Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 29, 2013

POLITIK RAKYAT


Perbincangan seputar ‘PERPADUAN’, ‘POLITIK’, ‘MELAYU’ dan ‘ISLAM’, sangat mendapat perhatian dalam kalangan rakyat di pelbagai peringkat. Lebih menarik, ia juga suatu yang cukup sentitif jika silap lontar pandangan dan tidak kurang juga ada yang sengaja buat baran dan ambil kesempatan.

Ia bukan perkara baru. Namun, berbeza dengan dahulu, orientasi dan kandungan perbincangannya lebih akademik, matang dan objektif. Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat, kesarjanaan para cendekiawan dan kesedaran politik rakyat. Jika dahulu, para pemerintah cukup untung bermain dengan isu-isu ini, namun kini belum tentu bahkan silap-silap akan rugi besar.

Kini, sumber informasi rakyat bukan satu, tapi beribu dan mudah dicapai. Minda rakyat juga tidak lagi boleh disogok dengan buah fikir para bijaksana pengampu dek ramainya murabbi yang mengerti amanah ilmu. Rakyat cukup sedar, bahawa “Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubahnya”. Rakyat sangat kritis untuk memberi asbab mengapa perubahan itu perlu.

Golongan usahawan kapitalis, bangsawan kroni dan pemerintah korup pasti tidak mengerti dek sikap membuta mata dan memekak telinga. Lihat sahaja makan, minum, pakaian dan tempat tinggal mereka yang berbeza sungguh dengan rakyat marhaen. Rakyat jelata hidup melata - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susah-payah dan jerit-perih rakyat bukan urusan mereka. Mereka hanya tahu dan mahu untung, berada dan kekal berkuasa.

Oleh itu, mereka mula mencanangkan ‘PERPADUAN’ sebagai penyelesaian setelah puas meniup api perkauman, idea-idea amalan ‘POLITIK’ yang bernas dan konstruktif dibekukan atas alasan keselamatan, perundangan dan ‘bukan budaya kita’, bangsa ‘MELAYU’ menjadi mangsa agenda pembodohan keterlaluan, dan hal ehwal ‘ISLAM’ disensasikan dan dijadikan punca pertelagahan.

Hal-hal yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan dikatakan ehsan demi memastikan rakyat berterima kasih atas kebaikan kerajaan. Sana-sini dikunjungi untuk tawar sebuah ‘janji ditepati’. Jelas sekali janji-janji terdahulu pasti tertangguh lagi.

Rakyat memerhati dan mencermati hal itu semua. Angguk belum tentu suka, geleng belum tentu benci. Sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tunggu sahaja pilihanraya. Namun, jika SPR tidak telus, angguk dan geleng rakyat untuk setuju atau tidak setuju dengan pihak itu dan ini tetap sia-sia. Ketika itu, tidak salah lagi kalau rakyat memilih jalan raya. Untuk memulih keadaan, rakyat hanya ada kata dua; kerajaan berubah atau berubah kerajaan. Inilah POLITIK RAKYAT.

Wallahua’lam.

Sunday, January 13, 2013

Isu Kalimah “ALLAH”


Para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan hukum penggunaan kalimah “ALLAH” dalam kalangan orang-orang bukan Islam. Sebahagiannya berpendapat HARUS digunakan, dan sebahagian yang lain pula mengHARAMkannya. Kedua-duanya mengemukakan hujah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan al-Hadith serta aspek logik akal, sejarah dan penggunaan bahasa. Lebih menarik, kedua-duanya mempunyai hujah balas terhadap satu sama lain.

Bagi memanfaatkan perbezaan itu untuk mengeluarkan hukum berkenaan dengannya (penggunaan kalimah “ALLAH”) di Malaysia, ia berhajat kepada kemahiran memerhati, meneliti dan mencermati realiti semasa dan setempat hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi aspek sosio-budaya, politik dan perundangan.

Tidak dapat tidak, setelah ada dua pilihan, untuk memilih hanya satu, - dalam permasalahan ini – ia mesti dinilai dengan ilmu fiqh as-siyasah as-syar’iyyah secara teori dan pengalaman daripada pengamalannya untuk menimbang tara antara maslahah dan mafsadah daripadaya (kedua-dua pandangan yang berbeza itu).

