Pages

Ads 468x60px

Sunday, July 8, 2012

SYRIA PERLUKAN KITA


Minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah mencecah lebih 14000 orang. Peristiwa hitam yang telah berlangsung selama 16 bulan itu sehingga kini menyaksikan pembantaian berterusan regim Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya sendiri. Bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengakhirkan krisis yang sedang berlangsung itu, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang dirancangkan.

Hasrat rakyat Syria adalah supaya kesengsaraan mereka dapat ditamatkan sama ada dengan penyelesaian secara rundingan atau kemenangan segera tentera pembebasan rakyat Syria.

Setelah 6 Perkara Pelan Keamanan Majlis Keselamatan PBB gagal dilaksanakan, terkini, persidangan di Geneva (30 Jun – 1 Julai), ‘Confrence of Islamic Ummah Supporting Syrian People’ di Istanbul (2 – 3 Julai) dan mesyuarat ‘Friends for Syria’ di Paris (7 Julai) secara umumnya telah menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi rakyat Syria dan mengecam tindakan kejam Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya serta mahu ia dihentikan segera. Pelbagai pihak lain juga sedang rancak mengusahakan bantuan kemanusiaan.

Pelbagai spekulasi khususnya berkenaan hubungan regim Bashar al-Asaad dengan Israel dan AS, sebab sokongan Russia terhadap regim tersebut, rasional pendirian Iran dan kemungkinan campur tangan kuasa luar serta kesannya, telah menyebabkan tidak sedikit rakyat Syria sendiri dan umat Islam lainnya masih berkonflik untuk membuat suatu pendirian yang jelas dan tegas terhadap kemelut ini.

Hal ini dinilai oleh pemerhati terhadap sebilangan rakyat negara itu yang semacam berada di persimpangan sama ada untuk menyatakan kesetiaan kepada regim Bashar al-Asaad atau menyokong perjuangan rakyat dek kerana bimbang memikirkan kesan kejatuhan Bashar Al-Asaad akibat kebangkitan yang berlaku dan di sisi yang lain, wujud rasa tragis mengenang kekejaman yang dilakukan oleh regim Bashar al-Asaad.

Spekulasi-spekulasi itu juga telah mengundang pelbagai andaian terhadap apa yang akan berlaku di Syria, antaranya, barat akan menyerang Syria dengan bantuan negara-negara Arab dan Turki, atau kerajaan Syria berjaya mengawal keadaan dan menamatkan kebangkitan rakyat, atau akan berlaku perang saudara yang tidak dapat diramalkan masa depannya.

Apa juga hal sebenarnya tentang spekulasi tersebut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian bahawa sesebuah kerajaan tiada hak untuk mencabuli keamanan negara dan rakyatnya apatah lagi melakukan seperti apa yang telah berlaku di Syria, dan mengecam sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria. Oleh itu, GAMIS menyeru semua pihak untuk turut membantah dan terus memberi tekanan supaya regim Bashar al-Asaad segera menamatkan pembunuhan terhadap rakyatnya, serta bersama-sama mengusahakan dan menyokong misi bantuan material dan spiritual untuk rakyat Syria. Syria perlukan kita!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Naib Presiden GAMIS

1 comment:

  1. Mengecam campur tangan luar? habis macamana nak leraikan pergelutan dalaman yang rakyat mereka sendiri tiada senjata untuk melawan?

    ReplyDelete

Apa Pandangan Anda?