Pages

Ads 468x60px

Tuesday, March 26, 2013

1Malaysia TOLAK UMNO/BN


Sehingga kini masih tiada pengumuman pembubaran parlimen dibuat oleh YAB Perdana Menteri. Pada 28 April 2013 akan datang, genaplah usia parlimen Malaysia lima (5) tahun sejak ia memulakan persidangan pertamanya pasca (PRU12) pada 28 April 2008.

Setibanya tarikh itu, Dewan Rakyat akan terbubar dengan sendirinya dan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu sekiranya tiada pengumuman pembubaran parlimen lebih awal dibuat oleh YAB Perdana Menteri.

Menjelang tengah malam esok (27 Mac 2013), Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi DUN pertama terbubar secara automatik. UMNO/BN pasti sekali semakin kesuntukan masa untuk membuat persiapan dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap mereka. Tidak hairanlah, sejumlah jutaan Ringgit Malaysia atas nama pelbagai skim bantuan 1Malaysia ditabur demi memancing undi rakyat.

Mutakhir ini pula, kedengaran kenyataan pelik-pelik oleh pemimpin-pemimpin besar negara dan juga badan bebas seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertujuan untuk melancarkan persepsi negatif dan rasa kurang selesa terhadap Pakatan Rakyat (PR). YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin mendedahkan wujudnya perancangan menghuru-harakan negara pasca PRU13, Datuk Seri Hishamuddin pula memberi amaran bakal berlaku lebih banyak kekacauan dalam siri-siri ceramah menjelang PRU13 dan Ybhg. Tan Sri Abdul Aziz Yusof pula memaklumkan adanya kumpulan ajaran sesat yang akan membuat kacau semasa hari pengundian.

Disisi lain pula, menjelang PRU13, kesedaran dan iltizam rakyat untuk melakukan perubahan semakin meningkat dan dapat dilihat secara jelas khusunya melalui himpunan-himpunan mega di pelbagai peringkat dan program-program ceramah yang dianjurkan oleh parti pembangkang.

Tambahan pula, melalui perkembangan media baru, ketidakupayaan UMNO/BN dalam meneraju negara dan penglibatan mereka dengan pelbagai skandal rasuah dan jenayah telah tersebar luas dan semakin diperkatakan oleh rakyat selaku pengundi dalam PRU. Hal ini menjadikan rakyat semakin cerdik dan sangat membantu mereka untuk membuat penilaian dan pilihan.

Suasana ini pasti sekali merungsingkan UMNO/BN lebih-lebih lagi dengan kehadiran lebih 2.5 juta pengundi baru yang dikatakan akan memberi impak besar kepada keputusan PRU13. Lebih menarik, golongan ini adalah pengguna media baru dan merupakan golongan terpelajar dan berkerjaya. Pasti sekali strategi pembodohan dengan menyekat maklumat, menyebar berita palsu dan membuat fitnah yang sering menjadi amalan UMNO/BN sejak sekian lama tidak lagi berkesan bahkan akan menjadi senjata makan tuan. Mungkin sebab itu UMNO/BN terpaksa menggunakan pemuda tahan lasak mereka dan memperalatkan SPR demi survival politik meraka. 1Malaysia TOLAK UMNO/BN.