Pages

Ads 468x60px

Labels

Showing posts with label Internasional. Show all posts
Showing posts with label Internasional. Show all posts

Monday, July 23, 2012

RESOLUSI “Urgent Meeting : We Are Brother”


Menyedari bahawa adalah suatu kewajipan di sisi agama bagi mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam khususnya yang sedang ditindas dan dizalimi di Syria, Myanmar dan Palestin, pada 18 Julai 2012 bertempat di Kulliyah of Education UIAM, Institut Forum Siswa (i-FORSIS) dengan kerjasama Ma’ruf Club (MC) UIAM telah menganjurkan “Urgent Meeting : We Are Brother” bagi menetapkan suatu pendirian terhadap isu tersebut dan menyediakan pelan tindakan yang dapat meningkatkan kecaknaan dan rasa tanggungjawab ummah terhadap musibah yang sedang melanda umat Islam di Syria, Mnyanmar, Palestin dan negara-negara umat Islam yang lain.

Hasil daripada pertemuan itu :-
Kami sekeras-kerasnya membantah sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan tersebut dan pembunuhan yang dilakukan itu juga merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan prinsip agama.
 Kami menyeru supaya umat Islam dan masyarakat yang prihatin supaya :
  1. Mengusahakan sedaya upaya bagi mengumpul dan menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
  2. Berterusan memanjatkan doa secara khusus kepada Allah di bulan Ramadan yang mulia ini bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin.
  3. Menyebarluaskan maklumat dan informasi terkini berkenaan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi di Syria, Mnyanmar dan Palestin kepada seluruh peringkat masyarakat melalui medium dan pendekatan yang pelbagai. 
Oleh itu, kami akan :
  1. Menyediakan platform bagi membina dan mengukuhkan kesatuan umat Islam serta bertujuan membincangkan pendirian dan pelan tindakan terhadap isu-isu yang melanda umat Islam.
  2. Melancarkan dana khas bagi mengumpul bantuan kewangan untuk disalurkan kepada umat Islam Syria, Mnyanmar dan Palestin.
  3. Menganjurkan kempen secara berterusan dan besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keadaan umat Islam yang lain.
  4. Mengadakan “Himpunan Solidariti Ummah” pada hari Jumaat, 27 Julai 2012, 2 PM di Masjid UIAM Gombak. 
Oleh hal yang demikian, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan agenda ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Resolusi ini disediakan dan dipersetujui sebulat suara oleh :
  • Hasbullah Mohd Faudzi, Moderator i-FORSIS
  • Mohd Aizzat Abd Rahim, Ma'ruf Club
  • Ni' Nurul Ain Mamat Nor, Ma'ruf Club
  • Muhammad Uzair Izzat Amir, PEMBINA
  • Abdullah Abdulwoheb Al Kamel, Syria
  • Qutub Shah, Myanmar
  • Muhammad Sayed, Myanmar
  • Hassan AbuOmar, Palestin
  • Ummi Kalsom, Vietnam
  • Muhammad Andi Piadani, Indonesia
  • Tami Astie Ulhiza, Indonesia
  • Yan Mary, Cambodia
Tarikh : 23 Julai 2012 (3 Ramadan 1433 H)

Sunday, July 8, 2012

SYRIA PERLUKAN KITA


Minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah mencecah lebih 14000 orang. Peristiwa hitam yang telah berlangsung selama 16 bulan itu sehingga kini menyaksikan pembantaian berterusan regim Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya sendiri. Bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengakhirkan krisis yang sedang berlangsung itu, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang dirancangkan.

Hasrat rakyat Syria adalah supaya kesengsaraan mereka dapat ditamatkan sama ada dengan penyelesaian secara rundingan atau kemenangan segera tentera pembebasan rakyat Syria.

