Pages

Ads 468x60px

Tuesday, October 18, 2011

MURTAD


[1] Pada Julai 2006, sedang Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah membuat satu pendedahan yang menggemparkan rakyat negara ini. Munurutnya, dapatan daripada satu kajian, seramai 100000 umat Islam di Malaysia telah bertukar agama. Maka bercakaplah pemimpin negara sehinggalah seluruh rakyat jelata berkenaan perkara tersebut. 

[2] Akhir-akhir ini, perkara tersebut kembali menjadi satu isu hangat yang diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, dalam perbualan harian, di akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut juga dalam ceramah-ceramah, sehinggalah akan diadakan satu himpunan besar-besaran dalam masa terdekat ini sebagai respon kepada isu tersebut. 

[3] Dalam keadaan begitu pun, masih ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu keluar dari agama Islam dan menganut agama lain. 

[4] Murtad adalah dengan makna kembali kepada kekufuran setelah menerima Islam, sama ada dilakukan dengan niat, perkataan atau perbuatan. Mempersekutukan Allah s.w.t., mengingkari agama Islam atau rukunnya atau hukumnya, dan beriktikad bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah s.w.t., semuanya boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad. 

[5] Di sisi lain pula, tidak dinafikan Islam menjamin hak kebebasan beragama – dengan memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan malahan Islam menyuruh menghormati amalan agama lain. Perlembagaan Malaysia juga menjamin hak tersebut. Namun begitu, kebebasan itu mestilah dalam kerangka keterikatan dengan prinsip dan peraturan agamanya – iaitu sekiranya seseorang itu memilih Islam sebagai agamanya, maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam. 

[6] Menurut mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali, murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah s.w.t. melainkan dengan bertaubat. Ketetapan dalam al-Quran menyebut, orang yang murtad amalannya sia-sia, akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Rasulullah s.a.w. juga mengancam orang yang murtad dengan ancaman bunuh. Demikianlah bagi menggambarkan beratnya implikasi murtad. 

[7] Apa pun yang telah berlaku itu, yang penting sekarang ialah usaha mengekang perkara tersebut daripada membarah dalam masyarakat. Kerajaan khususya, memikul tanggungjawab yang besar dalam hal ini, cuai atau bersambil lewa terhadapnya, adalah perbuatan khianat terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya. Beberapa perkara tersebet perlu segera dilakukan : 

  1. Mewujudkan dan melaksanakan Akta Murtad. 
  2. Memperbaiki kelemahan peruntukan undang-undang dan ketidakseragaman prosedur berkaitan kesalahan keluar agama Islam berserta hukumannya. 
  3. Berhenti daripada menjadikan isu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah sebagai polemik yang boleh mengundang pelbagai tafsiran salah dikalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. 
  4. Memberi kebenaran kepada lebih ramai pendakwah untuk menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau, melalui kuliah atau ceramah, bukannya menyekat atau menahan mereka dengan alasan tiada tauliah. 
  5. Menghapuskan program-program hiburan melampau, cerita-cerita tahyul yang boleh membawa kepada syirik dan rancangan-rancangan yang mempromosikan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam. 
  6. Memastikan zakat atau bantuan kewangan benar-benar sampai kepada orang yang berhak menerimanya dikalangan umat Islam. 
  7. Memperkukuhkan jatidiri remaja Islam melalui program pembinaan yang komprehensif dan dengan panduan sebagaimana yang ditunjuk oleh para ulamak Islam. 
  8. Memperkasa peranan masjid sebagai sebuah pusat ilmu dan kemasyarakatan. 

Wallahua’lam.

Thursday, October 6, 2011

POLEMIK HUDUD



Allah s.w.t. telah terlebih dahulu merakamkan polemik tersebut di dalam al-Quran, untuk diambil pengajaran bagi orang-orang yang berfikir. Biar kalam Allah yang berbicara, memahamkan jiwa dan akal manusia.


58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. 


59. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. 


60. Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. 


61. Apabila dikatakan kepada mereka : "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu. 

(Surah an-Nisa’ : 58 – 61) 

Berfikirlah wahai manusia yang berakal! 

Wallahua’lam.

Sunday, October 2, 2011

Respon on UAI@UIA


Alhamdulillah, kami di pihak Ma’ruf Club amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izinNya, niat untuk membawa seorang tokoh pendakwah tersohor ke bumi UIAM dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Walaupun terdapat sekatan dan halangan yang pelbagai daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, program tersebut tetap dapat diadakan dan mencapai maksud/tujuan ia diadakan. 

Untuk itu, kami amat berterima kasih kepada beberapa pihak yang membantu kami secara langsung mahupun tidak langsung. Secara khusus kami tujuan ucapan terima kasih itu kepada SDEV yang telah memberi kebenaran untuk program diadakan, FFSD yang telah meluluskan permohonan tempat program, CPD dan OneHeart Creative Solution yang telah menyediakan sistem audio dan visual, serta pihak masjid UIAM, yang pada awalnya telah memberi kebenaran kepada kami untuk mengadakan program tersebut di masjid. 

