Iman adalah
perjanjian taat setia (baiah) dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.
untuk mengakui keesaan Allah s.w.t. dan kenabiaan Muhammad s.a.w. serta untuk
mengengkari taghut – pihak yang menyimpang dari jalan Allah s.w.t. dan
melakukan kezaliman mengikut hawa nafsu tanpa batas.
Al-Mu’min yang sebenar ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan Rasulullah, dan terus dengan keimanan itu tanpa ragu serta berjihad di
jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka. Menjelaskan ciri-ciri ini, Allah
s.w.t. berfirman, maksudnya :
“Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya
kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa
mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan)
imannya.”
(al-Hujurat :
15)
Warga
Palestin Kental Iman
Perkara yang
menyebabkan manusia menjadi ragu-ragu ialah kerana kebimbangan dan kerisauan
terhadap rezeki dan ajal mereka. Lalu tugas-tugas jihad ini diabaikan kemudian
ditinggalkan kerana tidak beriman dengan sifat ar-Razak Allah s.w.t.
Padahal ulat di dalam batu sekalipun telah disediakan rezeki oleh Allah s.w.t.
sesuai dengan kebesaran dan kemuliaan sifatNya.
Maka
disebabkan itulah perbuatan jihad yang merupakan buah daripada iman ini telah
dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk memperoleh al-fauz ul-‘azim (kemenangan
yang besar). Kemenangan itu sama ada kemuliaan ganjaran jihad dan mati syahid
atau kemenangan ke atas musuh-musuh Allah s.w.t.
Oleh itu,
hanya orang yang mempunyai kekuatan iman mampu keluar ke medan perang dan
bertahan di medan perang sehingga dia mendapat salah satu ketentuan Allah
kepadanya; syahid atau kemenangan. Warga Palestin, setelah berlalunya beberapa
zaman dan generasi, terus dengan semangat dan cita-cita mereka untuk
membebaskan Palestin. Inilah bukti kekentalan iman umat Islam Palestin.
Perang di
Palestin adalah Jihad
Jihad yang
berasal dari kalimah al-juhd dengan pengertian keperitan dan kesusahan
tidak bebas dari tiga tabiat; [1] Wujudnya usaha dan tenaga yang
bersungguh-sungguh yang digembleng, [2] Adanya matlamat dan cita-cita suci lagi
tinggi untuk dicapai, dan [3] Berhadapan dengan musuh yang menghalang dan
menentang usaha dan perjuangan tersebut. Jihad di lapangan mana pun dan dengan cara apa sekalipun mestilah sesuai
dengan tuntutan jihad fi sabilillah yang bermatlamatkan mendapat
keredhaan, keampuanan dan rahmat daripada Allah s.w.t.
Penafian
tidak berlakunya jihad di Palestin adalah suatu kenyataan yang bercanggah
sekali dengan al-Quran. Perbuatan jihad yang dilakukan oleh warga Palestin
dengan melibatkan ketenteraan, penggunaan senjata dan sehingga berlakunya
korban yang tidak sedikit adalah selari dengan tuntutan Allah s.w.t. iaitu
untuk [1] Mempertahankan pencerobohan dan kezaliman dari pihak musuh, serta
sebagai pembelaan ke atas umat Islam yang dihalau dari tanah airnya sendiri
(al-Hajj : 39), [2] Membalas dan mempertahankan pencerobohan musuh (al-Baqarah
: 190), dan [3] Membela kaum muslimin yang lemah dan tidak terdaya dan yang
telah dizalimi.
Warga
Palestin Ada Kekuatan
Barangkali
benar kekuatan warga Palestin atau briged Izz ad-Din al-Qassam, sayap tentera
HAMAS, tidak setanding dengan kekuatan Israel Defense Force (IDF). Namun,
perkara ini tidak bermakna warga Palestin perlu melarikan diri dari medan jihad
sedangkan tuntutan-tuntutan jihad itu telah jelas. Sirah Nabawiyyah pula
telah memperlihatkan bahawa tidak pernah kekuatan persenjataan kaum muslimin
mengatasi kekuatan persenjataan musuh. Dalam hal ini, apa yang dituntut ialah
mempersiap sediakan segala kekuatan yang mampu disediakan (al-Anfal : 60).
Al-Qassam
telah pun menunaikan tuntutan ini. Buktinya, briged itu masih mampu bertahan
walaupun pertempuran itu telah berlangsung buat sekian lamanya. Ini beerti
bahawa briged itu mempunyai kekuatan dan upaya yang tidak sebarangan. Walaupun
seawal penubuhannya al-Qassam hanya mampu memiliki senapang, kini al-Qassam
telah berupaya menghasilkan roket, senjata ringan automatik, bahan letupan dan
mortar buatan sendiri. Menurut bekas pengarah CIA juga, briged ini mempunyai keupayaan
untuk melakukan serangan menggunakan bahan toksid.
