Pages

Ads 468x60px

Friday, September 23, 2011

FUNGSI TERAS KUASA POLITIK

 
Jika politik itu adalah hal ehwal pentadbiran dan pengurusan hidup manusia, maka Islam mempunyai kaedah tersendiri untuk membangun tamadunnya. Kerana itu, Islam memerintahkan orang-orang yang mempunyai kuasa, untuk menegakkan strategi politik berikut : 

[1] Menyuruh Rakyatnya Solat – kerana solat menjadi alat yang paling berkesan untuk membentuk peribadi mulia rakyat dan kewibawaan seorang pemimpin. Rakyat yang berperibadi mulia dan pemimpin yang beribawa ialah rakyat dan pemimpin yang beriman kepada Allah s.w.t. Orang-orang yang beriman adalah orang yang beramanah dengan tugasannya. Maka barulah kerja yang dilakukan menjadi efektif dan produktif serta berlandaskan keadilan Islam. Pemimpin tidak rasuah dan rakyat pula tidak culas. 

[2] Menyuruh Rakyatnya Mengeluarkan Zakat – kerana zakat adalah sistem agihan kekayaan yang terbaik untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara manusia serta bagi memastikan setiap manusia mempunyai kecukupan yang munasabah untuk mengurus kehidupannya dalam hal ehwal makan minum, berpakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan mereka. Maka lahirlah daripada syariat ini, perasaan simpati dan empati, kasih-sayang diantara satu sama lain dan kesungguhan kerja yang terbaik. 

[3] Menyuruh Rakyatnya Melakukan yang Ma’ruf, Mencegah yang Munkar – kerana dengan yang demikian, terpeliharalah kepentingan masyarakat umum. Ia bertujuan memelihara keamanan dalam hidup bermasyarakat, mencegah tindakan manusia yang melampau, khususnya terhadap pelanggaran syariat Allah s.w.t., membentuk mentaliti dan budaya untuk menerima segala bentuk kebaikan, walaupun daripada masyarakat bangsa dan agama lain serta menolak segala bentuk keburukan walaupun daripada masyarakat sebangsa dan seagama sendiri. 

Benarlah firman Allah s.w.t. : 


“(iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” 
(Surah al-Hajj : 41) 

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

Apa Pandangan Anda?