Setelah tiga
tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang
diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya
kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor
baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP
berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang
disasarkan dalam tempoh yang singkat.
Antara yang
dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara
paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah
negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang
dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan
sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.
Namun begitu,
sehingga ke saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang
berhampiran kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka ini ternyata tidak mampu
melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan, rasuah, ragut, lari dari
rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli menjadi tajuk utama di dada
akhbar dan siaran berita di televisyen. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan
tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan.
Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan
seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’
giliran?
Tidak dapat
dinafikan bahawa masalah jenayah ini ada hubungkaitnya dengan keadaan ekonomi
sesebuah negara dan rakyatnya. Antaranya berpunca daripada tekanan hidup akibat
peningkatan kos sara diri dan bebanan hutang. Secara tidak langsung, ia menjadi
punca kepada individu-individu tertentu untuk melakukan sesuatu tindakan luar
jangka yang membahayakan orang lain.
Lebih parah lagi apabila rakyat dapat
melihat dengan jelas bahawa jenayah-jenayah yang sering dibawa kepada muka
pengadilan hakikatnya lebih tertumpu kepada rakyat bawahan. Apabila melibatkan
orang kenamaan atau berjawatan, semacam ia selesai dalam diam. Ini membuktikan
kegagalan sistem kehakiman dan undang-undang dalam menangani masalah ini dan
barangkali juga ia adalah cara golongan atasan untuk mengalih perhatian umum
terhadap penindasan yang berlaku.
Program atau
rancangan hiburan yang tidak dikawal dan melampau juga telah menyumbang kepada berkembangnya budaya hidup
yang merosakkan seterusnya kemungkinan berlakunya pelbagai jenayah. Sebagai
contoh, penganjuran konsert artis
antarabangsa, Girls Generation dari Korea Selatan baru-baru ini yang terkenal
dengan penampilan yang menjolok mata dan tarian mengghairahkan. Hal ini pasti
sekali memberi pengaruh negatif kepada anak-anak muda khususnya dalam cara
pemakaian dan pergaulan mereka.
Di sisi yang
lain pula, berlaku gejala sosial meruncing yang akhirnya menjerumuskan mereka
sehingga ke tahap melakukan penzinaan dan pembuangan serta pembunuhan bayi.
Hiburan yang diketengahkan sepatutnya mestilah dalam kerangka untuk membina
perpaduan dikalangan masyarakat serta sebagai medium pendidikan dan lebih
penting daripada itu mestilah mematuhi norma masyarakat setempat dan batasan
agama.
Tentang
keselamatan di jalan raya juga seharusnya diberi perhatian. Soal infrastruktur
atau sikap pengguna, kedua-duanya perlu diselesaikan bagi menjamin keselamatan
pengguna jalan raya. Saman umpama tidak lagi berkesan sebagai cara untuk
menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif
dalam hal ini.
Menyedari
hakikat ini, kerajaan perlu menilai kembali usaha yang dijalankan agar hasilnya
selepas ini bukan sahaja sekadar mampu membentangkan angka-angka yang sedap
mata memandang dan telinga mendengar, tetapi mestilah sehingga hilang rasa ragu
dan sangsi serta lahir perasaan percaya dan yakin rakyat Malaysia bahawa
Malaysia benar-benar sebuah negara yang aman dan selamat.
Apa yang
lebih menarik, mutakhir ini menunjukkan bagaimana respon anak muda terhadap
ceramah-ceramah agama di Youtube khususnya oleh Ustaz Azhar Idrus, mendapat
sambutan yang cukup menghangatkan. Ini membuktikan bahawa anak-anak muda hari
ini sudahpun menunjukkan isyarat dan menyatakan kesediaan mereka untuk menerima
Islam sepenuhnya sebagai cara hidup mereka, termasuklah dalam pelaksanaan
syariat Islam. Tinggal lagi, bagaimana usaha kerajaan untuk memanfaatkan
peluang ini bagi menyediakan 'suasana yang lebih kondusif' pada masa hadapan ke
arah pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam yang pasti dapat menjamin
keselamatan negara dan rakyat Malaysia untuk hidup bahagia di dunia dan selamat
di akhirat. Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk.
Wallahua’lam
EIKHWAN
ALI
Pengerusi
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI)
Naib Presiden
GAMIS
0 comments:
Post a Comment
Apa Pandangan Anda?