Maka, biarlah para ulama’ dan sarjana-sarjana Islam di bidang sosiologi, politik dan perundangan berperanan menyelesaikannya. Namun, pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas serta dengan tujuan-tujuan batil – mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik – mestilah ditolak dan tidak dipakai.

Apa yang penting daripada kedua-duanya (sama ada melarang atau membenarkan) ialah :

  1. Memperkasakan institusi pendidikan agama Islam di semua peringkat (pra-sekolah, rendah, menengah dan pendidikan tinggi) meliputi kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim mengenal Allah dan mengesakannya serta mengimani sifat-sifat kesempurnaannya.
  2. Menaiktaraf mata pelajaran Agama Islam sebagai subjek wajib dan sebagai syarat lulus peperiksaan kepada pelajar-pelajar beragama Islam supaya mereka mengetahui dan memahami tuntutan Allah di dalam al-Quran dan al-Sunnah meliputi perkara-perkara halal dan haram serta batas-batas iman dan kufur.
  3. Memperhebatkan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam melalui dialog, forum, dakwah fardhiyyah dan bantuan kebajikan agar mereka mengenali Allah, Tuhan Sekalian Alam yang telah mengutuskan seorang rasul yang membawa rahmat untuk sekalian alam dengan risalah Islam yang syumul, benar dan adil.
  4. Merangka, meminda dan menguat-kuasakan undang-undang berkaitan yang perlu bagi menangani kalimah “ALLAH” disalahgunakan sehingga mengelirukan khususnya masyarakat Islam serta menjejaskan kesucian dan sifatnya yang muqaddas.

Tugas-tugas ini mestilah dipikul secara bersama oleh semua pihak – kerajaan, parti politik, NGO, media dan masyarakat – bagi memastikan kalimah “ALLAH” menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkanNya.

Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang – masyarakat Islam dan bukan Islam – berkenaan penggunaan kalimah itu. Duduk, bincang dan sepakat!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Sunday, December 30, 2012

AMANAT HAJI HADI – POLITIK PONDAN UMNO


Saya pada awalnya tidak bercadang untuk turut berpartisipasi dalam memberi respon berkenaan isu ini memandangkan ia telah pun 'berusia' 31 tahun apatah lagi pada tahun 1981 itu saya belum pun dilahirkan lagi dan saya juga tidak pun berkesempatan dengan fenomena seperti apa yang diceritakan oleh orang-orang lama seperti sembahyang dua imam, majlis akad nikah dua kali atau memulau majlis kenduri perkahwinan atau tahlil kematian.

Pelik sungguh apabila isu ini dibangkitkan semula setelah Malaysia bertukar-ganti 2 orang Perdana Menteri, 8 orang Yang Di-Pertuan Agong, 5 orang Ketua Polis Negara, 5 orang Pengerusi Jawatankuasa Fatwa dan 10 orang Ketua Hakim Negara. Sepatutnya, sudah pasti isu ini telah 'selesai' setelah berlalu pelbagai peristiwa sementelah lagi setelah pembatalan muzakarah yang sepatutnya diadakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dulu. 

Jika benar sesat amanat itu, bodoh benarlah orang-orang agama kerajaan sehingga perlu memakan masa 31 tahun untuk mendakwa sesatnya amanat itu, belum lagi membuktikannya. Lebih logik ialah, bukan amanat itu yang sesat, dan tidak menyesatkan pun, sebaliknya UMNO yang sedang memperalat. Ulama', media dan institusi awam diperalat untuk memastikan UMNO boleh terus berehat, sebab UMNO kini sedang tenat.

UMNO menghangat isu ini dengan harapan berjaya memperdaya belia seusia saya yang merupakan 'new voters' dan dengan tujuan menghilangkan kepercayaan dan keyakinan pengundi Melayu-Islam terhadap kewibawaan sebuah parti Islam dan seorang ulama' negarawan yang dilihat semakin terkehadapan dan berjaya meraih sokongan bukan sahaja daripada orang-orang Islam bahkan juga daripada bukan Islam. Ini kerana, undi pengundi baru dan Melayu-Islam adalah penting bagi UMNO untuk ia terus mandiri dengan kekuasaannya yang sudah berumur lebih 50 tahun itu.

Sungguh-sungguh UMNO ‘manfaatkan’ apa yang ia miliki untuk matikan karakter TG Hj. Abdul Hadi Awang setelah gagal berkali-kali dalam cubaan memecahkan muafakat Pakatan Rakyat. TG Hj. Abdul Hadi Awang didesak bertubi-tubi supaya memohon maaf kepada umat Melayu dan menarik semula kenyataannya yang telah pun berusia hampir separuh umur beliau.

