Pages

Ads 468x60px

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

[1] Lahirnya Rasulullah s.a.w. di bulan Rabi’ul Awwal lebih 1400 tahun yang lalu, telah membawa rahmat ke sekalian alam kerana dengan pengutusannya, Islam disebarkan. Lahirnya penghulu para rasul dan penutup segala nabi ini, diikuti dengan sebuah perjalanan kehidupan yang penuh dengan ujian. Inilah perjuangan memastikan umatnya selamat untuk balik bertemu Allah s.w.t.

[2] Kelahiran baginda Nabi s.a.w. disambut dengan terpadamnya api yang disembah penganut Majusi, runtuhnya empat belas anjung istana Kisra Parsi dan robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah. Inilah petanda kelahiran baginda adalah untuk meruntuhkan kebatilan dan tanda rahmat untuk seluruh alam. Petanda bahwa kelahiran baginda ini akan merubah suasana jahiliyyah kepada suasana yang berlandaskan syariah. Petanda bahwa dunia ini akan mengalami satu revolusi yang bersifat ‘alamiyyah (universal).

[3] Diantara masa kelahiran sehingga saat bertarung dengan sakratul maut, Nabi s.a.w telah melalui pelbagai kesukaran, dihina, dicaci dan dipulaukan. Terlibat dalam berpuluh peperangan, Badar, Uhud, Khaibar, Mu’tah, Hunain dan Tabuk menjadi medan pertempuran. Memeterai perjanjian, namun dikhianati. Untuk apa Nabi s.a.w. perlu melalui ini semua? Sudah pasti kerana CINTAnya pada umatnya.

[4] Jasa apakah mampu untuk kita lakukan untuk membalas budi Nabi s.a.w., sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada baginda? Baginda tidak meminta, apatah lagi untuk menyuruh umatnya meraikan ulang tahun kelahiran baginda. Sungguh-sungguh Nabi s.a.w. memperjuangkan Islam untuk kita, maka kita juga mesti bersungguh-sunguh dengan Islam.

[5] Demi mengukuh pegangan kita terhadap Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., suka untuk saya memanjangkan beberapa seruan berikut kepada seluruh warga UIAM :
  1. Meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah bersifat syumul, merangkum dan menyusun seluruh hidup manusia.
  2. Meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi bagi kebangkitan umat Islam, kekuatan asasi bagi menyelamatkan dunia dan membebaskan manusia yang tertindas di bawah kuasa taghut yang zalim.
  3. Menolak fahaman sekularisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme dan ideologi-ideologi ciptaan manusia yang lain kerana menerima sistem berkenaan beerti kufur terhadap Islam dan engkar terhadap Allah s.w.t.

[6] Untuk tujuan tersebut juga, ini seruan saya kepada seluruh anggota Ma’ruf Club dan semua organisasi/persatuan/kelab yang berorientasikan dakwah yang lain :
  1. Menyebarluaskan dakwah Islam untuk memberi faham kepada warga UIAM tentang kecantikan dan keindahan Islam.
  2. Mengukuh gerak kerja amar ma’ruf nahi munkar bagi menyelamatkan warga UIAM daripada terjerumus kedalam perkara yang mengundang murka Allah s.w.t.
  3. Saling bekerjasama dan sokong menyokong di antara satu sama lain bagi membina kekuatan gelombang kebaikan di bumi UIAM.
  4. Membina kader-kader dakwah yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan qudwah yang baik serta mampu berperanan di dalam masyarakat khususnya warga UIAM.

[7] Akhir kata, tanda cinta kepada Nabi s.a.w. yang paling kuat adalah dengan memperjuangan Islam, memelihara Islam daripada sebarang hinaan dan ancaman, memastikan seluruh manusia menerima Islam, sehingga Islam dilaksanakan dalam seluruh urusan kehidupan insan sampailah kepada hal ehwal pemerintahan.

Wallahua’lam.

