Pages

Ads 468x60px

Wednesday, November 23, 2011

PRU13 – Mahasiswa Mesti Tentukan!


Debar ramalan tarikh Pilihanraya Umum ke-13 terus terasa. Hari-hari berlalu terus diisi dan terisi dengan pelbagai isu. Kerajaan, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak, mungkin memerlukan tempoh lebih lama bagi menangani isu-isu berbangkit sebelum membuat keputusan tarikh PRU-13. 

Negara terus berkocak dengan pelbagai isu, ada yang benar dan barangkali juga ada yang bersifat fitnah atau propaganda politik. Namun, tetap juga apa yang dibangkitkan itu menggugat kredibiliti dan integriti kerajaan. Meskipun lazimnya ia mudah diredakan – melalui peranan media yang tidak bebas ( baca : berat sebelah ) – , tetapi ia bukan suatu jaminan untuk Barisan Nasional (BN) terus menguasai kerajaan. 

Persaingan kali ini pasti lebih sengit daripada biasa. Tindakan proaktif Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan isu dilihat lebih terserlah daripada peranan kerajaan BN menangani isu. Ditambah pula dengan peranan media baru dan isu-isu yang ditimbulkan itu adalah isu kritikal yang bersangkutan dengan kepentingan rakyat seluruhnya, sudah cukup untuk menjadikan BN dalam keadaan yang tersepit. 

Keputusan yang dilihat bersikap acuh tidak acuh dan dengan kaedah cuba-cuba yang dibuat oleh kerajaan BN dalam banyak isu – barangkali disebabkan tersepit – sedang dinilai oleh rakyat Malaysia. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia sekarang ini sudahpun mempunyai pendirian dalam menentukan kepada parti manakah harus diserahkan urusan kepimpinan negara ini. Jika diberi kertas undi, pasti dipangkah dengan penuh yakin.

Menariknya, sama ada parti yang sedang menguasai kerajaan atau pihak oposisi, dalam keghairahan bekerja menjayakan matlamat perjuangan parti masing-masing, kedua-duanya merencanakan agenda menawan anak muda sebagai strategi yang mesti diberi prioriti, bagi mendapatkan undi terbanyak dalam PRU-13 nanti, bagi memperoleh mandat memerintah. 

Keadaan ini meletakkan mahasiswa, selaku golongan teras kepada generasi anak muda, menjadi decision maker. Timbang-tara yang adil, dengan neraca yang betul dan peranan menyampaikan setelah tabayyun, harus menjadi karakter mahasiswa. Tidak cukup dengan sekadar menunggu hari untuk memangkah kertas undi, tetapi mestilah bermula pada hari ini dengan membangkitkan kesedaran kepada rakyat Malaysia seluruhnya, khususnya tentang kerajaan yang amanah dan adil. 

Ingat mahasiswa! PRU13 bukan acara, ia adalah titik penentu masa hadapan agama, bangsa dan negara. 

Mahasiswa Mesti Tentukan!

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?