Nah! Tiba-tiba ulama’ ini hanya minta 1 jam siaran langsung daripada RTM dan TV3 untuk membuat penjelasan dan kemudian menyerahkannya kepada rakyat untuk membuat penilaian. Dibandingkan dengan serangan yang menelan minggu dan puluhan tulisan yang menyerang beliau, 1 jam ini permintaan yang kecil sangat, mudah dan padan sangat jika hendak ditunaikan. Tetapi, jawapan Menteri, “...boleh sahaja kita rakam. Kalau sesuai baru kita siar." PONDAN sungguh politik UMNO. Mula-mula bersungguh-sungguh ajak bertumbuk, bila lawan dah setuju dan nyatakan lokasi, tiba-tiba kecut perut pula. PONDAN!

Saya kira sudah-sudahlah isu ini terus dipolemikkan. Generasi baru Malaysia mahukan politik yang ‘constructive’, bukannya ‘provokatif’ dan ‘destructive’. Generasi baru Malaysia juga tidak mahukan politik PONDAN, diajak berdebat, “bukan budaya kita”, diminta siaran langsung, “kalau sesuai kita siarlah”, akhirnya, politik samseng dan fitnah juga jadi pilihan. MALAYSIA TANPA UMNO.

Monday, December 17, 2012

TIADA LAGI MANDAT UNTUK UMNO


Pilihanraya adalah mekanisme penting dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ia adalah proses pengurniaan mandat dan kuasa rakyat kepada seseorang individu dan sesebuah parti untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara bagi menjamin kemerdekaan, memelihara keamanan, memacu kemajuan dan menegakkan keadilan untuk rakyat dan tanah air ini.

Proses ini mesti berlangsung dengan tiga (3) unsur; [1] partisipasi menyeluruh rakyat, [2] jaminan kebebasan asasi, dan [3] proses yang bersih dan adil. Idea pendaftaran automatik dan penurunan umur kelayakan sebagai pengundi adalah cadangan bijaksana bagi memastikan lebih ramai rakyat terlibat. Rakyat mesti dijamin kebebasan asasi mereka seperti kebebasan bersuara, berparti dan berhimpun, tanpa sekatan menggunakan pelbagai undang-undang dan peraturan. Reformasi pilihanraya perlu berlaku dengan membersihkan senarai pemilih, akses media yang saksama dan penolakan terhadap budaya politik kotor dan samseng.

Bersilih-ganti sesebuah parti kepada parti yang lain untuk mengetuai kerajaan adalah suatu yang normal bagi proses ini di negara-negara yang mengamalkan demokrasi secara telus. Doktrinisasi dan persepsi bahawa pertukaran ini adalah suatu yang negatif yang dilancarkan adalah kerana dua (2) perkara; [1] kebimbangan yang teramat sangat oleh sesebuah parti terhadap kemandirian partinya untuk terus kekal berkuasa, dan [2] menganggap bahawa rakyat terlalu dangkal untuk membuat pilihan bagi menentukan kerajaan.

Secara terus-terang dan seluruh rakyat sedang merasai hal ini, UMNO sedang resah-gelisah, lalu rakyat cuba diperbodoh-bodohkan. Bimbangnya UMNO kerana ia diketuai seorang Presiden merangkap Perdana Menteri yang belum mendapat mandat rakyat sehingga ke hari ini, dan sehingga ke hari juga UMNO belum yakin untuk mendapatkan mandat daripada rakyat melalui pilihanraya. Jika kalah, keadaan ini tidak mudah untuk UMNO pasrah sementelah lagi ia telah berkuasa selama lebih separuh abad. Sebelum ia terpaksa pasrah, UMNO pasti tidak tentu arah untuk tidak mahu menyerah.

Pasca PAU 2012 telah membuka mata rakyat terhadap budaya politik UMNO dan prestasinya sebagai teras kerajaan BN. Melalui PAU 2012, rakyat dapat melihat betapa UMNO sedang mengalami krisis keyakinan dan kesetiaan para anggotanya yang agak keterlaluan. Berkali-kali amaran supaya jangan sabotaj dan mesti sokong calon parti, jelas mendedahkan realiti itu, dan rakyat pula sudah maklum bahawa ia memang wujud dalam UMNO buat sekian lama. Diikuti pula dengan insiden provokasi dan pukul, yang sememangnya sebati dengan UMNO yang mempraktikkan budaya politik kotor dan samseng. UMNO juga tidak sunyi daripada terus terpalit dengan isu-isu rasuah dan kronisme.