Sunday, February 13, 2011

Kisah CINTA

Bulan Februari bulan CINTA???

Cinta Nabi s.a.w. pada Umat

Sabda Nabi s.a.w. “Setiap nabi memiliki doa yang mustajab (pasti dikabulkan), maka setiap nabi segera menyebutkan doa-doa mereka. Sedangkan aku menunda doaku untuk memberi syafaat kepada umatku di hari kiamat...” (Riwayat Abu Hurairah r.a.)

Rasullullah s.a.w. lebih rela menanggung beban kezaliman musyrikin sehingga patah giginya, mengalir darah dari tubunya, tertusuk besi pada pipinya, diracun makanannya, sedangkan baginda ada kelebihan untuk mengelakkan semua itu dari berlaku...itu semua kerana CINTA kepada umat.

Cinta Sahabat pada Nabi s.a.w.

[1] Rasa dahaga Nabi s.a.w. membuatkan Abu Bakar as-Siddiq bersegera mendapatkan minuman sehingga Nabi s.a.w. dapat menikmatinya. Lalu kata Abu Bakar (setelah Rasulullah s.a.w. minum air tersebut), “Maka, Nabi s.a.w. meminumnya sehingga aku merasa puas”.

Kepuasan dirinya adalah pada kepuasan Rasullullah s.a.w., orang yang dia CINTA.

[2] Permintaan Umar al-Khattab di saat kematiannya tidak lain melainkan memohon untuk dikuburkan di sebelah kubur Nabi s.a.w. Tidak ada yang lebih mengembirakan beliau melainkan setelah permohonannya mendapat keizinan daripada Aishah r.a. Katanya, “Alhamdulillah, demi Allah, sesungguhnya tidak ada apa yang lebih aku harapkan melainkan dapat dikuburkan di sebelah kuburan Rasulullah s.a.w.”

Sehingga setelah kematiannya pun, tetap mahu berada di samping orang yang dia CINTA.

[3] Seorang wanita ansar yang ayah, suami dan anak lelakinya turut serta dalam peperangan Uhud, tidak sedikit pun bertanya dan merisaukan tentang keadaan mereka. Wanita tersebut ke medan parang dan telah dikhabarkan tentang kematian ayah, suami dan anaknya seorang demi seorang. Khabar apa lagi yang dia mahu sehingga masih terus berada di medan itu? Ya, khabar berkenaan orang yang dia CINTA lebih dari ahli keluarganya, Rasulullah sa.w. Katanya kepada Rasulullah s.a.w. setelah mandapati baginda selamat, “Segala musibah setelah keselamatn engkau adalah ringan”.

Tidak penting kematian ayah, suami dan anaknya, kerana yang penting dalam hidupnya adalah Rasulullah s.a.w. Inilah CINTA.

[4] Sawad, seorang sahabat yang bertubuh besar, telah di’pukul’ oleh Nabi s.a.w. kerana menjadikan barisan tentera tidak lurus dalam peperangan Badar. Pukulan itu telah ‘menyakitkan’ Sawad, lalu meminta untuk di’balas’ pukulan Nabi s.a.w. itu. Rasulullah s.a.w. membuka bajunya, dan membenarkan Sawad untuk memukulnya. Namun apa yang dilakukan Sawad.....mendakap dan mencium tubuh Rasulullah s.a.w. Hairan Nabi s.a.w. dengan tindakan Sawad, lalu mohon penjelasan. Kata Sawad, “.....aku ingin akhir masaku di dunia dengan menempelnya tubuhku pada tubuh engkau wahai Rasulullah s.a.w., sehingga Allah mengharamkan bakaran neraka ke atas tubuhku....”

Allahuakbar, hebatnya CINTA seperti ini.

Dan kisah-kisah cinta ini...

[5] CINTA Tsauban – menangis kerana (hanya) malam telah memisahkan dirinya dengan diri Rasulullah s.a.w.

