Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 29, 2012

RASULULLAH S.A.W. KHIANAT?



Firman Allah s.w.t., maksudnya : 

“Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.” 
( Ali Imran : 161 )

GOOD GOVERNANCE

Urus tadbir yang baik bagi sesebuah negara sangat penting. Ia bagi menjamin bahawa rasuah dapat dikurangkan, pandangan minoriti diambil kira dan suara-suara yang paling lemah dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga bertujuan untuk lebih responsif kepada keperluan masa kini dan masa depan masyarakat. 

Asas ‘Good Governance’ itu antaranya adalah penglibatan (participation) tanpa kira jantina dan kebebasan bersuara serta berpersatuan, kedaulatan undang-undang (rule of law) yang memerlukan sistem kehakiman yang bebas dan penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama, ketelusan (transparency) yang menuntut supaya keputusan yang diambil dilaksanakan dengan cara yang mengikut peraturan dan undang-undang, maklumat yang cukup boleh didapati secara percuma dan disediakan dalam bentuk yang mudah difahami dan media yang mudah diakses, responsif (responsiveness) dengan memberi khidmat kepada semua pihak yang berkepentingan dalam jangka masa yang munasabah, kesepakatan (consensus oriented) yang hanya boleh dibentuk melalui kefahaman terhadap sejarah, budaya dan sosial sesebuah masyarakat, ekuiti dan inklusif (equity and inclusiveness) yang menyebabkan setiap orang merasakan mereka mempunyai kepentingan dan tidak berasa dikecualikan daripada arus perdana masyarakat, keberkesanan dan kecekapan (effectiveness and efficiency) dalam mengeluarkan hasil yang memenuhi keperluan masyarakat semasa dan penggunaan mampan sumber asli dan perlindungan alam sekitar, dan kebertanggungjawaban (accountability) terhadap orang-orang yang akan terjejas oleh keputusan atau tindakan. 

IMAN DAN AMANAH

Ayat tersebut adalah sangkalan Allah s.w.t. ke atas dakwaan bahawa Nabi s.a.w. telah mengambil sehelai kain baldu merah hasil dari rampasan perang. Mustahil bagi Muhaammad s.a.w. yang diberikan tugas kenabian dan kepimpinan, yang sudah pasti sifatnya adalah amanah, untuk khianat dalam urus tadbir negara khususnya berkaitan hal ehwal perbendaharaan negara. 

Sekaligus, ayat tersebut juga adalah tanda murka Allah s.w.t. kepada orang yang melakukan perkhianatan terhadap amanah. Para pemimpin, yang telah diberikan amanah memelihara kepentingan umum, jika khianat – hak milik rakyat dan negara, diguna seumpama hasil titik peluh sendiri – pastilah lebih-lebih lagi mengundang murka Allah s.w.t. 

Namun, malangnya kini, salah laku tersebut hanya sekadar dinilai dengan kayu ukur ‘Good Governance’, bukannya kayu ukur ‘iman’ yang ada perkiraan dosa dan pahala. Maka tidak hairanlah ada dikalangan pemimpin negara pada hari ini berterusan dalam keseronokan dan kenikmatan menjamah apa yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. 

Daripada ayat tersebut juga, PENGAJARAN kepada umat Islam (yang beriman) adalah, jangan sesekali melakukan pengkhianatan terhadap amanah dan serahkanlah urusan kepimpinan kepada orang yang ada sifat amanah. 

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?