Sebagai kerajaan pula, UMNO tidak berkeupayaan langsung menyelesaikan isu-isu evergreen seperti kebejatan sosial yang berpunca daripada hiburan melampau dan pergaulan bebas sehingga anak luar nikah yang direkodkan sehingga ke tahun 2010 berjumlah lebih 250,000 orang, sejumlah 76,200 graduan mengganggur tanpa peluang pekerjaan, sejumlah besar siswazah pendidikan tidak mendapat tempat, peningkatan kos sara hidup sehingga menyebabkan 300,000 hingga 400,000 buah keluarga dikategorikan dalam kumpulan miskin melampau, dan harta rakyat terus dirompak melalui rampasan royalti dan pelaksanaan undang-undang seperti AES. Beginilah cara UMNO dan BN melaksanakan agenda “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Dalam hal ini, pendirian GAMIS adalah jelas dan tegas bahawa kunci bagi memastikan Malaysia untuk terus aman, makmur, mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian, sejahtera dan berkebajikan ialah dengan memastikan UMNO tidak lagi diberi mandat untuk mentadbir Malaysia pasca pilihanraya umum ke-13 akan akan datang. MALAYSIA TANPA UMNO.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI

Penulis adalah Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Pandangan dan pendirian beliau dalam pelbagai isu boleh dibaca di engineermemali.blogspot.com.

ISU PALESTIN - GAMIS sanggah iLMU


 :: Posted on 29 November 2012 in mygamis.com

Iman adalah perjanjian taat setia (baiah) dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. untuk mengakui keesaan Allah s.w.t. dan kenabiaan Muhammad s.a.w. serta untuk mengengkari taghut – pihak yang menyimpang dari jalan Allah s.w.t. dan melakukan kezaliman mengikut hawa nafsu tanpa batas.

Al-Mu’min yang sebenar ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, dan terus dengan keimanan itu tanpa ragu serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka. Menjelaskan ciri-ciri ini, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan) imannya.”
(al-Hujurat : 15)

Warga Palestin Kental Iman

Perkara yang menyebabkan manusia menjadi ragu-ragu ialah kerana kebimbangan dan kerisauan terhadap rezeki dan ajal mereka. Lalu tugas-tugas jihad ini diabaikan kemudian ditinggalkan kerana tidak beriman dengan sifat ar-Razak Allah s.w.t. Padahal ulat di dalam batu sekalipun telah disediakan rezeki oleh Allah s.w.t. sesuai dengan kebesaran dan kemuliaan sifatNya.

Maka disebabkan itulah perbuatan jihad yang merupakan buah daripada iman ini telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk memperoleh al-fauz ul-‘azim (kemenangan yang besar). Kemenangan itu sama ada kemuliaan ganjaran jihad dan mati syahid atau kemenangan ke atas musuh-musuh Allah s.w.t.

Oleh itu, hanya orang yang mempunyai kekuatan iman mampu keluar ke medan perang dan bertahan di medan perang sehingga dia mendapat salah satu ketentuan Allah kepadanya; syahid atau kemenangan. Warga Palestin, setelah berlalunya beberapa zaman dan generasi, terus dengan semangat dan cita-cita mereka untuk membebaskan Palestin. Inilah bukti kekentalan iman umat Islam Palestin.

Perang di Palestin adalah Jihad

Jihad yang berasal dari kalimah al-juhd dengan pengertian keperitan dan kesusahan tidak bebas dari tiga tabiat; [1] Wujudnya usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh yang digembleng, [2] Adanya matlamat dan cita-cita suci lagi tinggi untuk dicapai, dan [3] Berhadapan dengan musuh yang menghalang dan menentang usaha dan perjuangan tersebut. Jihad di lapangan mana pun dan  dengan cara apa sekalipun mestilah sesuai dengan tuntutan jihad fi sabilillah yang bermatlamatkan mendapat keredhaan, keampuanan dan rahmat daripada Allah s.w.t.

