Jika awal tahun dahulu, medan tahrir menjadi saksi
berlakunya revolusi menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak, akhir tahun ini
pula MedanTahrir menjadi saksi rakyat diperlakukan dengan kejam dan keterlaluan
oleh tentera mesir lebih-lebih lagi ianya berlaku kepada wanita. Tentera Mesir
telah mengambil alih kerajaan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan
pada 11 Februari lalu.
Pada awalnya, kehadiran tentera Mesir diterima rakyat, tetapi kini rakyat Mesir
bangkit menuntut agar kepimpinan kerajaan kembali ditadbir oleh orang awam dan
menuntut Dewan Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) segera melepaskan
pentadbiran negara.
Tindakan biadap tentera mesir menperlihatkan kepada dunia bahawa mereka ini
kejam. Apatah lagi minggu lalu, tiga orang tentera memukul seorang wanita yang
tidak bersenjata, menarik pakaian wanita itu, dan menyeret dia ke bawah jalan
Kaherah.
Penghinaan buat wanita
Sinergi Gabungan Mahasiswi (SIGMA) dengan tegasnya menyatakan kecaman dan
menyifatkan tindakan tentera tersebut adalah tindakan yang tidak
berperikemanusiaan dan biadap. Ianya memperlihatkan bahawa bukan sahaja wanita
itu dibelasah, malah lebih teruk lagi bilamana mengaibkan dan mencabul
kehormatannya sebagai seorang wanita. Ini merupakan penghinaan terhadap seorang
wanita yang jelas bukan sahaja melukai fizikal wanita itu, malah emosi seluruh
wanita di dunia. Kaum wanita sepatutnya
dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya
menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.
Tindakan tentera ‘melukai’ revolusi
Insiden yang berlaku ini menempelak dunia arab yang hebat melaungkan larangan
keganasan terhadap wanita yang tidak bersenjata kerana yang berlaku adalah
sebaliknya. Pihak tentera pada mulanya melindungi para aktivis revolusi pada
bulan Februari dahulu kini secara terbuka menyerang dan menzalimi orang
awam,malah tidak akan mengubah polisi perang mereka terhadap aktivisme
demokrasi. Tindakan demi tindakan yang dilakukan pihak tentera ini tanpa
disedari ‘melukai’ revolusi rakyat mesir.
Laungan dunia : Selamatkan wanita
Wanita mampu bangkit berani jika emosinya tercalar. Tarikh 24 disember ini
membuktikan tidak mudah bagi wanita untuk kalah dengan keadaan. Sebanyak 10 000
orang wanita Mesir telah turun ke jalanan, dengan lantangnya melaungkan
“Anak-anak perempuan Mesir adalah satu barisan merah!”, mereka bangun membantah
tindakan zalim dan kejam tentera terhadap aktivis wanita itu.
SIGMA menyeru seluruh badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, organisasi hal
ehwal wanita dan mahasiswi samaada dalam negara dan luar negara untuk bersuara
menyatakan bantahan dan kecaman terhadap kezaliman yang berlaku. Jika 10 000
wanita Mesir menggerakkan jasad mereka
turun ke jalanan, marilah kita anak muda dan wanita di Malaysia mengerakkan
jiwa menyatakan kebenciaan kita terhadap pencabulan kehormatan wanita.
Jika 1 orang wanita dianiayai, biar seluruh wanita di dunia bangkit dengan
sedar mempertahankannya.
Selamatkan Wanita!!
Rohayu Rusli
Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)