Perbincangan
seputar ‘PERPADUAN’, ‘POLITIK’, ‘MELAYU’ dan ‘ISLAM’, sangat mendapat perhatian
dalam kalangan rakyat di pelbagai peringkat. Lebih menarik, ia juga suatu yang
cukup sentitif jika silap lontar pandangan dan tidak kurang juga ada yang
sengaja buat baran dan ambil kesempatan.
Ia bukan
perkara baru. Namun, berbeza dengan dahulu, orientasi dan kandungan
perbincangannya lebih akademik, matang dan objektif. Sesuai dengan perkembangan
teknologi maklumat, kesarjanaan para cendekiawan dan kesedaran politik rakyat.
Jika dahulu, para pemerintah cukup untung bermain dengan isu-isu ini, namun
kini belum tentu bahkan silap-silap akan rugi besar.
Kini, sumber
informasi rakyat bukan satu, tapi beribu dan mudah dicapai. Minda rakyat juga
tidak lagi boleh disogok dengan buah fikir para bijaksana pengampu dek ramainya
murabbi yang mengerti amanah ilmu. Rakyat cukup sedar, bahawa “Allah tidak
akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubahnya”.
Rakyat sangat kritis untuk memberi asbab mengapa perubahan itu perlu.
Golongan usahawan
kapitalis, bangsawan kroni dan pemerintah korup pasti tidak mengerti dek sikap
membuta mata dan memekak telinga. Lihat sahaja makan, minum, pakaian dan tempat
tinggal mereka yang berbeza sungguh dengan rakyat marhaen. Rakyat jelata hidup
melata - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susah-payah dan
jerit-perih rakyat bukan urusan mereka. Mereka hanya tahu dan mahu untung,
berada dan kekal berkuasa.
Oleh itu,
mereka mula mencanangkan ‘PERPADUAN’ sebagai penyelesaian setelah puas meniup
api perkauman, idea-idea amalan ‘POLITIK’ yang bernas dan konstruktif dibekukan
atas alasan keselamatan, perundangan dan ‘bukan budaya kita’, bangsa ‘MELAYU’
menjadi mangsa agenda pembodohan keterlaluan, dan hal ehwal ‘ISLAM’
disensasikan dan dijadikan punca pertelagahan.
Hal-hal yang
sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan dikatakan ehsan demi memastikan
rakyat berterima kasih atas kebaikan kerajaan. Sana-sini dikunjungi untuk tawar
sebuah ‘janji ditepati’. Jelas sekali janji-janji terdahulu pasti tertangguh
lagi.
Rakyat
memerhati dan mencermati hal itu semua. Angguk belum tentu suka, geleng belum
tentu benci. Sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tunggu sahaja
pilihanraya. Namun, jika SPR tidak telus, angguk dan geleng rakyat untuk setuju
atau tidak setuju dengan pihak itu dan ini tetap sia-sia. Ketika itu, tidak
salah lagi kalau rakyat memilih jalan raya. Untuk memulih keadaan, rakyat
hanya ada kata dua; kerajaan berubah atau berubah kerajaan. Inilah POLITIK RAKYAT.
Wallahua’lam.