Setelah 6 Perkara Pelan Keamanan Majlis Keselamatan PBB gagal dilaksanakan, terkini, persidangan di Geneva (30 Jun – 1 Julai), ‘Confrence of Islamic Ummah Supporting Syrian People’ di Istanbul (2 – 3 Julai) dan mesyuarat ‘Friends for Syria’ di Paris (7 Julai) secara umumnya telah menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi rakyat Syria dan mengecam tindakan kejam Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya serta mahu ia dihentikan segera. Pelbagai pihak lain juga sedang rancak mengusahakan bantuan kemanusiaan.

Pelbagai spekulasi khususnya berkenaan hubungan regim Bashar al-Asaad dengan Israel dan AS, sebab sokongan Russia terhadap regim tersebut, rasional pendirian Iran dan kemungkinan campur tangan kuasa luar serta kesannya, telah menyebabkan tidak sedikit rakyat Syria sendiri dan umat Islam lainnya masih berkonflik untuk membuat suatu pendirian yang jelas dan tegas terhadap kemelut ini.

Hal ini dinilai oleh pemerhati terhadap sebilangan rakyat negara itu yang semacam berada di persimpangan sama ada untuk menyatakan kesetiaan kepada regim Bashar al-Asaad atau menyokong perjuangan rakyat dek kerana bimbang memikirkan kesan kejatuhan Bashar Al-Asaad akibat kebangkitan yang berlaku dan di sisi yang lain, wujud rasa tragis mengenang kekejaman yang dilakukan oleh regim Bashar al-Asaad.

Spekulasi-spekulasi itu juga telah mengundang pelbagai andaian terhadap apa yang akan berlaku di Syria, antaranya, barat akan menyerang Syria dengan bantuan negara-negara Arab dan Turki, atau kerajaan Syria berjaya mengawal keadaan dan menamatkan kebangkitan rakyat, atau akan berlaku perang saudara yang tidak dapat diramalkan masa depannya.

Apa juga hal sebenarnya tentang spekulasi tersebut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian bahawa sesebuah kerajaan tiada hak untuk mencabuli keamanan negara dan rakyatnya apatah lagi melakukan seperti apa yang telah berlaku di Syria, dan mengecam sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria. Oleh itu, GAMIS menyeru semua pihak untuk turut membantah dan terus memberi tekanan supaya regim Bashar al-Asaad segera menamatkan pembunuhan terhadap rakyatnya, serta bersama-sama mengusahakan dan menyokong misi bantuan material dan spiritual untuk rakyat Syria. Syria perlukan kita!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Naib Presiden GAMIS

Monday, April 9, 2012

SYRIA – Antara Keruncingan dan Sebuah Harapan


Tidak kurang 400 nyawa rakyat Syria terus melayang di tangan pemerintah mereka sendiri bermula sejak awal April lalu sehingga menjelang hari esok, 10 April, iaitu tarikh yang dipersetujui oleh Bashar al-Asaad untuk melaksanakan pelan damai yang diusahakan oleh PBB melalui dutanya, Kofi Annan.

Tempoh yang sepatutnya dimanfaatkan oleh Bashar al-Asaad untuk sekurang-kurangnya mengendurkan ketegangan, digunakan untuk menambah bilangan angka korban rakyatnya sendiri. Alasan tiadanya jaminan daripada ‘pemberontak’ dalam kalangan rakyat untuk juga melakukan genjatan senjata dan sebagai langkah berhati-hati kerajaan terhadap tindakan ‘pengganas’, Bashar al-Asaad lebih rela melihat rakyatnya bersimbah darah.

Menilai situasi ini, kelihatan mustahil sekali pelan damai yang diatur itu akan berjaya memulihkan keamanan di Syria. Tiada langsung keazaman di pihak pemerintah Syria untuk melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mencapai maksud pelan damai tersebut, apatah lagi untuk Bashar al-Asaad mengarahkan tenteranya keluar bersama-sama dengan seluruh senjata ketenteraan dari bandar-bandar yang sedang bergolak.

