Suatu hakikat
yang mesti diterima oleh kita ialah kewujudan pelbagai bangsa dengan anutan
pelbagai agama di negara kita. Interaksi yang berlaku dalam perhubungan ini
mestilah dapat menjamin keharmonian dan kemakmuran serta tidak berlaku
penindasan dan diskriminasi. Sekalipun Islam dianuti oleh hampir keseluruhan
bangsa Melayu dan Melayu pula adalah mewakili majoriti warga Malaysia, Islam
menyuruh agar menghormati penganut-penganut agama Kristian, Hindu, Budhha, Sikh dan
agama-agama lain dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Prinsip
terpenting yang mesti dipegang oleh bangsa Melayu dan umat Islam dalam hal ini
ialah mesti memandang orang-orang bukan Islam sebagai manusia yang menjadi
kewajipan kepada kita untuk mengajak mereka kepada Islam sehingga mereka
menerima Islam sebagai akidah atau bersedia untuk bernaung di bawah sistem
hidup Islam. Tidak seharusnya mereka dipandang sebagai musuh kepada Melayu
dan Islam yang mengancam hak-hak keistimewaan Melayu dan kesucian agama Islam.
Sikap yang
sepatutnya ada kepada bangsa Melayu-Islam terhadap terhadap masyarakat bukan
Melayu dan bukan Islam mestilah berasaskan kepada nilai toleransi dan
menghormati kebebasan akidah agama-agama lain. Ia penting untuk menjamin
kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan manusia. Sekalipun tidak
Melayu, bahkan bukan Islam, perkara yang menjadi hak kepada mereka mestilah
ditunaikan sebaiknya oleh kita semua sebagai sesama anggota masyarakat atau
sebagai pemerintah di negara ini.
Adalah suatu
kewajipan kepada umat Islam untuk beramal dengan ajaran Islam dan menjaga
akidah mereka. Apa juga perkara yang menjadi halangan atau ancaman kepada Islam
mestilah segera diatasi. Namun, ia perlu dilakukan menurut dan sesuai dengan
prinsip-prinsip Islam, perundangan negara dan norma masyarakat. Tidaklah
boleh segala bentuk halangan atau ancaman yang dikatakan ada itu, semuanya
dipersalahkan ke atas penganut-penganut bukan Islam. Sepatutnya, terlebih
dahulu umat Islam menilai kelemahan-kelemahan sendiri, memperbaiki diri dan
mengukuhkan kedudukan dan peranan Islam dalam sistem hidup bermasyarakat dan
bernegara.
Bangsa
Melayu-Islam juga perlu memahami perbezaan antara toleransi yang diizinkan dan
diraikan oleh Islam dengan ketundukan dan sikap menyerah diri kepada kemahuan
dan kehendak bukan Islam. Tidaklah bermakna menunaikan apa yang dituntut
oleh bukan Islam atau mengalah dengan kehendak mereka itu semuanya dikira
sebagai menerima kehinaan atau menjual agama.
Dalam hal
ini, banyak petunjuk nubuwwah kepada kita untuk lebih memahami berkenaan
dengannya. Hal ini boleh diteliti daripada sikap Rasulullah s.a.w. yang
menerima perjanjian Hudaibiyyah yang berat sebelah, tidak menghalau penduduk
Yahudi di Madinah bahkan hidup berjiran dengan mereka, memberi keampunan kepada
kaum musyrikin Makkah yang pernah menzalimi kaum muslimin,
memaafkan wanita yang cuba membunuh baginda dengan meletakkan racun di daging
biri-biri yang dihadiakan kepada Nabi, dan bersikap lembut kepada Lubaid bin
A’som yang telah menyihir baginda dan tidak membenarkan Aishah r.a. menghalaunya.
Demikianlah
Islam mengatur sistem hidup masyarakat dengan tidak mengasingkan antara orang
Islam dan bukan Islam, bahkan kehidupan itu diselubungi suasana perkongsian
sosial, belas kasihan, kesopanan dan saling berinteraksi dengan rasa hormat. Jangan
kerana ta’sub bangsa, huru-hara negara dan hilang keharmonian hidup beragama.