Mengikut Akta
Mahkamah Syariah 1965, dapat kita melihat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah
di negara ini masih kecil dan terhad. Hal ini kerana, kebanyakan isu-isu yang
timbul, masih tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah
hanya berkuasa untuk membicarakan kes-kes Mal seperti kekeluargaan,
perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka, murtad dan juga kes jenayah
sosial seperti berjudi, minum arak dan khalwat.
Ini memperlihatkan
kepada umum betapa luasnya bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana ianya mempunyai
hak untuk membicarakan semua kes selain daripada yang telah diperincikan ke
atas Mahkamah Syariah. Malah, sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda pada
tahun 1988, Mahkamah Sivil sebenarnya telah banyak mencampuri bidangkuasa yang
telah ditetapkan bagi Mahkamah Syariah. Tindakan sedemikian adalah sesuatu yang
tidak patut malah dilihat tidak konsisten dan mengelirukan masyarakat yang
beragama Islam di negara ini.
Selepas beberapa
kontroversi yang wujud kesan daripada campur tangan Mahkamah Sivil keatas
Mahkamah Syariah, pindaan dibuat dengan memasukkan Fasal 1A kedalam Perkara 121
pada tahun 1988. Dengan wujudnya fasal baru ini, ternyata bidangkuasa kedua-dua
mahkamah menjadi lebih jelas dan kedua-duanya dapat memainkan peranan dengan
baik.
Ternyata setelah itu,
jika wujud ura-ura campur tangan daripada Mahkamah Sivil keatas Mahkamah
Syariah, pakar perundangan negara akan segera mengingatkan tentang pemisahan
bidang kuasa kedua-dua mahkamah seperti yang termaktub dalam Fasal 1A Perkara
121 Perlembagaan Persekutuan.
Secara lazimnya,
apabila bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya tertakluk kepada kes-kes seperti
yang dibicarakan diatas, sudah pasti denda dan hukuman yang dikenakan juga
adalah setimpal dengan bidang kuasa yang terhad itu. Umum mengetahui, denda dan
hukuman yang dikenakan adalah sangat sinonim dengan angka 356. Apakah maksud
disebalik angka 356 ini? 3 itu adalah bagi hukuman denda yang tidak melebihi 3
tahun penjara, 5 itu adalah bagi denda yang tidak melebihi RM5,000 dan 6 itu
adalah bagi hukuman rotan tidak melebihi 6 sebatan. Ini bermakna, untuk
kesalahan-kesalahan yang termaktub di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah,
angka 356 itu adalah denda dan hukuman yang paling maksimum yang boleh
dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah terhadap pesalah-pesalahnya yang sudah pasti
beragama Islam.
Manakala, jika
dilihat bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil sangat meluas
malahan denda yang dikenakan juga melangkaui angka 3 tahun penjara, denda tidak
melebihi RM 5,000 dan rotan tidak melebihi 6 sebatan.
Ironinya disini, jika
setelah 31 tahun merdeka, pemimpin Malaysia dan pakar perundangan negara dapat
melihat dengan jelas akan kepentingan pemisahan bidang kuasa Mahkamah Syariah
dengan memperuntukkan Fasal 1A kedalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
Maka mengapa setelah hampir 55 tahun Malaysia bebas mengurus sendiri ini, kita
masih belum mampu mempertingkatkan kualiti denda dan hukuman 356 tersebut.
Implikasinya kepada
masyarakat atau khususnya kepada pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan
dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah ini adalah sangat kurang memberi makna
kepada jati diri mereka sebagai seorang yang menganut agama Islam. Ini berlaku
apabila denda dan hukuman yang diperuntukkan dipandang ringan oleh mereka,
berbanding denda dan hukuman yang diperuntukkan oleh Mahkamah Sivil. Kerajaan
pada hari ini perlu melakukan sesuatu yang sewajarnya, bagi mendidik jiwa
masyarakat Islam di negara ini agar undang-undang Islam itu tidak di pandang
remeh oleh mereka.