Rakyatnya yang bangkit di atas kesedaran memperjuangkan kebenaran dan keadilan, dan pengaruh daripada tekanan hidup dan tanggungjawab kemasyarakatan, akibat sikap dan tindakan kerajaan yang tidak amanah dan melakukan kezaliman, akhirnya rakyat dilabel dan dihukum sebagai orang salah, pengganas dan pemberontak yang mesti diambil tindakan.

Penangkapan, pemenjaraan dan pembunuhan adalah dihalalkan oleh Bashar al-Asaad untuk tujuan ‘keselamatan’ negaranya. Lebih daripada itu, rakyat diarah pula untuk ‘bersyahadah’ bahawa Basharlah Tuhan mereka untuk memastikan ketaatan mutlak rakyatnya adalah kepada dirinya.

Harapan kita adalah untuk melihat Syria kembali bebas daripada sebarang bentuk huru-hara, pihak tentera segera diarah keluar daripada bandar-bandar yang sedang bergolak, bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan yang terjejas, tahanan yang terdiri daripada rakyat yang tidak bersalah segera dibebaskan, rakyat diberi kebebasan untuk bergerak di dalam negaranya sendiri dan rakyat diberi jaminan keselamatan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman.

Paling penting adalah untuk kita semua, khusunya umat Islam, mengambil pengajaran daripada tragedi yang memilukan ini, terutamanya pihak kerajaan bagi negara-negara umat Islam, lebih-lebih lagi yang mengangkat tinggi sistem pemerintahan demokrasi dan melaungkan slogan rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Aspirasi dan inspirasi rakyat haruslah dihormati.

Wallahua’lam.

Monday, February 20, 2012

Syria – Kunci Terakhir Kebangkitan Islam...


Lapan bulan sudah berlalu, namun masih tiada tanda ia akan surut. Bumi Syria menjadi saksi kekejaman rejim yang terus berlarutan walaupun siri lontaran suara rakyat dan kecaman antarabangsa terus hebat diadakan.

Di tampuk kuasa, pemerintahnya buta dan tuli rasa kemanusiaan, dan ia bukanlah suatu yang ganjil bagi mereka yang menguasai tampuk kepimpinan secara warisan. Bermula dengan ayahnya, Bashar Al-Assad terus menggasak mereka yang tidak sehaluan dengan citarasanya. Kuakan darah aktivis Ikhwan Muslimin yang bergelimpangan suatu masa dahulu belum berhenti lagi.

Isu pembataian di Syria bukanlah isu yang boleh dianggap terpencil dan lapuk di sisi umat Islam amnya. Sangat aneh jika ia dipandang remeh kerana rakyat tidak berhenti menuntut perkara yang sangat rasional iaitu hak keadilan dan layanan kemanusiaan. Hanya bermula dengan tindakan berani sekumpulan kanak-kanak yang menconteng keinginan untuk meruntuhkan kerajaan Syria di muka dinding bangunan, hukuman bunuh menjadi jawapan bagi mereka. Lantas tindakan kejam ini menuntun rakyat amnya bangkit menentang sistem lapuk tirani dan kebobrokan sosialisme Arab.

Teori Domino yang disebut-sebut seusai kebangkitan rakyat di Tunisia mengajak dunia amnya melihat belahan Timur Tengah secara khusus. Baik dari sudut pergolakan politik, kelemahan sistem ekonomi, masalah kadar pengangguran yang meningkat ditambah kelemahan urus tadir kerajaan menjadi faktor utama yang mendorong revolusi Arab. Kebangkitan Arab tidak berhenti di Mesir, ia terus berlarutan ke Yaman dan Syria, namun lain halnya di Syria berbanding Mesir, tiada lagi tanda Bashar Al-Assad akan turun dari kerusi empuknya.

