Pages

Ads 468x60px

Thursday, April 12, 2012

HANYA DUA PERKARA YANG MUNGKIN


Menafikan peranan Islam dalam politik adalah suatu kezaliman dan menjadi punca wujudnya pelbagai kezaliman lain terus-menerus. Walau apa juga nama yang diberikan kepada konsep pemisahan ini, jelas sekali prinsipnya bertentangan dengan Islam.

Hubungan Islam dan politik ini telah jelas diterangkan oleh Imam al-Ghazali sebagaimana kata-katanya, “Sedarlah bahawa syariat Islam itu merupakan dasar, dan kuasa itu ialah penjaganya. Perkara yang tiada dasar akan roboh dan perkara yang tiada penjaga akan lenyap.”

Penafian terhadap hubungan Islam dan politik ini telah melahirkan golongan yang memisahkan Islam dan politik. Walaupun secara teorinya Islam diberi pengiktirafan, namun dari sudut praktikal pula, yang berlaku adalah sebaliknya.

Hal ini dapat dinilai melalui keyakinan, ucapan serta tindakan mereka yang sentiasa memisahkan ajaran Islam dengan tuntutan politik. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah dan menjadi punca kepada berlakunya pelbagai masalah dalam masyarakat.

Lebih malang lagi, apabila terdapat pemimpin-pemimpin dalam kalangan masyarakat dan negara umat Islam menganggap seruan-seruan ke arah mencontohi prinsip-prinsip pemerintahan di zaman Nabi s.a.w. dan Khalifah Islam sebagai seruan dongengan dan tidak praktikal untuk dilaksanakan di zaman ini. Bahkan, golongan yang menyeru itu pula dilabel sebagai keterlaluan dan tidak memahami wasatiyyah di dalam Islam.

Islam mengiktiraf institusi kerajaan dan meletakkannya sebagai satu elemen sistem sosial yang sangat penting untuk memastikan kestabilan hidup masyarakat. Pengiktirafan ini jelas di dalam sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila kamu tiba di sebuah negeri yang tiada pemimpin, hendaklah kamu beredar meninggalkannya.”

Islam menyediakan asas dan prinsip untuk menegakkan kerajaan tanpa menafikan kebijaksanaan akal untuk turut sama berperanan. Namun mestilah difahami bahawa bijaksananya akal tetap terbatas sesuai dengan fungsinya yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, ia perlu dipandu dengan wahyu Ilahi. Tindakan mengenepikan nas dengan mendepankan akal adalah tindakan manusia yang dikuasai nafsu.

Pemimpin jahil yang diangakat ke kerusi kekuasaan akan menjahiliyyahkan masyarakat. Jahil bukan kerana tidak bijak akalnya tetapi kerana kaku dan beku pemerintahannya tanpa roh Islam. Lalu terbangunlah masyarakat yang ragu dan sangsi terhadap Islam, jauh sekali untuk menjadikannya sebagai cara hidup.  

Ulamak pula dinafikan kedudukan dan peranannya, hanya sekadar diberi kuasa untuk mengeluarkan fatwa halal-haram dalam fiqh Ibadah, tidak dalam fiqh Siyasah. Dalam hal urusan pemerintahan dan pentadbiran, halal atau haram sesuatu perkara adalah kerana lesennya. Dipersepsikan pula bahawa ulamak yang terjun ke lapangan politik sebagai tidak tsiqah dan telah mengotorkan kesucian Islam, dan dijadikan ulamak ini pula sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Malang lagi, ada pula ulamak yang mengampu sang penguasa, bukannya mahu ‘mengampu’ Yang Maha Berkuasa.

Hanya dua perkara yang mungkin, Islam 'sampai' kepada pemerintah atau pemerintahan beralih kepada kumpulan Islam. Berdoalah kepada Allah untuk kedua-duanya.

Wallahua’lam.

Tuesday, April 10, 2012

GTP : Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk


Setelah tiga tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.

Antara yang dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.

Namun begitu, sehingga ke saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang berhampiran kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka ini ternyata tidak mampu melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan, rasuah, ragut, lari dari rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli menjadi tajuk utama di dada akhbar dan siaran berita di televisyen. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan. Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’ giliran?