Bukan Gerila
IDF dan CIA
memang mengakui bahawa al-Qassam adalah sebuah pasukan tentera yang memiliki
ribuan anggota dengan pelbagai tahap kemahiran dan professionalism. Sudah pasti
pasukan sebegini akan melakukan tindakan ketenteraan secara berstrategik dan
beperancangan serta dengan arahan kepimpinan, bukannya membabi buta.
Operasi amaliah
istisyhadiah (serangan berani mati) pula selari dengan al-Quran dan
as-Sunnah. Pelbagai pertubuhan ulama’ mengakui operasi ini antaranya, Jabhah
Ulama’ al-Azhar, Rabitah Alami Islami, Majlis Fatwa Kebangsaan
Jordan, Majlis Fatwa Ulama’ Pakistan, Rabitah Ulama’ Palestin, Majlis
Ulama’ Indonesia. Mereka membuat kesimpulan bahawa mati akibat operasi ini
adalah syahid. Ramai ulama’ Islam juga menyokong operasi ini antaranya Dr.
Wahbah az-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti, Dr. Yusof al-Qardhawi dan
Dr. Muhammad Abu Faris.
Warga
Palestin itu membela tanah airnya, bumi Islam, agama, kemuliaan dan umatnya. Mereka
benar-benar syahid kerana mengorbankan nyawa dengan kerelaan di jalan Allah,
ikhlas kerana Allah dan dalam keadaan mereka terpaksa melakukan cara sedemikian
untuk menggerunkan musuh-musuh Allah s.w.t. yang jelas-jelas menyatakan
permusuhannya dan bangga dengan kekuatan mereka yang didukung oleh kuasa besar
lainnya.
Boikot Sangat
Praktikal
Tindakan
boikot barangan Yahudi Zionis dengan cara mengenali produk keluaran mereka dan
memulaukan barangan tersebut serta memilih barangan tempatan atau selain daripada
produk sekutu mereka adalah diiktiraf oleh ulama’ sebagai antara langkah
praktikal untuk membantu warga Palestin. Antara ulama’ yang menyokong usaha ini
ialah Dr. Yusof al-Qardhawi, Syeikh Abdullah Jibrin, Dr. Hamman Said, Dr.
Muhammad Abu Faris, Dr. Naser Farid Wasil, Fatwa Majlis Ulama’ Sudan, dan Fatwa
Majlis Ulama’ Palestin.
Kempen boikot
ini sangat berkesan, pelbagai contoh dapat dilihat seawal pelancarannya pada
2002, McDonalds terpaksa menutup operasinya di timur tengah, dua daripada enam
McDonalds di Jordan juga ditutup, di Mesir pula nama McDonalds ditukar kepada
Manfoods dan 175 cawangannya telah ditutup. Amazon.com pula telah memutuskan
hubungannya dengan Jurusalem Post.
Otomotif
Texas Export, sebuah syarikat eksport kereta US juga telah membatalkan urusan
jual beli dengan Israel. Kesan daripada boikot juga, Sharon terpaksa memohon
bantuan kecemasan daripada Washington dan Israel mengalami inflasi yang
melambung tinggi. Maka dakwaan bahawa boikot adalah semangat, angan-angan
kosong dan khayalan semata adalah suatu kebodohan.
Salah
Tindakan Hijrah Keluar dari Palestin
Seruan supaya
warga Palestin berhijrah keluar dari Palestin dengan bersandar kepada peristiwa
hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah adalah sangat tidak tepat. Umat Islam berhijrah
bersama Nabi s.a.w. dari Makah, yang bukan di bawah kekuasaan kaum muslimin ke
Madinah adalah untuk membina kuasa dan negara bagi umat Islam. Adapun Palestin
adalah hak milik kekuasaan umat Islam.
Meninggalkannya
beerti menyerahkan secara percuma tanah air milik kaum muslimin itu kepada
Israel laknatullah, menghalalkan jenayah perang yang dilakukan mereka,
merelakan kehormatan dan maruah umat Islam dicabul, dan pasti sekali jika
sedemikian, Allah akan mencabut rasa gerun musuh terhadap umat Islam, hilanglah
izzah bagi umat Islam. Dalam konteks perundangan antarabangsa pula,
undang-undang atau kerajaan negara mana yang akan mengizinkan keadaan tersebut
berlaku(?).
Kesimpulan
GAMIS
merasakan amat kecewa sekali terhadap iLMU dengan pendirian sedemikian. Tidak
hairanlah jika imej Islam yang ditonjolkan UMNO banyak sekali bercanggah dengan
nilai-nilai Islam dan mengelirukan umat Islam.
Saya sekali
lagi ingin menegaskan pendirian GAMIS sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Presiden GAMIS, Azan Safar,
“GAMIS menyokong penuh perjuangan HAMAS dan warga Palestin untuk terus
berurusan dengan Israel dengan ‘bahasa darah’. HAMAS dan rakyat Palestin pasti
sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid.”
Wallahua’lam.
Saya yang
benar,
EIKHWAN ALI
Timbalan
Presiden,
Gabungan
Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).