Keadaan diburukkan lagi dengan penempatan tentera di Homs, serangan demi serangan ke atas rakyat terus berlanjutan walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa ia dihentikan. Lebih menyedihkan apabila masjid-masjid dirobohkan dan para penyokong Bashar Al-Assad masih boleh berarak gembira menyambut kedatangan duta Rusia ke negara itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Para ulama’ terkehadapan memimpin kebangkitan rakyat dengan mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat bangkit mempertahankan hak nyawa dan harta benda mereka. Masyarakat dunia Islam harus sedar bahawa kebangkitan rakyat bukanlah penentangan yang semberono sebaliknya ia merupakan kebangkitan akidah. Kanak-kanak dibunuh, para wanita dirogol dan mereka yang keluar memenuhi jalan-jalan raya berwuduk terlebih dahulu sebelum pergi, kerana mereka belum pasti adakah mereka akan pulang atau sebaliknya.

Inilah manifestasi rakyat yang sudah jemu dengan pemerintahan yang mengenyangkan tembolok pemerintah sedangkan rakyat berada dalam paras kemiskinan. Sosialisme Arab yang bertapak lama sudah tidak mahu diterima lagi kerana ia tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya mengaut hak mereka. Dasar sosialisme yang merampas hak individu dan menyamaratakannya dalam kalangan rakyat mencipta jurang yang besar antara rakyat dan pemerintah.

Untuk rakyat, tindakan bersuara merupakan satu dosa yang besar, mereka harus dibunuh sedangkan ironinya hak untuk bersuara dijamin oleh Islam. Hal ini ditunjukkan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Suatu hari seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dia telah dianiaya oleh jirannya. Lalu baginda mengarahkan agar dia meletakkan barang-barangnya di muka jalan berhampiran rumahnya sebagai tindakan protes terhadap jirannya. Apabila orang lalu-lalang, mereka bertanya apakah yang telah berlaku dan apabila hal sebenar diketahui, jirannya berasa malu dan menghentikan tindakannya. Inilah lunas dan alternatif Islam yang membenarkan tindakan protes atas kekejaman yang berlaku.

Allah juga telah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 148 :

“Allah tidak menyukai perkataan yang buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

Ulama’ tafsir menjelaskan “orang yang dizalimi” dalam ayat tersebut boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa tentang keburukan-keburukan orang yang menzaliminya. Lantas, salahkah rakyat Syria menuntut agar Bashar Al-Assad turun dari kerusinya dan menghentikan pembunuhan yang tidak rasional ini? Pastinya dia bukan menumpahkan darah musuh Islam, tetapi darah watannya sendiri dan penderitaan rakyatnya dipendam sejak pemerintahan rejim ayahnya.

Dalam menangani isu ini, seharusnya Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Liga Arab bijak mencari peluang dan solusi dalam menghentikan kekejaman ini tanpa mengharapkan pertolongan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hakikatnya, isu Syria dipandang enteng seolah-olah tidak diambil peduli walaupun jumlah korban makin meningkat. Media massa lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan yang makin panas dibuai gelombang pilihan raya umum baik kelemahan kerajaan negeri, krisis dalaman sesetengah parti politik, soal intergriti ahli politik dan pelbagai ganjaran yang menanti  rakyat selepas pilihan raya nanti.

Bangunkan ufuk minda, darah umat Islam makin deras mengalir di Syria, lupakah diri pada sabda Rasulullah (saw) :

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sama seperti dia mencintai dirinya.”

Isu Syria tidak tertakluk kepada rakyatnya sahaja, sebaliknya ia merupakan isu bersama umat Islam amnya, apatah lagi ia membabitkan pegangan akidah dan siri kekejaman yang tidak kunjung padam. Revolusi dunia Arab dan kebangkitan rakyatnya tidak harus dipandang sepi lantaran ia memacu semangat kesedaran baru menolak kelemahan sistem ciptaan manusia, yang mana ia tidak menjamin keadilan yang sebenar sebaliknya menawarkan penindasan terhadap rakyat.

