Pages

Ads 468x60px

Monday, January 31, 2011

KELESTARIAN POLITIK MAHASISWA


[1]
Apakah sebenarnya fungsi dan peranan mahasiswa yang berada di universiti? Apakah tujuan mereka berada di universiti semata-mata untuk ber‘akademik’ semata-mata dan mengabaikan aspek sumber manusia yang bakal mereka jadi pada masa akan datang? Ada pihak menafikan penglibatan mahasiswa dalam politik kerana katanya tugas mahasiswa ini hanyalah di bilik-bilik kuliah, menyerap segala ilmu yang diajar, dan tidak diajar berfikir dari luar konteks bilik kuliah.


[2] Perkara ini menjadi kontradiktri dengan apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukaddimah berkaitan dengan manusia ini secara semulajadinya adalah berpolitik. Semua manusia secara tidak langsung, mahu tidak mahu, akan melibatkan diri mereka dalam politik dan organisasi sosial dan semestinya mahasiswa tidak terkecuali dalam hal ini. Namun, apabila menyentuh tentang politik mahasiswa, kita tidak bicara tentang politik kebudak-budakan apatah lagi kebinatangan, sebaliknya kita bercakap tentang politik kematangan.

[3] Menjadi persepsi segelintir manusia, apabila disebut tentang politik, terbayang dalam pemikiran mereka bahawa sesungguhnya politik ini adalah merupakan satu keadaan yang penuh dengan kejahatan dan kekotoran kerana mereka memahami dalam konteks tafsiran Machiavelli yang menjadikan segala apa cara adalah halal untuk mencapai matlamat. Dalam konteks mahasiswa, kelestarian politik hanya akan dapat dicapai melalui dua asas iaitu :
  • Politik Ilmu
  • Politik Nilai
Melalui asas ilmu dan nilai, mahasiswa dapat menjauhi politik sentimen yang acap kali dilabel sebagai sandaran kepada parti pemerintah mahupun pembangkang. Melalui dua asas ini, mahasiswa akan menjadi golongan penganalisis dan golongan yang menjadi rujukan bagi masyarakat berkaitan politik semasa.
[4] Begitu juga dalam konteks kampus, politik mahasiswa seharusnya tidak dicemari dengan unsur-unsur yang merencatkan keterbukaan mahasiswa untuk bersuara. Saya nyatakan beberapa perkara yang menjadi perencat kepada pergerakan politik mahasiswa :
  • Tekanan undang-undang
  • Gangsterisme
Dua unsur luaran ini memberi kesan kepada mahasiswa untuk menyuarakan hak-hak mereka sebagai seorang mahasiswa yang mana akan membawa kepada kongkongan intelektual. Kongkongan intelektual ini jugalah yang akan menyebabkan berlakunya gejala ‘pandirisme’ dalam politik nasional selepas ini.
[5] Selain daripada tekanan luaran, konflik dalaman juga memainkan peranan. Politik mahasiswa harus difahami oleh seluruh golongan yang digelar mahasiswa ini bukan sebagai tempat mencari publisiti tanpa memahami aspirasi politik sebenar serta hala tuju bagi seluruh warga universiti. Begitu juga, konflik dalaman boleh juga berlaku dalam kalangan mahasiswa yang berpolitik apabila orientasi kuasa menjadi lebih besar berbanding matlamat, ataupun sekiranya ingin mencapai matlamat, mereka akan melakukan apa jua cara sehingga mereka dapat apa yang ingin mereka capai.

[6] Perkara-perkara sebeginilah yang perlu dijauhi. Mahasiswa belum bestari sekiranya mengabaikan politik, namun tidak mencapai lestari sekiranya menyerap segala unsur yang tidak sihat sebagai amalan politik, lantas mengabaikan politik nilai dan ilmu.

[7] Kesimpulannya, beberapa perkara perlu dipenuhi dalam usaha untuk mencapai kelestarian politik mahasiswa, iaitu :

  • Persepsi berkaitan politik itu kotor perlu dibersihkan dalam minda mahasiswa.
  • Orientasi politik mahasiswa mesti berasaskan ilmu dan hujah. Melalui nilai pula, mahasiswa akan mempertimbangkan ketepatan dan kebenaran tentang sesuatu perkara selain menjadi contoh kepada masyarakat.
  • Hedonisme yang melampau tidak seharusnya menjadi sebati dalam diri mahasiswa sehingga intelektualisme diabaikan. Intelektualisme yang diabaikan inilah yang akan mempengaruhi suasana dalam membuat keputusan dalam politik mahasiswa.
  • Tekanan undang-undang yang menimbulkan ketakutan kepada mahasiswa sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah berkenaan dengan isu penduduk bandar yang lemah kerana undang-undang yang dipaksakan kepada mereka, akan menyebabkan pemikiran mahasiswa diletakkan di bawah kerangka tidak kreatif dan seterusnya menghalang pertumbuhan kognitif mereka. Maka tekanan undang-undang sebegini perlu dielakkan.
  • Gejala gangsterisme atau ugutan kepada mahasiswa sama ada dalam kalangan mahasiswa sendiri ataupun pihak luar seharusnya dielak sama sekali.
  • Dan yang terakhir, mahasiswa adalah agen perubah yang akan mengubah landskap politik nasional dan antarabangsa sewaktu kaki mereka sudah terjejak dalam masyarakat secara total. Pada waktu itu, mereka tidak lagi dipuji kerana berjaya ke menara gading, sebaliknya diuji, apakah relevannya mereka belajar di menara gading?

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?