[6] CINTA Abu Thalhah – pemanah tepat yang menjadikan tubuhnya benteng melindungi Nabi s.a.w. dalam peperangan Uhud. Kematiannya didahulukan, Rasulullah s.a.w. diutamakan.

[7] CINTA Abu Dujanah – Punggungnya dipenuhi anak panah sehingga kelihatan seperti landak ketika menjadi benteng kepada Rasulullah s.a.w.

[8] CINTA Ummu ‘Ammarah – Dipukul dengan pedang sehingga kelihatan tulang sikunya dan bercucuran darah keluar darinya. Cuba diselamatkan oleh anaknya, tetapi melarang dengan katanya, “Biarkan aku, Rasulullah s.a.w. harus engkau lindungi”.

Inilah beberapa kisah CINTA dari orang-orang mulia yang mencinta Nabi s.a.w., yang kerana CINTA mereka, menjadikan mereka bersama baginda di syurga.

CINTA DURJANA Umat Akhir Zaman

Malangnya, terdapat dikalangan umat pada hari ini, demi cintanya pada manusia yang melebihi cintanya pada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., sanggup meraikannya dengan membelakangkan hukum agama sehingga ada pula hari khas untuk meraikan cinta mereka. Lebih malang, cinta mereka diraikan dengan cara melakukan maksiat. Inilah CINTA DURJANA umat akhir zaman.

KESIMPULANNYA

Tidak cukup mencintai Nabi s.a.w. dengan sekadar berarak dan berselawat di majlis sambutannya, tetapi kehidupan baginda mestilah dijadikan ibrah, akhlak baginda dijadikan qudwah dan perjuangan baginda dijadikan sunnah.

Wallahua’lam.

Friday, February 11, 2011

ISLAM SEBAGAI SOLUSI


[1] Laporan di dada-dada akhbar yang dipaparkan hampir setiap hari menunjukkan bagaimana parahnya masalah sosial dan perzinaan yang berlaku di Malaysia, terutamanya di kalangan muda-mudi.


[2] Inilah natijah yang dapat kita saksikan dengan adanya idea kebebasan dan budaya kuning dari barat yang diterapkan di negara kita. Maksiat merajalela, kes-kes zina, kelakuan bebas, judi dan arak sudah menjadi lumrah.

[3] Pelbagai peraturan dan hukuman telah diperkenalkan, perbincangan demi perbincangan meja bulat telah diadakan. Namun bilangan kes-kes sebegini terus meningkat tanpa menunjukkan sedikit pun tanda-tanda akan reda. Tiada penyelesaian, solusi untuk pencengahan, yang ada hanya rawatan, itu pun sekadar pada simptom-simptomnya sahaja, bukan pada penyakitnya.

[4] Saya yakin dan percaya, jika benar-benar sistem Islam diterapkan nescaya kejadian yang parah ini pastinya dapat dibendung dari awal. Ini kerana di dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan perempuan, bentuk pakaian wanita muslimah, hukum memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca yang merosakkan generasi muda-mudi pada hari ini.

[5] Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu jalinanan tatatertib peraturan yang tertentu. Peraturan-peraturan ini hanya ada pada Islam.

[6] Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti berikut :

  • Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan.
  • Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya.
  • Rasulullah bersabda, "Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya." [HR. Bukhari dan Muslim].
  • Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya.
  • Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah, bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama.

[7] Bukan sahaja dalam masalah sosial Islam mempunyai solusi, juga dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan apa jua urusan kehidupan manusia. Hanya ISLAM SEBAGAI SOLUSI.

Wallahua’lam.

Monday, January 31, 2011

KELESTARIAN POLITIK MAHASISWA


[1]
Apakah sebenarnya fungsi dan peranan mahasiswa yang berada di universiti? Apakah tujuan mereka berada di universiti semata-mata untuk ber‘akademik’ semata-mata dan mengabaikan aspek sumber manusia yang bakal mereka jadi pada masa akan datang? Ada pihak menafikan penglibatan mahasiswa dalam politik kerana katanya tugas mahasiswa ini hanyalah di bilik-bilik kuliah, menyerap segala ilmu yang diajar, dan tidak diajar berfikir dari luar konteks bilik kuliah.