Hak bersuara dihalang, nilai nyawa menjadi murah dan perlindungan hak sosial serta kebajikan rakyat terabai mendorong rakyat menolak kerajaan yang korup dan zalim. Dunia Arab dan Asia berkongsi rasa yang sama, disapa angin Islam yang menjadi tali pengikat hubungan ukhwah Islamiah. Maka sudah sampai masanya ia diperkemaskan dan diikat kuat agar ia tidak putus lagi menerusi sokongan dan bantuan yang berterusan. Syria – kunci akhir kebangkitan Islam...akan tiba masanya Islam menang!


Tuesday, December 13, 2011

DOA BUAT SYIRIA


Kanak-kanak seusia 9, 10, 11 dan 12 tahun ditahan dan dikenakan penderaan mental, kuku-kuku tangan dan kaki mereka dicabut, gigi-gigi mereka dipatahkan serta dilakukan penderaan seksual ke atas mereka. Di jalanan, warganegara yang berhimpun tanpa senjata ditembak ketika berarak. Laki-laki dan warga perempuannya yang tidak bersalah, bukan sahaja dilabel sebagai pengganas dan radikal Islam, bahkan dibunuh dan kemudiannya dipotong-potong jasad mereka lalu dikembalikan semula kepada keluarga mereka.

Demikianlah sebahagian potret yang sangat memilukan yang melanda umat Islam di Syiria pada saat dan ketika ini. Membaca dan mendengar pendedahan ini pun sudah cukup untuk membuatkan kita tidak tertanggung membayangkan keperitan yang terpaksa dihadapi oleh mereka.

Meyakini dan mengimani bahawa doa merupakan senjata paling ampuh bagi umat Islam, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh umat Islam untuk walaupun sebaris, memanjatkan dan mengkhususkan doa kepada umat Islam Syiria. Kini mereka terpaksa berhadapan dengan ujian iman yang tidak dihadapi oleh umat Islam yang lain.

Bashar al-Asad, yang mengetuai kerajaan Syiria kini, selepas daripada pemeritahan ayahnya, Hafeez al-Asad, adalah seorang pemerintah diktator yang kejam lagi zalim. Mengamalkan pemerintahan ala Fir’aun, memaksa rakyatnya bersyahadah untuk bersaksikan dirinya sebagai tuhan, mereka mencuri harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan para ulama’, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman memakai hijab dan menindas golongan lemah seperti orag tua dan kanak-kanak.

Bantahan terhadap tangkapan dan penderaan ke atas sekumpulan kanak-kanak yang membuat lakaran tulisan ‘retorik’ “Rakyat Mahu Jatuhkan Kerajaan” di dinding-dinding sekolah telah menjadi titik mula percikan api kebangkitan rakyat Syiria untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar al-Asad. Terkesan dengan kebangkitan rakyat di negara-negara serantau, Bashar al-Asad sanggup bertindak balas secara secara kejam terhadap rakyatnya sendiri setelah ‘janji’nya untuk mengadakan ‘National Dialogue’, ‘Reform’ dan ‘Consultative Meeting’ gagal untuk meredakan kebangkitan rakyat Syiria.

Dalam isu ini, kebimbangan GAMIS adalah apabila komuniti antarabangsa khususnya dikalangan negara-negara umat Islam seolah-olah membisu. Berbeza dengan kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang mendapat liputan meluas beserta bantuan. Kenapa tiada apa yang dilakukan dalam kes Syiria? Sedangkan kekejaman regim Bashar al-Asad amat dimaklumi. Di Tunisia dan Mesir, kebangkitan rakyatnya dikagumi sehingga dinamakan dengan ‘Arab Spring’, namun dalam kes Syiria, ia seolah-olah bertukar kepada ‘winter’.