Penafian tidak berlakunya jihad di Palestin adalah suatu kenyataan yang bercanggah sekali dengan al-Quran. Perbuatan jihad yang dilakukan oleh warga Palestin dengan melibatkan ketenteraan, penggunaan senjata dan sehingga berlakunya korban yang tidak sedikit adalah selari dengan tuntutan Allah s.w.t. iaitu untuk [1] Mempertahankan pencerobohan dan kezaliman dari pihak musuh, serta sebagai pembelaan ke atas umat Islam yang dihalau dari tanah airnya sendiri (al-Hajj : 39), [2] Membalas dan mempertahankan pencerobohan musuh (al-Baqarah : 190), dan [3] Membela kaum muslimin yang lemah dan tidak terdaya dan yang telah dizalimi.

Warga Palestin Ada Kekuatan

Barangkali benar kekuatan warga Palestin atau briged Izz ad-Din al-Qassam, sayap tentera HAMAS, tidak setanding dengan kekuatan Israel Defense Force (IDF). Namun, perkara ini tidak bermakna warga Palestin perlu melarikan diri dari medan jihad sedangkan tuntutan-tuntutan jihad itu telah jelas. Sirah Nabawiyyah pula telah memperlihatkan bahawa tidak pernah kekuatan persenjataan kaum muslimin mengatasi kekuatan persenjataan musuh. Dalam hal ini, apa yang dituntut ialah mempersiap sediakan segala kekuatan yang mampu disediakan (al-Anfal : 60).

Al-Qassam telah pun menunaikan tuntutan ini. Buktinya, briged itu masih mampu bertahan walaupun pertempuran itu telah berlangsung buat sekian lamanya. Ini beerti bahawa briged itu mempunyai kekuatan dan upaya yang tidak sebarangan. Walaupun seawal penubuhannya al-Qassam hanya mampu memiliki senapang, kini al-Qassam telah berupaya menghasilkan roket, senjata ringan automatik, bahan letupan dan mortar buatan sendiri. Menurut bekas pengarah CIA juga, briged ini mempunyai keupayaan untuk melakukan serangan menggunakan bahan toksid.

Bukan Gerila

IDF dan CIA memang mengakui bahawa al-Qassam adalah sebuah pasukan tentera yang memiliki ribuan anggota dengan pelbagai tahap kemahiran dan professionalism. Sudah pasti pasukan sebegini akan melakukan tindakan ketenteraan secara berstrategik dan beperancangan serta dengan arahan kepimpinan, bukannya membabi buta.

Operasi amaliah istisyhadiah (serangan berani mati) pula selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pelbagai pertubuhan ulama’ mengakui operasi ini antaranya, Jabhah Ulama’ al-Azhar, Rabitah Alami Islami, Majlis Fatwa Kebangsaan Jordan, Majlis Fatwa Ulama’ Pakistan, Rabitah Ulama’ Palestin, Majlis Ulama’ Indonesia. Mereka membuat kesimpulan bahawa mati akibat operasi ini adalah syahid. Ramai ulama’ Islam juga menyokong operasi ini antaranya Dr. Wahbah az-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti, Dr. Yusof al-Qardhawi dan Dr. Muhammad Abu Faris.

Warga Palestin itu membela tanah airnya, bumi Islam, agama, kemuliaan dan umatnya. Mereka benar-benar syahid kerana mengorbankan nyawa dengan kerelaan di jalan Allah, ikhlas kerana Allah dan dalam keadaan mereka terpaksa melakukan cara sedemikian untuk menggerunkan musuh-musuh Allah s.w.t. yang jelas-jelas menyatakan permusuhannya dan bangga dengan kekuatan mereka yang didukung oleh kuasa besar lainnya.

Boikot Sangat Praktikal

Tindakan boikot barangan Yahudi Zionis dengan cara mengenali produk keluaran mereka dan memulaukan barangan tersebut serta memilih barangan tempatan atau selain daripada produk sekutu mereka adalah diiktiraf oleh ulama’ sebagai antara langkah praktikal untuk membantu warga Palestin. Antara ulama’ yang menyokong usaha ini ialah Dr. Yusof al-Qardhawi, Syeikh Abdullah Jibrin, Dr. Hamman Said, Dr. Muhammad Abu Faris, Dr. Naser Farid Wasil, Fatwa Majlis Ulama’ Sudan, dan Fatwa Majlis Ulama’ Palestin.

