Kesalahan berfikir dan berencana yang sangat
malang bahkan merugikan yang dilakukan oleh para pentadbir Institut Pengajian
Tinggi adalah apabila menjadikan kampus dan warganya sebuah teritori yang tidak
berpartisipasi di arena politik. Sedangkan kampus yang menjadi tempat lahirnya
para bijaksana, pasti mempunyai sumber daya yang berpotensi untuk mengambil
peranan strategik dalam arena politik tanah air.
Lebih parah lagi, adanya pelbagai peraturan
demi menghalang para pensyarah dan mahasiswa dari memberi sumbangan langsung dalam
pembangunan politik. Lalu, peranan kampus sebagai pusat membina ketamadunan
ilmu dan peradaban budi dimandulkan dengan pendidikan ‘job oriented’ dan sengaja dibiarkan budaya hedonisme bersarang.
Kesannya, sebahagian besar siswazah yang
bergraduasi dengan pelbagai taraf kelulusan, tidak memiliki kesedaran politik (political awareness) yang membina dan
gagal menunaikan tanggungjawab sosial (social
responsibility) dengan berkesan.
Bahaya jangka masa panjang jika keadaan ini
berterusan ialah lahirnya kepimpinan negara dan generasi bangsa yang
mementingkan diri sendiri dan hilangnya budaya permuafakatan serta semangat
tolong-menolong dan gotong-royong dalam membangunkan Malaysia untuk berhadapan
dengan pelbagai peranan dan cabaran pada masa hadapan.
Kualiti ‘terpelajar’ dengan kemampuan untuk
menguji yang benar dan yang salah dengan pendapat yang beralasan berdasarkan
ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa sepatutnya mampu diterjemah dengan memikul
tanggungjawab mencari dan membela kebenaran, juga menentang sebarang bentuk
penyelewengan dan kebatilan.
Maka, kerana kebimbangan terhadap kemampuan
mahasiswa ini, pemerintah korup sedaya upaya mengahalang daripada wujudnya
hubungan ‘mutual simbiosis’ yang komprehensif, kompetitif & konstruktif antara rakyat dan
pemerintah, dan sekadar menjadikan hubungan itu sebagai hubungan objek-subjek demi
mengekalkan kedudukan dan kekuasaan yang sedang dimiliki.
Biarlah ummah boleh mendekati kampus dan mendapat
manfaat daripada kita. Jangan biarkan ummah menjadi seperti pemancing yang
tidak dapat merasai nikmatnya udang galah kerana sang buaya. Ayuh bebaskan
kampus kita! Kampus kita bukan lubuk buaya.
:: Kajang, 4/9/12, 8.36PM









