Pages

Ads 468x60px

Thursday, April 26, 2012

50k MAHASISWA AKAN SERTAI BERSIH 3.0


Sejak pengumuman secara rasmi dibuat oleh pihak Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) tentang penganjuran himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka, bermacam-macam respon dibuat oleh pelbagai pihak. Kini, hanya berbaki kurang 1 hari 20 jam 30 minit untuk acara itu berlansung dan respon-respon itu masih berterusan.

Di pihak Pakatan Rakyat (PR), dari Ketua Pembangkang sehinggalah kepada ahli dan penyokong bawahan, semuanya menyatakan sokongan dan memberi komitmen penuh untuk menjayakan siri ke-3 himpunan seumpama itu sejak ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2006.

Sikap Kerajaan Malaysia yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui menterinya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, atas semangat ‘menghormati’ Akta Himpunan Amam 2011, memberi reaksi yang sangat berbeza berbanding ketika penganjuran BERSIH 2.0, awal-awal lagi mengumumkan tiada halangan untuk himpunan itu diadakan.

Malangnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersikap ‘proaktif’ sebagaimana KDN dalam mendepani permohonan daripada pihak BERSIH. Barangkali juga KDN dan DBKL sedang bermain wayang. Ketegasan BERSIH untuk tetap berhimpun di Dataran Merdeka menyebabkan BERSIH dan penyokongnya dilabel sebagai degil dan didakwa cuba mendoktrin rakyat Malaysia untuk tidak menghormati perlembagaan negara serta tidak menghargai keamanan yang sedang dinikmati kini.

Media (TV3, Utusan Malaysia) pula mengambil posisi terpenting untuk mempengaruhi persepsi seluruh rakyat Malaysia. Kenyataan penuh dan ‘bersuara’ oleh beberapa orang menteri, agamawan, ilmuan dan rakyat disiarkan setiap hari untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa himpunan BERSIH 3.0 adalah haram, akan mengancam keselamatan negara, mengganggu kehidupan warga ibu kota, doktrin sesat pembangkang dan tidak rasional. Tidak lain tujuannya melainkan untuk menjatuhkan political mileage lawan politik kerajaan atau sekurang-kurangnya mengurangkan sokongan dan kehadiran rakyat ke BERSIH 3.0.

Mahasiswa selaku kunci penting dalam pembinaan dan pembangunan masa depan Malaysia juga pasti punyai pendirian. Mahasiswa Generasi Y adalah mahasiswa yang berfikir dengan akal, berbicara dengan fakta, mendengar dengan cakna dan memerhati dengan bijaksana pasti akan berekspresi secara rasional.
Penilaiannya adalah bukan soal BN atau PR, kerajaan atau pembangkang. Tetapi asas pertimbangan mahasiswa adalah kebenaran dan keadilan, lebih-lebih lagi dalam soal proses pemilihan kepimpinan negara yang menjadi penentu kepada substance pembinaan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Jika silap langkah, padah! Jika betul, bertuah!
Saya yakin dan percaya, serta memberi jaminan bahawa tidak kurang 50,000 mahasiswa dan anak muda akan menyertai himpunan BERSIH 3.0 pada hari Sabtu ini.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Pengerusi,
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI)

Friday, April 13, 2012

SISTERS : PERSIAPAN ASET NEGARA


Transformasi sosial yang menyeluruh dan kenaikan 23.4 % penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan di sektor awam antara contoh pencapaian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [ KPWKM ] dalam tempoh tiga tahun sepanjang 2009 – 2012. Kejayaan ini telah membuktikan potensi wanita dioptimumkan sebagai asas kepada tiang negara dan salah satu unsur pembangunan negara.

Dalam usaha melestari dan melonjakkan pencapaian diatas dengan lebih efektif, harus diakui bahawa Malaysia hari ini berhadapan beberapa cabaran umumnya dalam kalangan tiga komposisi wanita di Malaysia iaitu :

Thursday, April 12, 2012

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah : Sisi Pandang Mahasiswa


Mengikut Akta Mahkamah Syariah 1965, dapat kita melihat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini masih kecil dan terhad. Hal ini kerana, kebanyakan isu-isu yang timbul, masih tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk membicarakan kes-kes Mal seperti kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka, murtad dan juga kes jenayah sosial seperti berjudi, minum arak dan khalwat.

