Pages

Ads 468x60px

Friday, April 13, 2012

SISTERS : PERSIAPAN ASET NEGARA


Transformasi sosial yang menyeluruh dan kenaikan 23.4 % penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan di sektor awam antara contoh pencapaian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [ KPWKM ] dalam tempoh tiga tahun sepanjang 2009 – 2012. Kejayaan ini telah membuktikan potensi wanita dioptimumkan sebagai asas kepada tiang negara dan salah satu unsur pembangunan negara.

Dalam usaha melestari dan melonjakkan pencapaian diatas dengan lebih efektif, harus diakui bahawa Malaysia hari ini berhadapan beberapa cabaran umumnya dalam kalangan tiga komposisi wanita di Malaysia iaitu :

Ketandusan Kepemimpinan Wanita

Kenaikan peratusan penyertaan wanita dalam bidang pentadbiran negara menunjukkan ruang untuk wanita mengoptimumkan peranannya di peringkat nasional telah diberi perhatian serius. Namun, prestasi kepemimpinan wanita hari ini masih lagi tidak melengkapi dua paksi utama kepimpinan – kompetensi [Qawiyy] mahupun integriti [Al – Amin]. Pelbagai krisis, pertikaian dan konflik yang berlaku nyata merencatkan perjalanan agenda kemajuan buat manfaat seisi masyarakat.

Kejahilan Hak – Hak Wanita

Antara kelemahan yang ketara dalam kalangan wanita hari ini adalah tidak memahami dengan mendalam hak – hak mereka. Kebanyakan daripada mereka cenderung memilih untuk tidak mengambil tindakan atau berdiam diri apabila terperangkap dalam kezaliman, diekspoitasi, mahupun dimanipulasi. Namun, wanita juga perlu berilmu dalam menuntut hak supaya tidak melampaui batas – batas yang telah digariskan oleh syara’ dan perundangan.

Keruntuhan Akhlak Gadis Semasa

Saban hari kita dipaparkan dengan pelbagai berita yang menunjukkan kerosakan moral dan akhlak remaja mahupun gadis semasa. Keldai dadah, lari dari rumah, pengkid, isu ketransjantinaan dan pelbagai masalah – masalah sosial kian meruncing.
Justeru, cabaran – cabaran yang disebutkan di atas menuntut kita selaku mahasiswi khususnya untuk bersama – sama mempersiapkan diri dengan segala keupayaan serta memanfaatkan peluang berada di taman ilmu institusi pengajian tinggi antaranya :
  1. Mengoptimumkan peluang majlis – majlis ilmu bagi menguasai asas – asas kefahaman Islam walau apa jua bidang pengajian yang sedang ditekuni
  2. Melatih diri untuk terus mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian
  3. Mengkaji akar umbi punca dan realiti permasalahan masyarakat
  4. Melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran asas seni memimpin di mana – mana peringkat
Persiapan ini penting kerana mahasiswi merupakan aset terbesar negara dan unsur terpenting yang merintis proses perubahan menyeluruh demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Kunci masyarakat idaman bermula dari perubahan sikap kita!

Wallahua’alam.

ADIELA KAMARIZZAMAN
Timbalan Presiden II
Ma’ruf Club 2011/2012

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?