Selain itu, isu
perbankan Islam juga semakin hangat dibincangkan. Tambahan pula, Malaysia pada
hari ini mempelopori bidang ini sehingga negara-negara luar banyak merujuk
kepada penasihat syariah dari Malaysia untuk mengembangkan perbankan Islam di
negara mereka. Tidak dinafikan ini adalah sesuatu yang amat baik bagi Malaysia
amnya dan secara tidak langsung mengangkat martabat Islam dimata dunia.
Namun, apa yang
berlaku di Malaysia, apabila meluasnya isu perbankan Islam dan wujudnya
beberapa masalah, perkara ini tidak dibicarakan di Mahkamah Syariah, tetapi
dibicarakan di Mahkamah Sivil disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah isu
perbankan Islam yang termaktub dibawah List 1 Ninth Schedule.
Di sini, Parlimen
mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan disebabkan itulah isu ini
dibawa kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil. Berdasarkan contoh kes BIMB vs.
Adnan Bin Omar [1994], hakim telah memutuskan bahawa Bank Islam itu adalah
satu entiti yang tidak bernyawa yang mempunyai agama sepertimana seorang Islam.
Oleh itu, isu Bank Islam tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana
peruntukan undang-undang yang ada mengehadkan hanya mereka yang beragama Islam
tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Itulah keputusannya
jika hakim mentafsir secara literal, sedangkan hakim boleh meneliti isu ini
dengan lebih mendalam dengan menggunakan prinsip golden view iaitu
dengan melihat siapakah orang disebalik Bank Islam yang mengurus perbankan itu.
Sudah semestinya orang yang bertanggungjawab dalam perbankan ini adalah mereka
yang beragama Islam. Oleh itu, isu agama bukan lagi satu isu besar untuk
menafikan hak Mahkamah Syariah bagi membicarakan isu perbankan Islam.
Pada asasnya, isu ini
sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana hakim di Mahkamah Sivil tidak
mempunyai ilmu muamalat Islam yang mantap seperti hakim-hakim yang ada di
Mahkamah Syariah. Ini kerana, hakim-hakim di Mahkamah Syariah itu sendiri
mempunyai asas ilmu syariah yang lebih jitu. Kesannya disini, telah wujud
banyak kesalahan dalam keputusan isu perbankan Islam yang dibicarakan di
Mahkamah Sivil dan secara tidak langsung, masyarakat juga berasa terkilan
dengan keputusan hakim dan sistem yang ada.
Kesalahan yang
diputuskan oleh hakim di Mahkamah Sivil ini amat membimbangkan banyak pihak,
walaupun pada dasarnya mereka ada merujuk kepada penasihat-penasihat syariah
sebelum memutuskan sesuatu keputusan. Namun kesalahan itu masih wujud dan malah
dilihat tidak sepatutnya berlaku.
Ya, bukan mudah untuk
mengubah sesuatu yang telah lama dipraktiskan. Tetapi selagi mana isu tersebut
masih mampu ditangani oleh manusia, ianya adalah sesuatu yang tidak mustahil
dengan izin Tuhan. Persoalannya sejauhmana kesungguhan isu ini diteliti dan
diambil perhatian?
Besar harapan kami
INSPIRASI agar isu ini diteliti dan diperjuangkan. Pemimpin yang budiman
sekalian harus meneliti perkara ini dengan bijak kerana ianya menyentuh hak
masyarakat, maslahah ummah dan martabat Islam itu sendiri. Konsep perbankan
Islam hukumnya adalah harus disisi Islam malah syariah telah menggariskan
konsep tersebut dengan begitu cantik sekali di bawah bab muamalat.
Pada pandangan saya
sepatutnya, aplikasinya juga haruslah berlandaskan syara’ dan diletakkan
di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah agar maqsad syariah itu
sendiri dapat dipelihara.
FARHANA OMAR
Timbalan Pengerusi
INSPIRASI
Timbalan Ketua
Penerangan GAMIS
0 comments:
Post a Comment
Apa Pandangan Anda?