Monday, April 9, 2012

SYRIA – Antara Keruncingan dan Sebuah Harapan


Tidak kurang 400 nyawa rakyat Syria terus melayang di tangan pemerintah mereka sendiri bermula sejak awal April lalu sehingga menjelang hari esok, 10 April, iaitu tarikh yang dipersetujui oleh Bashar al-Asaad untuk melaksanakan pelan damai yang diusahakan oleh PBB melalui dutanya, Kofi Annan.

Tempoh yang sepatutnya dimanfaatkan oleh Bashar al-Asaad untuk sekurang-kurangnya mengendurkan ketegangan, digunakan untuk menambah bilangan angka korban rakyatnya sendiri. Alasan tiadanya jaminan daripada ‘pemberontak’ dalam kalangan rakyat untuk juga melakukan genjatan senjata dan sebagai langkah berhati-hati kerajaan terhadap tindakan ‘pengganas’, Bashar al-Asaad lebih rela melihat rakyatnya bersimbah darah.

Menilai situasi ini, kelihatan mustahil sekali pelan damai yang diatur itu akan berjaya memulihkan keamanan di Syria. Tiada langsung keazaman di pihak pemerintah Syria untuk melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mencapai maksud pelan damai tersebut, apatah lagi untuk Bashar al-Asaad mengarahkan tenteranya keluar bersama-sama dengan seluruh senjata ketenteraan dari bandar-bandar yang sedang bergolak.

Rakyatnya yang bangkit di atas kesedaran memperjuangkan kebenaran dan keadilan, dan pengaruh daripada tekanan hidup dan tanggungjawab kemasyarakatan, akibat sikap dan tindakan kerajaan yang tidak amanah dan melakukan kezaliman, akhirnya rakyat dilabel dan dihukum sebagai orang salah, pengganas dan pemberontak yang mesti diambil tindakan.

Penangkapan, pemenjaraan dan pembunuhan adalah dihalalkan oleh Bashar al-Asaad untuk tujuan ‘keselamatan’ negaranya. Lebih daripada itu, rakyat diarah pula untuk ‘bersyahadah’ bahawa Basharlah Tuhan mereka untuk memastikan ketaatan mutlak rakyatnya adalah kepada dirinya.

Harapan kita adalah untuk melihat Syria kembali bebas daripada sebarang bentuk huru-hara, pihak tentera segera diarah keluar daripada bandar-bandar yang sedang bergolak, bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan yang terjejas, tahanan yang terdiri daripada rakyat yang tidak bersalah segera dibebaskan, rakyat diberi kebebasan untuk bergerak di dalam negaranya sendiri dan rakyat diberi jaminan keselamatan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman.

Paling penting adalah untuk kita semua, khusunya umat Islam, mengambil pengajaran daripada tragedi yang memilukan ini, terutamanya pihak kerajaan bagi negara-negara umat Islam, lebih-lebih lagi yang mengangkat tinggi sistem pemerintahan demokrasi dan melaungkan slogan rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Aspirasi dan inspirasi rakyat haruslah dihormati.

Wallahua’lam.

Wednesday, March 28, 2012

ANCAMAN BAHAYA FALSAFAH


Harus disedari bahawa umat Islam kini tidak hanya berhadapan dengan kesesatan aliran-aliran yang cuba mempertemukan ajaran ketuhanan di dalam Islam dengan pemikiran falsafah Yunani di bidang metafizikal sebagaimana yang telah berlaku di zaman lalu.

Bahkan, kita kini sedang dihadapkan dengan aliran-aliran yang berusaha menyelaraskan syariat Islam dengan falsafah dan pemikiran moden yang muncul di barat pada zaman ini, yang muncul dalam bentuk teori dan ideologi kemasyarakatan dari sudut politik dan ekonomi yang menolak ajaran agama.

Oleh itu, perlu difahami bahawa kesesatan-kesesatan ini tidak lagi muncul sebagai mazhab-mazhab ketuhanan, tetapi sebaliknya ia muncul sebagai aliran-aliran politik yang memperjuangkan cita-cita kemasyarakatan tertentu dalam bentuk pembinaan semula masyarakat di dalam semua aspeknya – politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan – berasaskan kepada falsafah, teori dan ideologi yang tertentu yang mengenepikan ajaran Islam dalam aspek tersebut.

