Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 24, 2011

IBRAH DARI MESIR : PERANAN GENERASI MUDA


Kejatuhan Regim Hosni Mubarak terhadap revolusi dan tuntutan rakyat Mesir baru-baru ini telah memberikan gambaran luar biasa terhadap sebuah keangkuhan kuasa autokrasi Sang Pemerintah yang telah berkuasa 3 abad lamanya.

Ini sudah pastinya memberi seribu satu pengajaran yang amat penting kepada masyarakat dunia.
Nekad jutaan rakyat yang mendesak,berhimpun dan berkampung beramai-ramai di Medan Tahrir membuahkan hasil yang tidak mengecewakan.

Apa yang lebih membanggakan, sebilangan besar yang terlibat dalam proses revolusi rakyat ini merupakan golongan pemuda yang berjiwa kental dan bersemangat waja. Nabi s.a.w. pernah bersabda :
حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

“Aku di dokong oleh para pemuda. Sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua".
Ungkapan Baginda s.a.w. ini jelas mengiktiraf fungsi dan peranan para pemuda dalam mendokong serta merealisasikan perjuangan yang dibina batu asas oleh Baginda s.a.w. Pemuda merupakan ejen perubah bagi ummah keseluruhannya.

Sejarah telah membuktikan, lahirnya pemuda-pemuda seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan Solahuddin Al-Ayubi telah menjadi pencetus kepada kebangkitan Kerajaan-Kerajaan Islam di pelusuk dunia.


PERANAN


Pemuda seharusnya mempunyai keupayaan yang maksima serta kesungguhan yang jitu untuk mendalami urusan agama agar golongan ini tahu dan faham secara masak dalam hal berkait dengan ‘produk’ (Islam) yang ingin di’pasar’kan (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat .
Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadamkan cahaya hidayah Allah s.w.t.
CEPAT BERTINDAK

Kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai prasarana kemudahan penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat. Kita memerlukan pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah yang terpikul. Sabar mendepani mehnah serta bijak melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah melengkapkan aspek dan ciri-ciri kemenangan.

SIFAT PEMUDA


Pemuda yang memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas serta menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah sudah tentunya melonjak momentum kekuatan dalaman yang digeruni pihak lawan.


Pemuda tulen adalah pemuda yang tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau muslihat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah walaupun rutin mereka bergalas peluh dan keringat .


Matlamat perjuangan pemuda tidak mengenal istilah kalah atau gugur melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah SWT atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan persada perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian utama yang ingin dicapai .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

KESIMPULAN

Pemuda mestilah sentiasa dalam kondisi dan keadaan bersiap siaga . Bersedia apabila diperlukan. Hadir apabila dipanggil. Bertindak apabila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan persatuan (jamaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dengan alasan yang tidak wajar.

Ditulis oleh :

Mohd Azarul Aiman Rosli

Ijazah Sarjana Muda Kuliah Syariah Wal Qanun,
Syu'bah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?