Kini, rakyat Syiria terpaksa berhadapan dengan kekejaman regim, berada dalam kekalutan politik dan tekanan ketidakstabilan ekonomi. Kekuatan mereka kini hanya pada kebergantungan kepada Allah s.w.t. dan doa-doa yang kita panjatkan untuk mereka. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada mereka dan juga kita untuk memaksa kebatilan dan kezaliman yang berlaku di mana-mana ke jalan mati, lalu kita laungkan kepada mereka – yang zalim itu – semua dengan laungan ‘Allahu Akbar’, sehingga mereka kembali tunduk kepada kekuasaan Allah s.w.t.

Wallahua’lam.

EIKHWAN ALI
Naib Presiden GAMIS

Tuesday, December 6, 2011

Tahniah FJP, rakyat Mesir


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengucapkan tahniah dan syabas kepada sayap politik Ikhwan Muslimin, Freedom and Justice Party (FJP) atas kemenangan dalam pusingan pertama Pilihanraya Dewan Rakyat Mesir.

Jumlah 36.6% yang diperoleh FJP daripada 9.7 juta undi yang sah, diikuti oleh An-Nour Party sebanyak 24.4%, menunjukkan sokongan majoriti rakyat mesir terhadap perjuangan kumpulan Islam untuk menegakkan Islam di negara tersebut.

Tindakan rakyat Mesir ini adalah hasil daripada kesedaran dan semangat untuk menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam dalam perlembagaan Mesir seperti yang dinyatakan dalam Article 2 (Constitutional Declaration 2011) "Islam is the religion of the state, and the Arabic language is its official language. The principles of Islamic law are the chief source of legislation."

Tahniah kepada rakyat Mesir yang memberi penghormatan kepada perlembagaan negara untuk menjunjung tinggi kemuliaan Islam. Doa kami, semoga Allah merahmati kalian.

PRU-13 : Perhatian untuk BN dan PR

Meneliti perkembangan politik Mesir dan dalam berhadapan dengan PRU-13, GAMIS ingin menegaskan :

  1. Kesedaran rakyat bahawa kepimpinan negara mesti diterajui oleh pemimpin yang amanah dan dengan nilai kebebebasan dan keadilan, adalah menjadi asas kepada perubahan yang akan berlaku dalam masyarakat. Perubahan tidak akan berlaku tanpa kesedaran ini.
  2. Parti yang bertanding janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi mendapatkan restu dan kuasa yang singkat. Nilai amanah, adil dan benar adalah asas dan dasar yang harus dipertahankan. Bertindak ‘sesuka hati’ atas nama demokrasi dan kebebasan akan merosakkan masa depan agama, bangsa dan negara.
  3. Serangan pemikiran ke atas generasi muda, dengan menyebar-luaskan kefahaman hak individu sebagai satu yang ‘sacred’, tanpa adanya pengaruh agama di dalamnya, terus dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Justeru, generasi muda ini, harus dibangun dengan penguasaan ilmu dan kefahaman beragama, supaya lahir generasi muda yang mempunyai nilai jatidiri dan iman yang tinggi, bukannya dicandu dengan hiburan yang melalaikan dan gaya hidup yang merosakkan.
  4. Dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam adalah pra-syarat kepada kemenangan Islam. Kuasa semata-mata tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa kuasa itu kemana-mana. Kerana itu, penguasaan ke atas jiwa dan minda masyarakat harus dilakukan dengan agenda dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar, bukannya atas nama ‘isu’ yang bersifat sementara.

Penutup

Kami mendoakan semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kemenangan kepada FJP dalam Pilihanraya Dewan Rakyat, Pilihanraya Dewan Negara dan Pilihanraya Presiden yang akan terus berlangsung itu.

Kami juga mendoakan, semoga Allah s.w.t. memberi kekuatan dan petunjuk kepada umat Islam di Mesir, dan juga Malaysia, bagi mengharungi hari-hari penentu yang akan menyerlahkan keamanan, kebebasan dan keadilan, yang didasari agama Islam.

Wallahua’lam.

Mohd Eikhwan bin M. Ali
Naib Presiden GAMIS