Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 29, 2012

RASULULLAH S.A.W. KHIANAT?



Firman Allah s.w.t., maksudnya : 

“Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.” 
( Ali Imran : 161 )

GOOD GOVERNANCE

Urus tadbir yang baik bagi sesebuah negara sangat penting. Ia bagi menjamin bahawa rasuah dapat dikurangkan, pandangan minoriti diambil kira dan suara-suara yang paling lemah dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga bertujuan untuk lebih responsif kepada keperluan masa kini dan masa depan masyarakat. 

Asas ‘Good Governance’ itu antaranya adalah penglibatan (participation) tanpa kira jantina dan kebebasan bersuara serta berpersatuan, kedaulatan undang-undang (rule of law) yang memerlukan sistem kehakiman yang bebas dan penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama, ketelusan (transparency) yang menuntut supaya keputusan yang diambil dilaksanakan dengan cara yang mengikut peraturan dan undang-undang, maklumat yang cukup boleh didapati secara percuma dan disediakan dalam bentuk yang mudah difahami dan media yang mudah diakses, responsif (responsiveness) dengan memberi khidmat kepada semua pihak yang berkepentingan dalam jangka masa yang munasabah, kesepakatan (consensus oriented) yang hanya boleh dibentuk melalui kefahaman terhadap sejarah, budaya dan sosial sesebuah masyarakat, ekuiti dan inklusif (equity and inclusiveness) yang menyebabkan setiap orang merasakan mereka mempunyai kepentingan dan tidak berasa dikecualikan daripada arus perdana masyarakat, keberkesanan dan kecekapan (effectiveness and efficiency) dalam mengeluarkan hasil yang memenuhi keperluan masyarakat semasa dan penggunaan mampan sumber asli dan perlindungan alam sekitar, dan kebertanggungjawaban (accountability) terhadap orang-orang yang akan terjejas oleh keputusan atau tindakan. 

IMAN DAN AMANAH

Ayat tersebut adalah sangkalan Allah s.w.t. ke atas dakwaan bahawa Nabi s.a.w. telah mengambil sehelai kain baldu merah hasil dari rampasan perang. Mustahil bagi Muhaammad s.a.w. yang diberikan tugas kenabian dan kepimpinan, yang sudah pasti sifatnya adalah amanah, untuk khianat dalam urus tadbir negara khususnya berkaitan hal ehwal perbendaharaan negara. 

Sekaligus, ayat tersebut juga adalah tanda murka Allah s.w.t. kepada orang yang melakukan perkhianatan terhadap amanah. Para pemimpin, yang telah diberikan amanah memelihara kepentingan umum, jika khianat – hak milik rakyat dan negara, diguna seumpama hasil titik peluh sendiri – pastilah lebih-lebih lagi mengundang murka Allah s.w.t. 

Namun, malangnya kini, salah laku tersebut hanya sekadar dinilai dengan kayu ukur ‘Good Governance’, bukannya kayu ukur ‘iman’ yang ada perkiraan dosa dan pahala. Maka tidak hairanlah ada dikalangan pemimpin negara pada hari ini berterusan dalam keseronokan dan kenikmatan menjamah apa yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. 

Daripada ayat tersebut juga, PENGAJARAN kepada umat Islam (yang beriman) adalah, jangan sesekali melakukan pengkhianatan terhadap amanah dan serahkanlah urusan kepimpinan kepada orang yang ada sifat amanah. 

Wallahua’lam.

Monday, January 23, 2012

KEMUNCAK PERJUANGAN KEBEBASAN


Sejak dahulu lagi perjuangan menuntut kebebasan dalam segenap lapangan digerakkan oleh pelbagai pihak yang mewakili variasi inspirasi. Sudah pasti perjuangan ini adalah kerana adanya sekatan atau halangan kepada mereka bagi menjayakan matlamat perjuangan mereka yang lebih besar.

Sebagai contoh, BERSIH 2.0 menuntut agar pilihanraya berlaku secara adil dan bebas, BEBAS menuntut agar tiada pengaruh atau campur tangan dalam dunia akademik dan Seksualiti Merdeka 2011 pula menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Apapun perjuangan kebebasan tersebut, ia mestilah dibina dan digerakkan di atas asas fitrah (فطرة), kemahuan (إرادة) dan pilihan (خيار) yang dinilai melalui nas syariat dan adat masyarakat. Sekiranya tidak, ia adalah sebuah perjuangan yang batil, sia-sia dan mengundang kerosakan.

Kerana itu, sebaik-baik perjuangan kebebasan adalah perjuangan untuk menuntut agar manusia bebas menyampaikan seruan iman kemudiannya beramal soleh, lalu dengan rasa mulia mengakui, ‘sesungguhnya aku dari kalangan orang Islam’.

