Pages

Ads 468x60px

Monday, December 17, 2012

Beri ERTI Kepada KEHIDUPAN


:: Posted on 19 November 2012 in iiumdaily.com

Tidak mudah untuk memberi erti kepada hidup. Hidup pula, bukan dunia semata, akhirat juga perlu ambil kira. Namun, ramai orang telah memberi erti kepada hidup masing-masing. Allah juga memberi kebebasan kepada tiap-tiap orang untuk ertikan hidup mereka sendiri. Apa yang pasti, pilihan hanya DUA. Bebaslah manusia memilih salah satu daripadanya.

Cuma, saya tiada pilihan. Mesti terima juga amanah untuk berkongsi rasa dan idea di laman ini. Begitu juga dengan penulis-penulis lain di sini. Pihak editorial minta kami siapkan tiap-tiap minggu satu artikel. Tahu sangat diri tidak berbakat, tetapi tulis juga. Mudah-mudahan bermanfaat. Tajuknya bebas, ruang ini saya namakan sendiri dengan ‘kalang dagang’. Orang jati Terengganu saya ini, ‘…ng’ mesti bunyi.

‘Kalang’ barangkali dengan dua erti, [1]  kalam (kaf – lam – alif – mim) dan [2] kolamun (kof – lam – alif – mim) atau kata-kata dan pensil/pen. Kalam adalah suatu lafaz yang tersusun, berfaedah dan memiliki maksud. Kolamun adalah alat untuk menulis. Kedua-duanya wasilah atau alat dalam proses menimba dan memberi ilmu. Kedua-duanya penting untuk hidup dan kepada kehidupan.

Dagang bermakna asing. Tidak serupa dengan kebiasaan dan kebanyakan orang. Itulah sifat Islam dalam hadith Nabi s.a.w. Dikala manusia diajar menyembah material, Islam menyuruh sembah Yang Maha Esa. Diketika manusia dididik hidup untuk dunia semata, Islam arah hiduplah untuk dunia dan akhirat.

Dengan nama itu saya berharap, tulisan-tulisan yang saya ketengahkan kelak semuanya untuk siar seruan-seruan dan kebaikan-kebaikan Islam. Saya tidak pandai. Tetapi kerana “sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”, saya coret juga. Biarlah buruk sedikit pun, yang penting semuanya pasal Islam, daripada saya mengarut perkara-perkara yang bukan pasal Islam.

Pilihan 1, jalan TAQWA. Berpangkal dengan menSUCIkan hati, lisan dan perbuatan sesuai dengan akidah, ibadah dan akhlak di dalam Islam. Berhujung dengan keJAYAan di dunia dan akhirat. Rahmat, redha dan syurga sebagai habuan. Pilihan 2, jalan DOSA. Tidak perlu huraian panjang,  cukuplah tahu ganjarannya murka dan neraka.

Guna WAHYU dan pakai AKAL, buatlah pilihan. Anda bebas untuk memilih, dan saya memilih untuk ‘BEBAS’. Erti itu saya berikan kepada kehidupan saya.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?