Kempen boikot ini sangat berkesan, pelbagai contoh dapat dilihat seawal pelancarannya pada 2002, McDonalds terpaksa menutup operasinya di timur tengah, dua daripada enam McDonalds di Jordan juga ditutup, di Mesir pula nama McDonalds ditukar kepada Manfoods dan 175 cawangannya telah ditutup. Amazon.com pula telah memutuskan hubungannya dengan Jurusalem Post.

Otomotif Texas Export, sebuah syarikat eksport kereta US juga telah membatalkan urusan jual beli dengan Israel. Kesan daripada boikot juga, Sharon terpaksa memohon bantuan kecemasan daripada Washington dan Israel mengalami inflasi yang melambung tinggi. Maka dakwaan bahawa boikot adalah semangat, angan-angan kosong dan khayalan semata adalah suatu kebodohan.

Salah Tindakan Hijrah Keluar dari Palestin

Seruan supaya warga Palestin berhijrah keluar dari Palestin dengan bersandar kepada peristiwa hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah adalah sangat tidak tepat. Umat Islam berhijrah bersama Nabi s.a.w. dari Makah, yang bukan di bawah kekuasaan kaum muslimin ke Madinah adalah untuk membina kuasa dan negara bagi umat Islam. Adapun Palestin adalah hak milik kekuasaan umat Islam.

Meninggalkannya beerti menyerahkan secara percuma tanah air milik kaum muslimin itu kepada Israel laknatullah, menghalalkan jenayah perang yang dilakukan mereka, merelakan kehormatan dan maruah umat Islam dicabul, dan pasti sekali jika sedemikian, Allah akan mencabut rasa gerun musuh terhadap umat Islam, hilanglah izzah bagi umat Islam. Dalam konteks perundangan antarabangsa pula, undang-undang atau kerajaan negara mana yang akan mengizinkan keadaan tersebut berlaku(?).

Kesimpulan

GAMIS merasakan amat kecewa sekali terhadap iLMU dengan pendirian sedemikian. Tidak hairanlah jika imej Islam yang ditonjolkan UMNO banyak sekali bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan mengelirukan umat Islam.

Saya sekali lagi ingin menegaskan pendirian GAMIS sebagaimana yang telah  dikemukakan oleh Presiden GAMIS, Azan Safar, “GAMIS menyokong penuh perjuangan HAMAS dan warga Palestin untuk terus berurusan dengan Israel dengan ‘bahasa darah’. HAMAS dan rakyat Palestin pasti sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid.”

Wallahua’lam.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timbalan Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Beri ERTI Kepada KEHIDUPAN


:: Posted on 19 November 2012 in iiumdaily.com

Tidak mudah untuk memberi erti kepada hidup. Hidup pula, bukan dunia semata, akhirat juga perlu ambil kira. Namun, ramai orang telah memberi erti kepada hidup masing-masing. Allah juga memberi kebebasan kepada tiap-tiap orang untuk ertikan hidup mereka sendiri. Apa yang pasti, pilihan hanya DUA. Bebaslah manusia memilih salah satu daripadanya.

Cuma, saya tiada pilihan. Mesti terima juga amanah untuk berkongsi rasa dan idea di laman ini. Begitu juga dengan penulis-penulis lain di sini. Pihak editorial minta kami siapkan tiap-tiap minggu satu artikel. Tahu sangat diri tidak berbakat, tetapi tulis juga. Mudah-mudahan bermanfaat. Tajuknya bebas, ruang ini saya namakan sendiri dengan ‘kalang dagang’. Orang jati Terengganu saya ini, ‘…ng’ mesti bunyi.

‘Kalang’ barangkali dengan dua erti, [1]  kalam (kaf – lam – alif – mim) dan [2] kolamun (kof – lam – alif – mim) atau kata-kata dan pensil/pen. Kalam adalah suatu lafaz yang tersusun, berfaedah dan memiliki maksud. Kolamun adalah alat untuk menulis. Kedua-duanya wasilah atau alat dalam proses menimba dan memberi ilmu. Kedua-duanya penting untuk hidup dan kepada kehidupan.

Dagang bermakna asing. Tidak serupa dengan kebiasaan dan kebanyakan orang. Itulah sifat Islam dalam hadith Nabi s.a.w. Dikala manusia diajar menyembah material, Islam menyuruh sembah Yang Maha Esa. Diketika manusia dididik hidup untuk dunia semata, Islam arah hiduplah untuk dunia dan akhirat.