Ini memperlihatkan kepada umum betapa luasnya bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana ianya mempunyai hak untuk membicarakan semua kes selain daripada yang telah diperincikan ke atas Mahkamah Syariah. Malah, sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda pada tahun 1988, Mahkamah Sivil sebenarnya telah banyak mencampuri bidangkuasa yang telah ditetapkan bagi Mahkamah Syariah. Tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak patut malah dilihat tidak konsisten dan mengelirukan masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Selepas beberapa kontroversi yang wujud kesan daripada campur tangan Mahkamah Sivil keatas Mahkamah Syariah, pindaan dibuat dengan memasukkan Fasal 1A kedalam Perkara 121 pada tahun 1988. Dengan wujudnya fasal baru ini, ternyata bidangkuasa kedua-dua mahkamah menjadi lebih jelas dan kedua-duanya dapat memainkan peranan dengan baik.

HANYA DUA PERKARA YANG MUNGKIN


Menafikan peranan Islam dalam politik adalah suatu kezaliman dan menjadi punca wujudnya pelbagai kezaliman lain terus-menerus. Walau apa juga nama yang diberikan kepada konsep pemisahan ini, jelas sekali prinsipnya bertentangan dengan Islam.

Hubungan Islam dan politik ini telah jelas diterangkan oleh Imam al-Ghazali sebagaimana kata-katanya, “Sedarlah bahawa syariat Islam itu merupakan dasar, dan kuasa itu ialah penjaganya. Perkara yang tiada dasar akan roboh dan perkara yang tiada penjaga akan lenyap.”

Penafian terhadap hubungan Islam dan politik ini telah melahirkan golongan yang memisahkan Islam dan politik. Walaupun secara teorinya Islam diberi pengiktirafan, namun dari sudut praktikal pula, yang berlaku adalah sebaliknya.

Hal ini dapat dinilai melalui keyakinan, ucapan serta tindakan mereka yang sentiasa memisahkan ajaran Islam dengan tuntutan politik. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah dan menjadi punca kepada berlakunya pelbagai masalah dalam masyarakat.

Lebih malang lagi, apabila terdapat pemimpin-pemimpin dalam kalangan masyarakat dan negara umat Islam menganggap seruan-seruan ke arah mencontohi prinsip-prinsip pemerintahan di zaman Nabi s.a.w. dan Khalifah Islam sebagai seruan dongengan dan tidak praktikal untuk dilaksanakan di zaman ini. Bahkan, golongan yang menyeru itu pula dilabel sebagai keterlaluan dan tidak memahami wasatiyyah di dalam Islam.

Islam mengiktiraf institusi kerajaan dan meletakkannya sebagai satu elemen sistem sosial yang sangat penting untuk memastikan kestabilan hidup masyarakat. Pengiktirafan ini jelas di dalam sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila kamu tiba di sebuah negeri yang tiada pemimpin, hendaklah kamu beredar meninggalkannya.”

Islam menyediakan asas dan prinsip untuk menegakkan kerajaan tanpa menafikan kebijaksanaan akal untuk turut sama berperanan. Namun mestilah difahami bahawa bijaksananya akal tetap terbatas sesuai dengan fungsinya yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, ia perlu dipandu dengan wahyu Ilahi. Tindakan mengenepikan nas dengan mendepankan akal adalah tindakan manusia yang dikuasai nafsu.

Pemimpin jahil yang diangakat ke kerusi kekuasaan akan menjahiliyyahkan masyarakat. Jahil bukan kerana tidak bijak akalnya tetapi kerana kaku dan beku pemerintahannya tanpa roh Islam. Lalu terbangunlah masyarakat yang ragu dan sangsi terhadap Islam, jauh sekali untuk menjadikannya sebagai cara hidup.  