Berkenaan dengan gangguan pihak luar terhadap program kami, sehinggakan terpaksa menukar tempat program di saat-saat akhir, kami berpendirian bahawa

[1] Perbuatan tersebut adalah suatu tindakan yang zalim dan bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung mesti bertaubat kepada Allah s.w.t. dan memohon maaf kepada umat Islam, khususnya yang hadir pada malam tersebut. 

[2] Tindakan tersebut adalah suatu pancabulan ke atas Institut Pengajian Tinggi yang sepatutnya menjadi pusat ilmu yang bebas dari campur tangan politik pihak luar. Ia juga telah mencemarkan nama baik UIAM sebagai sebuah pusat ilmu dan budi yang tersohor. 

[3] Peristiwa itu juga adalah suatu manifestasi kebimbangan pihak-pihak tertentu terhadap kehilangan pengaruh mereka khususnya dikalangan kaum muda (mahasiswa) bagi mempertahankan ‘kedudukan’ mereka di ‘kerusi-kerusi’ tertentu dalam ‘pemilihan’ akan datang. 

[4] Pihak pentabiran UIAM sepatutnya lebih tegas dan telus mempertahankan kedudukan UIAM sebagai pusat ilmu dan budi yang bebas serta mempertahankan hak warganya. Suatu makluman dan penjelasan perlu diberikan kepada seluruh warga UIAM atas apa yang telah terjadi itu. 

Kami di pihak Ma’ruf Club, bersedia memberikan komitmen kami untuk tetap bersama-sama dengan pihak pentadbiran UIAM dan seluruh warganya demi untuk membangunkan komunitinya dengan kematangan ilmu dan kesuburan iman. Kami juga ingin menyeru kepada seluruh mahasiswa UIAM untuk tetap teguh di belakang pentadbiran UIAM, khususnya YBhg. Puan Rektor, untuk memacu UIAM merealisasikan visi dan misinya. 

Discover the Beauty of Islam 
Inspiring Dakwah, Leading the Ummah 

Wallahua’lam. 

Saya yang benar, 
EIKHWAN ALI 
Presiden, 
Ma’ruf Club UIAM.

Saturday, October 1, 2011

GOLONGAN ITU ZALIM


“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat.” 
(Surah al-Baqarah : 114) 

[1] Ada yang menilai bahawa ayat ini turun berkenan dengan larangan tokoh-tokoh kafir Quraisy Mekah kepada kaum muslimin untuk memasuki Masjidil Haram pada tahun ke-7 Hijriyah yang kemudian menjadi pencetus lahirnya Perjanjian Hudaibiyah

[2] Apapun peristiwa yang melatari sebab penurunan ayat tersebut, telah jelah kepada kita bahawa golongan yang menghalangi manusia daripada mengimarahkan rumah Allah s.w.t. adalah golongan yang zalim dan kewujudan golongan tersebut telah pun ada sejak zaman dahulu lagi dan akan terus wujud hingga ke akhir zaman

[3] Perbezaannya hanya pada bentuk halangan dan robohan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh zalim di setiap zaman. Jika dahulu mereka menghalang manusia dengan pedang, hari ini mereka menggunakan sistem pentadbiran, prosedur urusan, surat arahan dan bermacam-macam lagi cara dan alasan untuk menghalangi manusia daripada mengingati Allah s.w.t. di rumahNya. 

[4] Orang-orang yang zalim itu ialah orang yang jiwanya jauh daripada Allah dan jasadnya jauh daripda rumah Allah. Maka sudah pastilah orang-orang ini takut untuk memasuki rumah Allah s.w.t. lalu menghalang-halangi manusia lain daripada turut menghadiri rumah Allah. 

[5] Perbuatan zalim mereka itu juga adalah manifestasi daripada rasa takut yang wujud dalam jiwa mereka terhadap kuasa manusia-manusia yang sombong terhadap Allah s.w.t. dan tidak mahu tunduk di bawah kuasaNya. 

[6] Meneliti semula peristiwa sebab penurunan ayat tersebut, yakinlah pada kita bahawa itulah petanda kemenangan bagi Islam sebagaimana perjanjian Hudaibiyyah merintis jalan pembukaan kota Mekah. Pada saat dan ketika yang akan datang itu, akan dapat kita saksikan, masjid-masjid kita akan rancak diimarahkan dengan program-program pendidikan dan penyuburan iman supaya manusia seluruhnya hanya tunduk kepada Allah s.w.t. 

[7] Manusia yang dahulunya menghalang usaha-usaha ini pula tetap dalam kehinaan, melukut di kaki-kaki manusia untuk meraih kemuliaan dunia, pasti akhiratnya kelak adalah azab yang tersangat pedih. 

Wallahua’lam.