Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 29, 2013

POLITIK RAKYAT


Perbincangan seputar ‘PERPADUAN’, ‘POLITIK’, ‘MELAYU’ dan ‘ISLAM’, sangat mendapat perhatian dalam kalangan rakyat di pelbagai peringkat. Lebih menarik, ia juga suatu yang cukup sentitif jika silap lontar pandangan dan tidak kurang juga ada yang sengaja buat baran dan ambil kesempatan.

Ia bukan perkara baru. Namun, berbeza dengan dahulu, orientasi dan kandungan perbincangannya lebih akademik, matang dan objektif. Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat, kesarjanaan para cendekiawan dan kesedaran politik rakyat. Jika dahulu, para pemerintah cukup untung bermain dengan isu-isu ini, namun kini belum tentu bahkan silap-silap akan rugi besar.

Kini, sumber informasi rakyat bukan satu, tapi beribu dan mudah dicapai. Minda rakyat juga tidak lagi boleh disogok dengan buah fikir para bijaksana pengampu dek ramainya murabbi yang mengerti amanah ilmu. Rakyat cukup sedar, bahawa “Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubahnya”. Rakyat sangat kritis untuk memberi asbab mengapa perubahan itu perlu.

Golongan usahawan kapitalis, bangsawan kroni dan pemerintah korup pasti tidak mengerti dek sikap membuta mata dan memekak telinga. Lihat sahaja makan, minum, pakaian dan tempat tinggal mereka yang berbeza sungguh dengan rakyat marhaen. Rakyat jelata hidup melata - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susah-payah dan jerit-perih rakyat bukan urusan mereka. Mereka hanya tahu dan mahu untung, berada dan kekal berkuasa.

Oleh itu, mereka mula mencanangkan ‘PERPADUAN’ sebagai penyelesaian setelah puas meniup api perkauman, idea-idea amalan ‘POLITIK’ yang bernas dan konstruktif dibekukan atas alasan keselamatan, perundangan dan ‘bukan budaya kita’, bangsa ‘MELAYU’ menjadi mangsa agenda pembodohan keterlaluan, dan hal ehwal ‘ISLAM’ disensasikan dan dijadikan punca pertelagahan.

Hal-hal yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan dikatakan ehsan demi memastikan rakyat berterima kasih atas kebaikan kerajaan. Sana-sini dikunjungi untuk tawar sebuah ‘janji ditepati’. Jelas sekali janji-janji terdahulu pasti tertangguh lagi.

Rakyat memerhati dan mencermati hal itu semua. Angguk belum tentu suka, geleng belum tentu benci. Sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tunggu sahaja pilihanraya. Namun, jika SPR tidak telus, angguk dan geleng rakyat untuk setuju atau tidak setuju dengan pihak itu dan ini tetap sia-sia. Ketika itu, tidak salah lagi kalau rakyat memilih jalan raya. Untuk memulih keadaan, rakyat hanya ada kata dua; kerajaan berubah atau berubah kerajaan. Inilah POLITIK RAKYAT.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?