Pages

Ads 468x60px

Monday, April 9, 2012

SYRIA – Antara Keruncingan dan Sebuah Harapan


Tidak kurang 400 nyawa rakyat Syria terus melayang di tangan pemerintah mereka sendiri bermula sejak awal April lalu sehingga menjelang hari esok, 10 April, iaitu tarikh yang dipersetujui oleh Bashar al-Asaad untuk melaksanakan pelan damai yang diusahakan oleh PBB melalui dutanya, Kofi Annan.

Tempoh yang sepatutnya dimanfaatkan oleh Bashar al-Asaad untuk sekurang-kurangnya mengendurkan ketegangan, digunakan untuk menambah bilangan angka korban rakyatnya sendiri. Alasan tiadanya jaminan daripada ‘pemberontak’ dalam kalangan rakyat untuk juga melakukan genjatan senjata dan sebagai langkah berhati-hati kerajaan terhadap tindakan ‘pengganas’, Bashar al-Asaad lebih rela melihat rakyatnya bersimbah darah.

Menilai situasi ini, kelihatan mustahil sekali pelan damai yang diatur itu akan berjaya memulihkan keamanan di Syria. Tiada langsung keazaman di pihak pemerintah Syria untuk melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mencapai maksud pelan damai tersebut, apatah lagi untuk Bashar al-Asaad mengarahkan tenteranya keluar bersama-sama dengan seluruh senjata ketenteraan dari bandar-bandar yang sedang bergolak.

Rakyatnya yang bangkit di atas kesedaran memperjuangkan kebenaran dan keadilan, dan pengaruh daripada tekanan hidup dan tanggungjawab kemasyarakatan, akibat sikap dan tindakan kerajaan yang tidak amanah dan melakukan kezaliman, akhirnya rakyat dilabel dan dihukum sebagai orang salah, pengganas dan pemberontak yang mesti diambil tindakan.

Penangkapan, pemenjaraan dan pembunuhan adalah dihalalkan oleh Bashar al-Asaad untuk tujuan ‘keselamatan’ negaranya. Lebih daripada itu, rakyat diarah pula untuk ‘bersyahadah’ bahawa Basharlah Tuhan mereka untuk memastikan ketaatan mutlak rakyatnya adalah kepada dirinya.

Harapan kita adalah untuk melihat Syria kembali bebas daripada sebarang bentuk huru-hara, pihak tentera segera diarah keluar daripada bandar-bandar yang sedang bergolak, bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan yang terjejas, tahanan yang terdiri daripada rakyat yang tidak bersalah segera dibebaskan, rakyat diberi kebebasan untuk bergerak di dalam negaranya sendiri dan rakyat diberi jaminan keselamatan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman.

Paling penting adalah untuk kita semua, khusunya umat Islam, mengambil pengajaran daripada tragedi yang memilukan ini, terutamanya pihak kerajaan bagi negara-negara umat Islam, lebih-lebih lagi yang mengangkat tinggi sistem pemerintahan demokrasi dan melaungkan slogan rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Aspirasi dan inspirasi rakyat haruslah dihormati.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?