:: Posted on 19 November 2012 in iiumdaily.com
Tidak mudah untuk memberi erti kepada hidup.
Hidup pula, bukan dunia semata, akhirat juga perlu ambil kira. Namun, ramai
orang telah memberi erti kepada hidup masing-masing. Allah juga memberi
kebebasan kepada tiap-tiap orang untuk ertikan hidup mereka sendiri. Apa yang
pasti, pilihan hanya DUA. Bebaslah manusia memilih salah satu daripadanya.
Cuma, saya tiada pilihan. Mesti terima juga
amanah untuk berkongsi rasa dan idea di laman ini. Begitu juga dengan
penulis-penulis lain di sini. Pihak editorial minta kami siapkan tiap-tiap
minggu satu artikel. Tahu sangat diri tidak berbakat, tetapi tulis juga.
Mudah-mudahan bermanfaat. Tajuknya bebas, ruang ini saya namakan sendiri dengan
‘kalang dagang’. Orang jati Terengganu saya ini, ‘…ng’ mesti bunyi.
‘Kalang’ barangkali dengan dua erti, [1]
kalam (kaf – lam – alif – mim) dan [2] kolamun (kof – lam – alif – mim)
atau kata-kata dan pensil/pen. Kalam adalah suatu lafaz yang tersusun,
berfaedah dan memiliki maksud. Kolamun adalah alat untuk menulis. Kedua-duanya
wasilah atau alat dalam proses menimba dan memberi ilmu. Kedua-duanya penting
untuk hidup dan kepada kehidupan.
Dagang bermakna asing. Tidak serupa dengan
kebiasaan dan kebanyakan orang. Itulah sifat Islam dalam hadith Nabi s.a.w.
Dikala manusia diajar menyembah material, Islam menyuruh sembah Yang Maha Esa.
Diketika manusia dididik hidup untuk dunia semata, Islam arah hiduplah untuk
dunia dan akhirat.
Dengan nama itu saya berharap,
tulisan-tulisan yang saya ketengahkan kelak semuanya untuk siar seruan-seruan
dan kebaikan-kebaikan Islam. Saya tidak pandai. Tetapi kerana “sampaikanlah
daripadaku walaupun sepotong ayat”, saya coret juga. Biarlah buruk sedikit pun,
yang penting semuanya pasal Islam, daripada saya mengarut perkara-perkara yang
bukan pasal Islam.
Pilihan 1, jalan TAQWA. Berpangkal dengan
menSUCIkan hati, lisan dan perbuatan sesuai dengan akidah, ibadah dan akhlak di
dalam Islam. Berhujung dengan keJAYAan di dunia dan akhirat. Rahmat, redha dan
syurga sebagai habuan. Pilihan 2, jalan DOSA. Tidak perlu huraian panjang,
cukuplah tahu ganjarannya murka dan neraka.
Guna
WAHYU dan pakai AKAL, buatlah pilihan. Anda bebas untuk memilih, dan saya
memilih untuk ‘BEBAS’. Erti itu saya berikan kepada kehidupan saya.
0 comments:
Post a Comment
Apa Pandangan Anda?