Pilihanraya
adalah mekanisme penting dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ia
adalah proses pengurniaan mandat dan kuasa rakyat kepada seseorang individu dan
sesebuah parti untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara bagi menjamin
kemerdekaan, memelihara keamanan, memacu kemajuan dan menegakkan keadilan untuk
rakyat dan tanah air ini.
Proses ini
mesti berlangsung dengan tiga (3) unsur; [1] partisipasi menyeluruh rakyat, [2]
jaminan kebebasan asasi, dan [3] proses yang bersih dan adil. Idea pendaftaran
automatik dan penurunan umur kelayakan sebagai pengundi adalah cadangan
bijaksana bagi memastikan lebih ramai rakyat terlibat. Rakyat mesti dijamin kebebasan
asasi mereka seperti kebebasan bersuara, berparti dan berhimpun, tanpa sekatan
menggunakan pelbagai undang-undang dan peraturan. Reformasi pilihanraya perlu
berlaku dengan membersihkan senarai pemilih, akses media yang saksama dan
penolakan terhadap budaya politik kotor dan samseng.
Bersilih-ganti
sesebuah parti kepada parti yang lain untuk mengetuai kerajaan adalah suatu
yang normal bagi proses ini di negara-negara yang mengamalkan demokrasi secara
telus. Doktrinisasi dan persepsi bahawa pertukaran ini adalah suatu yang
negatif yang dilancarkan adalah kerana dua (2) perkara; [1] kebimbangan yang
teramat sangat oleh sesebuah parti terhadap kemandirian partinya untuk terus
kekal berkuasa, dan [2] menganggap bahawa rakyat terlalu dangkal untuk membuat
pilihan bagi menentukan kerajaan.
Secara
terus-terang dan seluruh rakyat sedang merasai hal ini, UMNO sedang
resah-gelisah, lalu rakyat cuba diperbodoh-bodohkan. Bimbangnya UMNO kerana ia
diketuai seorang Presiden merangkap Perdana Menteri yang belum mendapat mandat
rakyat sehingga ke hari ini, dan sehingga ke hari juga UMNO belum yakin untuk
mendapatkan mandat daripada rakyat melalui pilihanraya. Jika kalah, keadaan ini
tidak mudah untuk UMNO pasrah sementelah lagi ia telah berkuasa selama lebih
separuh abad. Sebelum ia terpaksa pasrah, UMNO pasti
tidak tentu arah untuk tidak mahu menyerah.
Pasca PAU
2012 telah membuka mata rakyat terhadap budaya politik UMNO dan prestasinya
sebagai teras kerajaan BN. Melalui PAU 2012, rakyat dapat melihat betapa UMNO
sedang mengalami krisis keyakinan dan kesetiaan para anggotanya yang agak
keterlaluan. Berkali-kali amaran supaya jangan sabotaj dan mesti sokong calon parti,
jelas mendedahkan realiti itu, dan rakyat pula sudah maklum bahawa ia memang
wujud dalam UMNO buat sekian lama. Diikuti pula dengan insiden provokasi dan
pukul, yang sememangnya sebati dengan UMNO yang mempraktikkan budaya politik
kotor dan samseng. UMNO juga tidak sunyi daripada terus terpalit dengan isu-isu
rasuah dan kronisme.
Sebagai
kerajaan pula, UMNO tidak berkeupayaan langsung menyelesaikan isu-isu evergreen
seperti kebejatan sosial yang berpunca daripada hiburan melampau dan pergaulan
bebas sehingga anak luar nikah yang direkodkan sehingga ke tahun 2010 berjumlah
lebih 250,000 orang, sejumlah 76,200 graduan mengganggur tanpa peluang
pekerjaan, sejumlah besar siswazah pendidikan tidak mendapat tempat, peningkatan
kos sara hidup sehingga menyebabkan 300,000 hingga 400,000 buah keluarga
dikategorikan dalam kumpulan miskin melampau, dan harta rakyat terus dirompak
melalui rampasan royalti dan pelaksanaan undang-undang seperti AES. Beginilah cara
UMNO dan BN melaksanakan agenda “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Dalam hal
ini, pendirian GAMIS adalah jelas dan tegas bahawa kunci bagi memastikan
Malaysia untuk terus aman, makmur, mendahulukan rakyat, mengutamakan
pencapaian, sejahtera dan berkebajikan ialah dengan memastikan UMNO tidak lagi
diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pasca pilihanraya umum ke-13 akan akan
datang. MALAYSIA TANPA UMNO.
Saya yang
benar,
EIKHWAN ALI
Penulis
adalah Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Pandangan
dan pendirian beliau dalam pelbagai isu boleh dibaca di engineermemali.blogspot.com.
0 comments:
Post a Comment
Apa Pandangan Anda?