[2] Perkara ini menjadi kontradiktri dengan apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukaddimah berkaitan dengan manusia ini secara semulajadinya adalah berpolitik. Semua manusia secara tidak langsung, mahu tidak mahu, akan melibatkan diri mereka dalam politik dan organisasi sosial dan semestinya mahasiswa tidak terkecuali dalam hal ini. Namun, apabila menyentuh tentang politik mahasiswa, kita tidak bicara tentang politik kebudak-budakan apatah lagi kebinatangan, sebaliknya kita bercakap tentang politik kematangan.

[3] Menjadi persepsi segelintir manusia, apabila disebut tentang politik, terbayang dalam pemikiran mereka bahawa sesungguhnya politik ini adalah merupakan satu keadaan yang penuh dengan kejahatan dan kekotoran kerana mereka memahami dalam konteks tafsiran Machiavelli yang menjadikan segala apa cara adalah halal untuk mencapai matlamat. Dalam konteks mahasiswa, kelestarian politik hanya akan dapat dicapai melalui dua asas iaitu :
  • Politik Ilmu
  • Politik Nilai
Melalui asas ilmu dan nilai, mahasiswa dapat menjauhi politik sentimen yang acap kali dilabel sebagai sandaran kepada parti pemerintah mahupun pembangkang. Melalui dua asas ini, mahasiswa akan menjadi golongan penganalisis dan golongan yang menjadi rujukan bagi masyarakat berkaitan politik semasa.
[4] Begitu juga dalam konteks kampus, politik mahasiswa seharusnya tidak dicemari dengan unsur-unsur yang merencatkan keterbukaan mahasiswa untuk bersuara. Saya nyatakan beberapa perkara yang menjadi perencat kepada pergerakan politik mahasiswa :
  • Tekanan undang-undang
  • Gangsterisme
Dua unsur luaran ini memberi kesan kepada mahasiswa untuk menyuarakan hak-hak mereka sebagai seorang mahasiswa yang mana akan membawa kepada kongkongan intelektual. Kongkongan intelektual ini jugalah yang akan menyebabkan berlakunya gejala ‘pandirisme’ dalam politik nasional selepas ini.
[5] Selain daripada tekanan luaran, konflik dalaman juga memainkan peranan. Politik mahasiswa harus difahami oleh seluruh golongan yang digelar mahasiswa ini bukan sebagai tempat mencari publisiti tanpa memahami aspirasi politik sebenar serta hala tuju bagi seluruh warga universiti. Begitu juga, konflik dalaman boleh juga berlaku dalam kalangan mahasiswa yang berpolitik apabila orientasi kuasa menjadi lebih besar berbanding matlamat, ataupun sekiranya ingin mencapai matlamat, mereka akan melakukan apa jua cara sehingga mereka dapat apa yang ingin mereka capai.

[6] Perkara-perkara sebeginilah yang perlu dijauhi. Mahasiswa belum bestari sekiranya mengabaikan politik, namun tidak mencapai lestari sekiranya menyerap segala unsur yang tidak sihat sebagai amalan politik, lantas mengabaikan politik nilai dan ilmu.

