Pages

Ads 468x60px

Friday, April 26, 2013

CALON PAS MESTI KONSISTEN BICARA SOAL ISLAM


Politik Islam atau siyasah syar’iyyah adalah ilmu dan kemahiran yang terkandung di dalamnya disiplin, prinsip dan pelaksanaan yang tidak menyalahi teks al-Quran, sunnah, ijmak dan kaedah-kaedah syarak serta dasar-dasar amnya bagi menjaga urusan umat manusia.

Tujuannya adalah untuk menegakkan agama dan merealisasikan perhambaan kepada Allah s.w.t., menegakkan keadilan, serta memperbaiki keadaan manusia. Dengan demikian, akan terangkatlah keburukan, tersebarlah kebaikan dan menjadi eloklah perangai manusia. Demikianlah Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Islam yang menjadi anutan diri dan yang disampaikan kepada seluruh manusia lain mestilah Islam yang sebenar yang bersifat dengan kesyumulan yang  mengandungi ibadah, munakahat, muamalat dan jinayah, bukannya Islam yang terpisah antara agama dan negara, dakwah dan siyasah.

Ajaran Islam yang berkait dengan peribadi diri sendiri sehinggalah hal-hal yang berkaitan dengan negara dan pemerintahan mestilah diperjelas secara terang kepada kumpulan sasar sehingga mereka faham dan yakin, dan akhirnya  menerima Islam sebagai sebuah sistem yang mengatur kehidupan mereka.

Tidak seharusnya atas nama hikmah dalam berdakwah dan kebijaksanaan dalam berpolitik menenggelamkan nilai-nilai kesyumulan Islam sehingga mengundang salah faham dan kekeliruan dalam kalangan kumpulan sasar. Ketegasan pada prinsip bukan bermakna menafikan toleransi atau tidak meraikan realiti, tetapi ia adalah sebuah sifat mulia yang mesti dimiliki oleh setiap orang Islam yang beriman.

Oleh itu, mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), suka untuk saya sampaikan pesanan dan turut memperingatkan kepada seluruh calon-calon PAS khususnya dan calon-calon muslim yang lain supaya senantiasa konsisten bicara soal Islam dan bijak menterjemahkan politik Islam khususnya sepanjang tempoh berkempen ini dan sekiranya diberi amanah kepimpinan kelak, terus istiqamah dengan Islam.

Tawarlah ISLAM kepada para pengundi mendahului tawaran manifesto dan kupasan isu-isu semasa kerana Islam adalah rahmat Allah untuk sekalian alam, adapun manifesto dan isu-isu semasa bergantung kepada selera duniawi manusia yang berubah-ubah dan kebijaksanaan akal manusia yang terbatas.

Wallahua’lam.

1 comment:

  1. kalau dah tak boleh sabar sangat...mindset tak ada strategi....lain kali aje lah

    ReplyDelete

Apa Pandangan Anda?