Pages

Ads 468x60px

Thursday, April 12, 2012

HANYA DUA PERKARA YANG MUNGKIN


Menafikan peranan Islam dalam politik adalah suatu kezaliman dan menjadi punca wujudnya pelbagai kezaliman lain terus-menerus. Walau apa juga nama yang diberikan kepada konsep pemisahan ini, jelas sekali prinsipnya bertentangan dengan Islam.

Hubungan Islam dan politik ini telah jelas diterangkan oleh Imam al-Ghazali sebagaimana kata-katanya, “Sedarlah bahawa syariat Islam itu merupakan dasar, dan kuasa itu ialah penjaganya. Perkara yang tiada dasar akan roboh dan perkara yang tiada penjaga akan lenyap.”

Penafian terhadap hubungan Islam dan politik ini telah melahirkan golongan yang memisahkan Islam dan politik. Walaupun secara teorinya Islam diberi pengiktirafan, namun dari sudut praktikal pula, yang berlaku adalah sebaliknya.

Hal ini dapat dinilai melalui keyakinan, ucapan serta tindakan mereka yang sentiasa memisahkan ajaran Islam dengan tuntutan politik. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah dan menjadi punca kepada berlakunya pelbagai masalah dalam masyarakat.

Lebih malang lagi, apabila terdapat pemimpin-pemimpin dalam kalangan masyarakat dan negara umat Islam menganggap seruan-seruan ke arah mencontohi prinsip-prinsip pemerintahan di zaman Nabi s.a.w. dan Khalifah Islam sebagai seruan dongengan dan tidak praktikal untuk dilaksanakan di zaman ini. Bahkan, golongan yang menyeru itu pula dilabel sebagai keterlaluan dan tidak memahami wasatiyyah di dalam Islam.

Islam mengiktiraf institusi kerajaan dan meletakkannya sebagai satu elemen sistem sosial yang sangat penting untuk memastikan kestabilan hidup masyarakat. Pengiktirafan ini jelas di dalam sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila kamu tiba di sebuah negeri yang tiada pemimpin, hendaklah kamu beredar meninggalkannya.”

Islam menyediakan asas dan prinsip untuk menegakkan kerajaan tanpa menafikan kebijaksanaan akal untuk turut sama berperanan. Namun mestilah difahami bahawa bijaksananya akal tetap terbatas sesuai dengan fungsinya yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, ia perlu dipandu dengan wahyu Ilahi. Tindakan mengenepikan nas dengan mendepankan akal adalah tindakan manusia yang dikuasai nafsu.

Pemimpin jahil yang diangakat ke kerusi kekuasaan akan menjahiliyyahkan masyarakat. Jahil bukan kerana tidak bijak akalnya tetapi kerana kaku dan beku pemerintahannya tanpa roh Islam. Lalu terbangunlah masyarakat yang ragu dan sangsi terhadap Islam, jauh sekali untuk menjadikannya sebagai cara hidup.  

Ulamak pula dinafikan kedudukan dan peranannya, hanya sekadar diberi kuasa untuk mengeluarkan fatwa halal-haram dalam fiqh Ibadah, tidak dalam fiqh Siyasah. Dalam hal urusan pemerintahan dan pentadbiran, halal atau haram sesuatu perkara adalah kerana lesennya. Dipersepsikan pula bahawa ulamak yang terjun ke lapangan politik sebagai tidak tsiqah dan telah mengotorkan kesucian Islam, dan dijadikan ulamak ini pula sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Malang lagi, ada pula ulamak yang mengampu sang penguasa, bukannya mahu ‘mengampu’ Yang Maha Berkuasa.

Hanya dua perkara yang mungkin, Islam 'sampai' kepada pemerintah atau pemerintahan beralih kepada kumpulan Islam. Berdoalah kepada Allah untuk kedua-duanya.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?