Sesungguhnya, perjungan ini diiktiraf secara langsung oleh Allah sebagai perjuangan terbaik. Firman Allah s.w.t., maksudnya :
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata : ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’?”
( Surah Fussilat : 33 )

Sekiranya iman disebarkan dan tuntutannya ditegakkan dalam segenap lapangan kehidupan, nescaya pemimpin tidak rasuah, penjawat awam tidak pecah amanah, artis – pelakon dan penyanyi – tidak mendedah aurat dan tidak keterlaluan dalam membuat persembahan, kerana masing-masing ikhlas dengan pengakuan, ‘sesungguhnya aku berserah diri kepada Allah’.

Dengan pengakuan sebegini, pasti yang lebih menjadi pilihan adalah habuan akhirat yang telah dijanjikan Allah s.w.t. walaupun terpaksa sedikit bersusah payah untuk kehidupan dunianya.

Maka, dakwah ila Allah adalah kemuncak perjuangan kebebasan, kerana dengannya, manusia bebas daripada azab neraka Allah s.w.t.

Wednesday, January 4, 2012

PRU13 - TUMBANGKAN UMNO-BN


Tidak pernah setakat ini, sepanjang saya menyertai mana-mana demontrasi atau himpunan aman atau rapat umum yang dianjurkan oleh mana-mana gerakan mahasiswa, menyebut secara jelas perkataan UMNO dan BN ataupun menyatakan penentangan secara terbuka kepada parti yang menjadi pemerintah itu.

Namun, himpunan beberapa hari lepas di hadapan Balai Polis Tanjung Malim yang kemudiannya berpindah ke IPD Tanjung Malim, yang diadakan berikutan tragedi hitam yang menimpa peserta himpunan aman mahasiswa di UPSI, telah menyatakan secara jelas, tegas dan terbuka bahawa kerajaan UMNO-BN perlu ditumbangkan dalam PRU-13 akan datang.

“Tumbang, tumbang, kezaliman!”, “Tumbang, tumbang, UMNO-BN!” telah menjadi slogan keramat yang bukan sahaja dilaungkan oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa yang berucap, bahkan juga ibu bapa kepada mahasiswa yang menjadi mangsa dalam tragedi berdarah di UPSI itu. Laungan slogan itu disambut oleh ratusan orang yang hadir yang terdiri daripada mahasiswa, ibu bapa pelajar dan  penduduk setempat.

Adalah tidak tepat sekadar dengan laungan seperti ini pihak sang penguasa telah menghukum para mahasiswa telah didalangi oleh politikus pembangkang (Pakatan Rakyat) walaupun memang mereka bersama-sama dalam himpunan tersebut, dan sangat tidak bijak pihak polis memberi alasan untuk menafikan tuduhan mereka telah melakukan keganasan.

Bagi saya, adalah lebih penting bagi sang penguasa melihat, membaca dan memahami dua signal penting daripada insiden tersebut. Itupun sekiranya UMNO-BN merasakan masih layak untuk berkuasa dan masih mahu berkuasa dan masih mahu terus kekal berkuasa.

Yang pertama, pernyataan terbuka mahasiswa untuk menumbangkan kerajaan UMNO-BN. Komitmen ini pasti akan terus digerakkan oleh gerakan-gerakan mahasiswa seperti GAMIS, PKPIM, DEMA, KAMI dan lain-lainnya, yang mewakili variasi inspirasi mahasiswa, untuk memastikan tidak kurang 400,000 mahasiswa di Malaysia turut berkongsi cita-cita ini dan bersolidariti menjayakannya. Menariknya lagi, apabila ibu bapa mangsa insiden tersebut turut menyatakan komitmen untuk meraih sokongan seluruh ibu bapa mahasiswa.

Yang kedua, insiden tersebut kini telah mendapat perhatian pelbagai lapis rakyat Malaysia, termasuk para Mufti sehinggalah pelanggan kedai kopi. Khususnya, pada tindak balas pihak polis terhadap apa yang dilakukan oleh peserta demontrasi sehingga menjadi sebuah tragedi berdarah. Keadaan tersebut jelas memperlihatkan sikap tidak berperikemanusiaan (atau kezaliman) pihak polis. Perhatian pelbagai pihak terhadap isu ini sudah pastinya mengundang persepsi dan reaksi negatif terhadap UMNO-BN.

Kini, UMNO-BN tidak sahaja berhadapan dengan Pakatan Rakyat, bahkan turut mendapat bantahan (atau tentangan) sebahagian besar daripada lebih 400,000 mahasiswa, lebih 100,000 peneroka Felda dan lebih 1 juta penjawat awam berikutan pelbagai isu yang menimpa mereka. Pasti sekali, dengan bilangan ini, UMNO-BN akan tumbang dalam PRU13.

“.....Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghina siapa yang Engkau mahu.....”
( Ali Imran : 26 )

Wallahua’lam.