[7] Kesimpulannya, beberapa perkara perlu dipenuhi dalam usaha untuk mencapai kelestarian politik mahasiswa, iaitu :

  • Persepsi berkaitan politik itu kotor perlu dibersihkan dalam minda mahasiswa.
  • Orientasi politik mahasiswa mesti berasaskan ilmu dan hujah. Melalui nilai pula, mahasiswa akan mempertimbangkan ketepatan dan kebenaran tentang sesuatu perkara selain menjadi contoh kepada masyarakat.
  • Hedonisme yang melampau tidak seharusnya menjadi sebati dalam diri mahasiswa sehingga intelektualisme diabaikan. Intelektualisme yang diabaikan inilah yang akan mempengaruhi suasana dalam membuat keputusan dalam politik mahasiswa.
  • Tekanan undang-undang yang menimbulkan ketakutan kepada mahasiswa sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah berkenaan dengan isu penduduk bandar yang lemah kerana undang-undang yang dipaksakan kepada mereka, akan menyebabkan pemikiran mahasiswa diletakkan di bawah kerangka tidak kreatif dan seterusnya menghalang pertumbuhan kognitif mereka. Maka tekanan undang-undang sebegini perlu dielakkan.
  • Gejala gangsterisme atau ugutan kepada mahasiswa sama ada dalam kalangan mahasiswa sendiri ataupun pihak luar seharusnya dielak sama sekali.
  • Dan yang terakhir, mahasiswa adalah agen perubah yang akan mengubah landskap politik nasional dan antarabangsa sewaktu kaki mereka sudah terjejak dalam masyarakat secara total. Pada waktu itu, mereka tidak lagi dipuji kerana berjaya ke menara gading, sebaliknya diuji, apakah relevannya mereka belajar di menara gading?

Tuesday, January 25, 2011

SYABAS & TAHNIAH SRC!

“Sesungguhnya aku dilantik (untuk menjadi pemimpin) dikalangan kamu, wal hal bukanlah aku yang terbaik diantara kamu. Sekiranya aku berlaku baik, maka bantulah aku. (Dan) sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkan aku.
-Abu Bakar as-Siddiq

[1] AGM SRC yang diadakan malam tadi menjadi titik noktah tamatnya tempoh kepimpinan SRC Sesi 2009/2010. Saya, mewakili saf kepimpinan Ma’ruf Club, mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan SRC sesi 2009/2010 yang diketuai oleh saudara Firwan Norliza, atas kesungguhan dan komitmen yang telah diberikan sepanjang menunaikan amanah memimpin badan tertinggi pelajar itu.

[2] Kepimpinan mestilah tidak tidak bersikap takabbur sehingga merasakan diri mereka terlebih baik daripada yang lain kerana sifat takabbur adalah contoh buruk daripada iblis dan pemimpin zalim yang dilaknat oleh Allah seperti Firaun dan Namrud. Hanya pemimpin yang berakhlak dengan Allah dan berkasih sayang sesama manusia yang layak untuk mendapat hidayah dan pertolongan daripadaNya sehingga Allah akan mengurniakan kepadanya kemenangan.

[3] Alhamdulillah, barisan pimpinan SRC sesi 2009/2010, tidak takabbur dalam kepimpinan mereka. Mereka telah melakukan tugas mereka dengan adil, menyebarkan kebaikan dan menghalang perkara-perkara munkar daripada menjadi penyakit dikalangan mahasiswa UIAM.

[4]
Mereka tidak bergerak bersendirian sesuka hati, tetapi mengajak bersama seluruh warga UIAM untuk menunaikan amanah kepimpinan yang terpikul di bahu mereka. Hal ini membuktikan bahawa slogan SRC - "Joining Hands for the Betterment of the Ummah" - , telah diterjemahkan dalam satu tahun sesi kepimpinan mereka dan InsyaAllah juga akan menjadi dasar untuk kepimpinan akan datang. Syabas dan Tahniah!


[5] AGM semalam sebenarnya mempunyai dua makna. Bukan sahaja sebagai titik akhir tamatnya sesi kepimpinan, bahkan juga memberi makna akan bermulanya kepimpinan. Bertukar gantinya kepimpinan, prinsipnya (seperti yang telah dihuraikan di atas) mesti terus dipelihara. Terpeliharanya prinsip kepimpinan tersebut adalah dengan menyerahkannya kepada pemimpin yang amanah, yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang terbaik.

