau mengalah dengan kehendak mereka itu semuanya dikira sebagai menerima kehinaan atau menjual agama.

Dalam hal ini, banyak petunjuk nubuwwah kepada kita untuk lebih memahami berkenaan dengannya. Hal ini boleh diteliti daripada sikap Rasulullah s.a.w. yang menerima perjanjian Hudaibiyyah yang berat sebelah, tidak menghalau penduduk Yahudi di Madinah bahkan hidup berjiran dengan mereka, memberi keampunan kepada kaum musyrikin Makkah yang pernah menzalimi kaum muslimin, memaafkan wanita yang cuba membunuh baginda dengan meletakkan racun di daging biri-biri yang dihadiakan kepada Nabi, dan bersikap lembut kepada Lubaid bin A’som yang telah menyihir baginda dan tidak membenarkan Aishah r.a. menghalaunya.

Demikianlah Islam mengatur sistem hidup masyarakat dengan tidak mengasingkan antara orang Islam dan bukan Islam, bahkan kehidupan itu diselubungi suasana perkongsian sosial, belas kasihan, kesopanan dan saling berinteraksi dengan rasa hormat. Jangan kerana ta’sub bangsa, huru-hara negara dan hilang keharmonian hidup beragama.