PAS
sememangnya menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar partinya. UMNO pula
tidak mahu kalah dalam menonjolkan partinya juga memperjuangkan Islam. PAS dan
UMNO diwakili dan mewakili kebanyakkan Melayu Islam. Kedua-duanya adalah lawan
tradisi antara satu sama lain dalam pilihanraya. Bagi pengundi Melayu Islam,
jika tidak undi UMNO, PAS dijadikan sebagai pilihan kedua – atau sebaliknya.
Sekalipun
faktor undi bukan Melayu terhadap UMNO dan PAS mampu mempengaruhi keputusan
pilihanraya, undi Melayu tetap menjadi undi teras kepada kedua-dua parti
tersebut. Maka ia terlebih penting dan utama untuk diberikan perhatian.
Kegagalan mendominasi sokongan pengundi teras ini akan menggoyahkan pengaruh
dan kedudukan masing-masing.
Mutakhir
ini, kesedaran dan kefahaman terhadap Islam dalam kalangan masyarakat Melayu –
dan juga masyarakat bukan Islam – memperlihatkan adanya perkembangan yang
positif dan lebih jelas jika ia ditinjau dalam kalangan generasi muda. Maka ciri-ciri
keIslaman menjadi faktor penting kepada golongan ini untuk membuat pilihan
disamping faktor kemampuan mengurustadbir Malaysia dengan lebih cekap,
akauntabiliti dan telus.
Nilai tambah kepada UMNO untuk terus
dijadikan pilihan oleh pengundi adalah
kuasa dan material yang dimilikinya dan PAS pula sentiasa ‘istimewa’
dengan perjuangannya untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang
terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju
keredhaan Allah.
Malangnya, kini UMNO terpalit dengan
pelbagai skandal dan jenayah, dan PAS pula semakin diberi perhatian oleh
masyarakat.
Maka
kini, UMNO gagal memiliki faktor kemampuan mengurus tadbir Malaysia dan PAS
pula terus menguasai faktor ciri-ciri keIslaman. Lalu HUDUD dijadikan isu
penting untuk menjalankan fungsi serampang dua mata iaitu memperkukuh faktor
ciri-ciri keIslaman UMNO dan meretakkan hubungan parti komponen Pakatan Rakyat
– khususnya antara PAS dan DAP.
UMNO
perlu menguasai ciri-ciri keIslaman ini bagi memperlihatkan PAS tidak lagi
istimewa. UMNO sama-sama bersyahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan
Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji sebagaimana PAS dan ia juga
perlu menyokong pelaksanaan hudud sebagaimana PAS. Keadaan ini ‘memaksakan’
pengundi untuk bersandar kepada nilai tambah yang dimiliki UMNO untuk membuat
pilihan dengan lebih yakin.
Keretakkan
hubungan antara PAS dan DAP diwujudkan bagi menggagalkan potensi Pakatan Rakyat
untuk mengambil alih peranan sebagai kerajaan persekutuan pasca PRU13.
Keretakkan ini dicetuskan dengan cara menggugat kepercayaan dan keyakinan
pengundi teras PAS iaitu Melayu dan pengundi teras DAP iaitu Cina terhadap
dasar parti masing-masing. Dengan demikian diharapkan dapat mengurangkan undi
mereka terhadap kedua-dua parti tersebut dan menimbulkan perkelahian diantara
kedua-duanya.
Ketegasan
pendirian rasmi PAS, melalui kenyataan Mursyidul Am dan Presiden parti Islam itu
adalah penting bagi memperkukuhkan ciri-ciri keIslamannya sekaligus
memperlihatkan keikhlasan dan kesungguhan PAS untuk melaksanakan hudud. Tidak
seperti lawannya, diam seribu bahasa dan sentiasa membatu api yang
memperlihatkan ‘main-mainnya’ parti itu dalam isu pelaksanaan HUDUD dan rela
membiarkan HUDUD dipermain-mainkan.
Saya
menggesa supaya para ulama’ serta pemimpin PAS dan UMNO, para mufti dan
pakar-pakar dalam bidang syariah dan perundangan, segera mengadakan pertemuan
dan perbincangan bagi menentukan pendirian,
mengadakan ketetapan dan mencari jalan keluar terhadap isu ini daripada
ia terus menjadi ‘modal politik’ pihak tertentu demi meraih kepentingan yang
bercanggah dengan akidah.
Saya
juga ingin melahirkan rasa bangga dan sokongan terhadap ketegasan PAS di dalam
isu ini. Ketegasan ini bukan sahaja berjaya menyelamatkan akidah umat Islam
bahkan telah melahirkan rasa hormat masyarakat bukan Islam terhadap Islam.
Wallahua’lam.
Saya
yang benar,
EIKHWAN ALI
Pengerusi
INSPIRASI