Pages

Ads 468x60px

Tuesday, October 18, 2011

MURTAD


[1] Pada Julai 2006, sedang Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah membuat satu pendedahan yang menggemparkan rakyat negara ini. Munurutnya, dapatan daripada satu kajian, seramai 100000 umat Islam di Malaysia telah bertukar agama. Maka bercakaplah pemimpin negara sehinggalah seluruh rakyat jelata berkenaan perkara tersebut. 

[2] Akhir-akhir ini, perkara tersebut kembali menjadi satu isu hangat yang diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, dalam perbualan harian, di akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut juga dalam ceramah-ceramah, sehinggalah akan diadakan satu himpunan besar-besaran dalam masa terdekat ini sebagai respon kepada isu tersebut. 

[3] Dalam keadaan begitu pun, masih ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu keluar dari agama Islam dan menganut agama lain. 

[4] Murtad adalah dengan makna kembali kepada kekufuran setelah menerima Islam, sama ada dilakukan dengan niat, perkataan atau perbuatan. Mempersekutukan Allah s.w.t., mengingkari agama Islam atau rukunnya atau hukumnya, dan beriktikad bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah s.w.t., semuanya boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad. 

[5] Di sisi lain pula, tidak dinafikan Islam menjamin hak kebebasan beragama – dengan memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan malahan Islam menyuruh menghormati amalan agama lain. Perlembagaan Malaysia juga menjamin hak tersebut. Namun begitu, kebebasan itu mestilah dalam kerangka keterikatan dengan prinsip dan peraturan agamanya – iaitu sekiranya seseorang itu memilih Islam sebagai agamanya, maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam. 

[6] Menurut mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali, murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah s.w.t. melainkan dengan bertaubat. Ketetapan dalam al-Quran menyebut, orang yang murtad amalannya sia-sia, akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Rasulullah s.a.w. juga mengancam orang yang murtad dengan ancaman bunuh. Demikianlah bagi menggambarkan beratnya implikasi murtad. 

[7] Apa pun yang telah berlaku itu, yang penting sekarang ialah usaha mengekang perkara tersebut daripada membarah dalam masyarakat. Kerajaan khususya, memikul tanggungjawab yang besar dalam hal ini, cuai atau bersambil lewa terhadapnya, adalah perbuatan khianat terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya. Beberapa perkara tersebet perlu segera dilakukan : 

  1. Mewujudkan dan melaksanakan Akta Murtad. 
  2. Memperbaiki kelemahan peruntukan undang-undang dan ketidakseragaman prosedur berkaitan kesalahan keluar agama Islam berserta hukumannya. 
  3. Berhenti daripada menjadikan isu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah sebagai polemik yang boleh mengundang pelbagai tafsiran salah dikalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. 
  4. Memberi kebenaran kepada lebih ramai pendakwah untuk menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau, melalui kuliah atau ceramah, bukannya menyekat atau menahan mereka dengan alasan tiada tauliah. 
  5. Menghapuskan program-program hiburan melampau, cerita-cerita tahyul yang boleh membawa kepada syirik dan rancangan-rancangan yang mempromosikan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam. 
  6. Memastikan zakat atau bantuan kewangan benar-benar sampai kepada orang yang berhak menerimanya dikalangan umat Islam. 
  7. Memperkukuhkan jatidiri remaja Islam melalui program pembinaan yang komprehensif dan dengan panduan sebagaimana yang ditunjuk oleh para ulamak Islam. 
  8. Memperkasa peranan masjid sebagai sebuah pusat ilmu dan kemasyarakatan. 

Wallahua’lam.

2 comments:

  1. Isu ini sda lama berleluasa di sabah..Cuma kesedaran dan tindakan pihak berwajib belum menunjukkan keseriusan untuk menangani masalah ini. Peranan dari semua pihak sebenarnya lbh membantu dalam usaha menyelesaikan masalah ini, NGO dan segelintir massyarakat yang berkefahaman Islam mencuba untuk melawan agenda dakyah mereka. bersandarkan alasan pihak berwajib tidak cukup tangan menguruskannya..

    Isu kebajikan kelihatan kunci untuk menentukan masyarakat terpengaruh selain asas islam yang rapuh. Masyarakat sabah terutama golongan mahasiswa islam yg berpeluang memahami islam lebih dari yang lain seharusnya terkehadapan dalam masalah ini. penerangan yang sahih dan maklumat yang sahih, hatta program2 islamik..amat dibutuhkan.Lawatan dan sumbangan kewangan mungkin salah satu penyelesaiannya..

    Jika merasakan diri juga belum layak, usahakan, usah mengelak dari memikul masalah ini. Kerana, Allah akan menuntut apa tindakan kita bila agama memerlukan pembelaan..

    Ayuh Mahasiswa sabahan..ini medan sebenarmu!

    ReplyDelete
  2. MC tour to Sabah...

    ReplyDelete

Apa Pandangan Anda?