Ulamak pula dinafikan kedudukan dan peranannya, hanya sekadar diberi kuasa untuk mengeluarkan fatwa halal-haram dalam fiqh Ibadah, tidak dalam fiqh Siyasah. Dalam hal urusan pemerintahan dan pentadbiran, halal atau haram sesuatu perkara adalah kerana lesennya. Dipersepsikan pula bahawa ulamak yang terjun ke lapangan politik sebagai tidak tsiqah dan telah mengotorkan kesucian Islam, dan dijadikan ulamak ini pula sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Malang lagi, ada pula ulamak yang mengampu sang penguasa, bukannya mahu ‘mengampu’ Yang Maha Berkuasa.

Hanya dua perkara yang mungkin, Islam 'sampai' kepada pemerintah atau pemerintahan beralih kepada kumpulan Islam. Berdoalah kepada Allah untuk kedua-duanya.

Wallahua’lam.

Tuesday, April 10, 2012

GTP : Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk


Setelah tiga tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.

Antara yang dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.

Namun begitu, sehingga ke saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang berhampiran kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka ini ternyata tidak mampu melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan, rasuah, ragut, lari dari rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli menjadi tajuk utama di dada akhbar dan siaran berita di televisyen. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan. Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’ giliran?

Monday, April 9, 2012

SYRIA – Antara Keruncingan dan Sebuah Harapan


Tidak kurang 400 nyawa rakyat Syria terus melayang di tangan pemerintah mereka sendiri bermula sejak awal April lalu sehingga menjelang hari esok, 10 April, iaitu tarikh yang dipersetujui oleh Bashar al-Asaad untuk melaksanakan pelan damai yang diusahakan oleh PBB melalui dutanya, Kofi Annan.

Tempoh yang sepatutnya dimanfaatkan oleh Bashar al-Asaad untuk sekurang-kurangnya mengendurkan ketegangan, digunakan untuk menambah bilangan angka korban rakyatnya sendiri. Alasan tiadanya jaminan daripada ‘pemberontak’ dalam kalangan rakyat untuk juga melakukan genjatan senjata dan sebagai langkah berhati-hati kerajaan terhadap tindakan ‘pengganas’, Bashar al-Asaad lebih rela melihat rakyatnya bersimbah darah.

Menilai situasi ini, kelihatan mustahil sekali pelan damai yang diatur itu akan berjaya memulihkan keamanan di Syria. Tiada langsung keazaman di pihak pemerintah Syria untuk melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mencapai maksud pelan damai tersebut, apatah lagi untuk Bashar al-Asaad mengarahkan tenteranya keluar bersama-sama dengan seluruh senjata ketenteraan dari bandar-bandar yang sedang bergolak.

Rakyatnya yang bangkit di atas kesedaran memperjuangkan kebenaran dan keadilan, dan pengaruh daripada tekanan hidup dan tanggungjawab kemasyarakatan, akibat sikap dan tindakan kerajaan yang tidak amanah dan melakukan kezaliman, akhirnya rakyat dilabel dan dihukum sebagai orang salah, pengganas dan pemberontak yang mesti diambil tindakan.

Penangkapan, pemenjaraan dan pembunuhan adalah dihalalkan oleh Bashar al-Asaad untuk tujuan ‘keselamatan’ negaranya. Lebih daripada itu, rakyat diarah pula untuk ‘bersyahadah’ bahawa Basharlah Tuhan mereka untuk memastikan ketaatan mutlak rakyatnya adalah kepada dirinya.

Harapan kita adalah untuk melihat Syria kembali bebas daripada sebarang bentuk huru-hara, pihak tentera segera diarah keluar daripada bandar-bandar yang sedang bergolak, bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan yang terjejas, tahanan yang terdiri daripada rakyat yang tidak bersalah segera dibebaskan, rakyat diberi kebebasan untuk bergerak di dalam negaranya sendiri dan rakyat diberi jaminan keselamatan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman.

Paling penting adalah untuk kita semua, khusunya umat Islam, mengambil pengajaran daripada tragedi yang memilukan ini, terutamanya pihak kerajaan bagi negara-negara umat Islam, lebih-lebih lagi yang mengangkat tinggi sistem pemerintahan demokrasi dan melaungkan slogan rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Aspirasi dan inspirasi rakyat haruslah dihormati.

Wallahua’lam.