Dengan nama itu saya berharap, tulisan-tulisan yang saya ketengahkan kelak semuanya untuk siar seruan-seruan dan kebaikan-kebaikan Islam. Saya tidak pandai. Tetapi kerana “sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat”, saya coret juga. Biarlah buruk sedikit pun, yang penting semuanya pasal Islam, daripada saya mengarut perkara-perkara yang bukan pasal Islam.

Pilihan 1, jalan TAQWA. Berpangkal dengan menSUCIkan hati, lisan dan perbuatan sesuai dengan akidah, ibadah dan akhlak di dalam Islam. Berhujung dengan keJAYAan di dunia dan akhirat. Rahmat, redha dan syurga sebagai habuan. Pilihan 2, jalan DOSA. Tidak perlu huraian panjang,  cukuplah tahu ganjarannya murka dan neraka.

Guna WAHYU dan pakai AKAL, buatlah pilihan. Anda bebas untuk memilih, dan saya memilih untuk ‘BEBAS’. Erti itu saya berikan kepada kehidupan saya.

Monday, September 24, 2012

WUFI, PKPIM, MC, KARISMA & GAMIS SEPAKAT TOLAK PENCABULAN DEMOKRASI KAMPUS


Ringkasnya, kesepakatan itu adalah berkenaan [1] bantahan terhadap konspirasi calon tajaan, [2] penafian penglibatan dengan amalan budaya politik kotor dan [3] seruan kepada pengundi untuk memilih calon yang tepat.

Apa yang pasti, kesepakatan antara WUFI dengan PKPIM, MC, KARISMA dan GAMIS ini akan menyebabkan kumpulan Pro-Aspirasi a.k.a Pro-Universiti dan calon-calon tajaan mereka, berserta juga pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dengan penajaan calon ini, tidak akan duduk senang dan akan semakin gelisah. MUNGKIN sebaran fitnah terhadap calon-calon WUFI akan lebih giat dilancarkan selepas dari ini.

Kesepakatan yang berjaya WUFI turut serta ini bukan sahaja telah membuktikan keabsahan integriti politik WUFI dan kredibiliti calon-calonya, bahkan sekaligus menafikan wawasan politik Pro-Aspirasi a.k.a Pro-Universiti dan kelayakan calon-calon tajaan mereka untuk diangkat sebagai wakil pelajar. “CHECKMATE!” Ayuh mahasiswa! Kita turun mengundi – tolak Aspirasi, undi WUFI.

Berikut adalah kenyataan penuh “Tolak Pencabulan Demokrasi Kampus”.

______


KENYATAAN MEDIA
TOLAK PENCABULAN DEMOKRASI KAMPUS

Kami, mewakili;

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Ma’ruf Club UIAM (MC)
We Unite For Islam (WUFI)

Dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan para mahasiswa di seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan perwakilan pelajar atau Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih sempena PRK yang bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia pada 25 September ini.

PRK adalah merupakan suatu wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawan dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan oleh sama ada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahupun pihak universiti    dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’. Perbuatan ini seumpama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sepatutnya bersikap adil dalam mengendalikan pilihanraya dan memberi kebebasan hak kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka, TETAPI mereka telah merancang suatu usaha untuk memenangkan calon tertentu.

Sekiranya pihak berkenaan telah merancang untuk memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan pendanaan (sponsorship), maka apalah ertinya dan perlunya sebuah pilihanraya diadakan? Campurtangan seperti ini adalah merupakan suatu perbuatan yang biadap dan terkutuk.

Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap universiti. Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan adalah wajar mereka segera BERTAUBAT dan BERUNDUR daripada terus memegang posisi penting dalam kementerian atau universiti.

Oleh yang demikian, kami menyeru kepada para mahasiswa untuk memilih calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus masing-masing. Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu berdikari, berpegang kepada prinsip, jujur, amanah dan berpekerti mulia. Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon-calon yang bukan sahaja mempunyai KEMAMPUAN untuk menunaikan manifesto yang diumumkan, tetapi juga mestilah yang mampu menjadi USWAH dan QUDWAH kepada warga universiti.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah atau akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK kali ini. Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah, kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan politik mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berkomuniti dalam kampus.

Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang  kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena politik.   Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat adalah sangat penting demi memastikan para mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.

Sekian. Terima kasih.

23 SEPTEMBER 2012