Pages

Ads 468x60px

Tuesday, August 30, 2011

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1432H


Umat Islam yang beriman, melepaskan Ramadan dengan dua perasaan – bersedih dan bergembira. Disamping bergembira dengan tibanya Syawal, bergembira juga kerana mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadan, dan atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan.

Bersedih pula kerana merindui dan menangisi peluang dan kemudahan yang diberikan Allah s.w.t. di bulan ini, antaranya peluang untuk meraih syurga yang terbuka luas, tawaran pengampunan dosa-dosa lalu, kemaqbulan doa yang hebat, peluang mempertingkatkan taqwa dan yang terbesar, Malam al-Qadar.

Bersempena dengan ketibaan Syawal ini, marilah kita bermuhasabah ibadah puasa kita supaya kelebihan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. itu berlaku pada diri kita – kemuncaknya ialah menjadi seorang yang beriman yang bersifat taqwa. Antara tandanya ialah :

  1. Bersedia mengerjakan amal soleh dengan mengikut perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya.
  2. Berjuang melawan segala halangan yang menyekat petunjuk al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. daripada menjadi petunjuk yang selamat di dunia dan akhirat.

Dalam keghairahan menyambut Syawal ini juga, suka untuk saya memperingatkan beberapa perkara berikut :

  1. Memelihara waktu solat – jangan sampai kesibukan berziarah, melalaikan kita pada waktu solat.
  2. Memelihara adab berpakaian dan berhias – pastikan pakaian menutup aurat dan tidak memakai wangi-wangian yang menarik perhatian kaum berlainan jantina.
  3. Memelihara batas pergaulan antara lelaki dan perempuan – tidak berjabat tangan atau berpelukan dengan yang bukan mahram.

Akhirnya, saya, selaku Presiden Ma’ruf Club, mewakili seluruh sof kepimpinan Ma’ruf Club, dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam khusunya warga UIAM. Raikanlah hari yang berbahagia ini dengan perasaan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Wallahua’lam.

EIKHWAN ALI
Presiden Ma’ruf Club

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?