[6] Kini, tugas besar itu terletak kepada seluruh pelajar UIAM yang perlu diterjemah dan dibuktikan melalui Piliharaya Kampus yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja bermula dari hari ini. Pesanan saya, buatlah pilihan dengan penilain yang jujur untuk kebaikan warga UIAM dan jauhilah pemilihan atas dasar sensitiviti dan sentimen kepuakan tertentu.

[7] Sebagai panduan, hayatilah maksud firman Allah s.w.t. berikut :

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, pasti mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Surah al-Hajj : 41)
Wallahua’lam.

Sunday, January 23, 2011

BANTAH WANITA HARI INI (WHI)


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian lebih sesuai (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”
(Surah Al-Ahzab : 59)

[1] Islam adalah agama yang menyanjung peranan wanita dan memelihara kehormatan dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Peraturan-peraturan yang dikenakan kepada mereka oleh Islam bertujuan mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan mereka dari gangguan kezaliman nafsu manusia.

[2] Siaran Wanita Hari Ini (WHI) yang bertajuk ‘Salahkah Besarkan Payudara’ yang dipaparkan oleh TV3 baru-baru ini, jelas menjatuhkan dan merendah-rendahkan martabat kaum wanita kerana mendedahkan aib kaum wanita kepada umum. Kami, di pihak Ma’ruf Club UIAM, dengan tegas membantah siaran tersebut.

[3] Tidak sepatutnya siaran televisyen terkemuka tanah air itu bertindak demikian kerana seolah-olah masih belum mampu menilai baik buruk kesannya dan citra budaya dan keagamaan masyarakat di negara ini, dan seolah-olah ketandusan idea mengemukakan tajuk untuk dibincangkan dalam keadaan masyarakat hari ini perlu kepada pencerahan dalam banyak perkara bagi memandu kehidupan mereka.

[4] Ma'ruf Club membantah siaran tersebut dengan rasional :

  1. Persoalan hukum-hakam mestilah dikupas oleh individu yang pakar dalam bidang tersebut iaitu golongan cendekiawan dan ulama’ Islam.
  2. Paparan visual yang memfokuskan kepada bentuk payu dara model-model yang lengkap berpakaian dalam laporan segmen tersebut juga adalah tidak sesuai kerana ia ditonton oleh segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.
  3. Tindakan jurukamera yang sengaja memfokuskan kepada payu dara pengacara dan tetamu jemputan semasa segmen tersebut adalah satu perbuatan yang biadab dan kurang ajar.
  4. Isu-isu yang melibatkan (aib dan sensiviti) kaum wanita tidak perlu disiarkan kepada umum kerana ia akan mencetuskan suasana yang tidak sihat dikalangan masyarakat.

[5] Justeru, Ma'ruf Club berharap segmen atau rancangan yang membincangkan tajuk seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang. Siaran-siaran yang ditayangkan umum mestilah berpaksikan penilaian moral dan ahklak serta menjaga sensiviti pelbagai pihak. Kami menyeru pihak kerajaan khususnya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta jabatan-jabatan agama di seluruh negara untuk mengambil tindakan yang sepatutnya supaya perkara seperti ini tidak terus membarah dalam masyarakat Malaysia.

Wallahua’lam.

Mohd Eikhwan bin M. Ali
Presiden,
Ma’ruf Club,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM.

Friday, January 14, 2011

MAHASISWA

[1] Membangun diri dengan kefahaman ilmu dan kemurniaan akhlak.
[2] Menguasai bidang ilmu dan memelihara tradisi keilmuan.
[3] Cakna isu semasa dan kondisisi negara.
[4] Melibatkan diri dengan gerakan mahasiswa.
[5] Mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan disiplin yang tinggi untuk menjadi pemimpin akan datang.

Kerana kita adalah PEMUDA [&PEMUDI] tunjang agama, tiang seri negara, nadi bangsa dan harapan keluarga.