Jika dulu orientasi falsafahnya lebih memberi tumpuan kepada masalah ketuhanan, bersifat spekulatif dan sebagai penjelasan semata-mata kepada buah fikiran ahli falsafah, namun kini orientasi falsafahnya memberikan kepada manusia suatu kefahaman yang menyeluruh mengenai pengalaman hidup manusia di dunia ini dalam segala aspeknya menurut kaca mata kebendaan dan keduniaan.

Maka, sebarang pendapat yang membenarkan ajaran-ajaran teori dan falsafah sosial tersebut sebagai sebahagian daripada panduan yang boleh diterima pakai oleh umat Islam, WAJIBlah ditolak. Tidak boleh sama sekali ia dipakai sebagai asas dan titik tolak pemikiran, keilmuan, amalan atau pembaharuan umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai ajaran yang boleh diutamakan di atas mana-mana aspek dari ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Sesungguhnya kesedaran terhadap ancaman bahaya fahaman-fahaman falsafah tersebut di zaman ini telah pun diperingatkan oleh para ulamak Islam dahulu dan kini dari pelbagai lokasi di dunia. Antaranya adalah :

Sheikh Dr. Yusof al-Qardhawi :

“Sesungguhnya aliran-aliran dan ideologi-ideologi itu pada hakikatnya adalah suatu agama baru, agama-agama yang menolak isi kandungan agama (samawi), tetapi mengambil bentuknya. Ia sesungguhnya mencaci segala apa yang dibawa oleh agama dari perkara-perkara ghaib dan cara berfikir orang-orang yang kuat beragama dan dari keimanan mereka yang kuat lagi membara, akan tetapi dalam waktu yang sama ia mencedok semua ciri-ciri agama itu.”

Maulanan Abu Hassan Ali an-Nadwi :

“Di kebanyakan negara orang-orang Islam hari ini, kita akan dapati sebahagian besar daripada orang-orang yang memegang teraju pemerintahan adalah terdiri daripada pemeluk ajaran baru ini, sungguhpun cara mereka bertaklid pada ajaran tersebut agak berlainan. Boleh jadi antara mereka ini yang mengaku beragama Islam tetapi dengan lisan sahaja, sedangkan perbuatan mereka adalah dipengaruhi oleh falsafah kebendaan dari barat yang menjadi asas penting bagi fahaman tidak bertuhan (mulhid)...yang anehnya, kemurtadan ini tidak disedari oleh para ulamak Islam. Dengan lain perkataan, satu ‘revolusi dalam diam-diam’ telah berlaku dikalangan umat Islam.”

Prof. Dr. HAMKA :

“Ada pula yang mengakui bahawa ajaran dari ideologi itu sesuai dengan Islam, mereka tinggal itu sendiri dan mereka pilih ajaran lain itu.  Padahal kalau mereka berfikir sehat, kalau memang ajaran lain itu sebahagian yang sesuai dengan Islam, mengapa tidak Islam sahaja yang mereka pertahankan? Dan itulah sebabnya maka terdapat kerap kali terdapat orang Islam yang taat mengerjakan solat lima waktu padahal mereka mempertahankan Nasionalisme yang sempit. Itu pun sebabnya, ada ulamak yang berpidato di muka umum dengan mengemukakan beberapa ayat dan hadith Nabi untuk membela sosialisme dan komunisme.”

Hakikat ini perlu kita fahami dengan sebaiknya supaya dapat menyelamatkan diri dan umat Islam daripada kepalsuan dan kesesatan pelbagai teori tersebut yang juga didokong oleh sebahagian intelektual dan ahli politik di negara-negara umat Islam kini.

Ancaman bahaya pelbagai pemikiran di zaman ini, dan dalam keadaan umat Islam sendiri tidak mempunyai kefahaman dan keyakinan yang benar-benar utuh terhadap Islam, menuntut kita semua untuk menghayati Islam serta mempelajari dan memahami falsafah ideologi tersebut bagi menolak kesesatannya.

Wallahua’lam.

Monday, March 26, 2012

Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI)


KENYATAAN MEDIA

Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) adalah sebuah kesatuan yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang dan variasi inspirasi organisasi anak muda untuk membangkitkan kesedaran, menambah pengetahuan dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta partisipasi anak muda terhadap agenda pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang.

INSPIRASI juga adalah sebuah gagasan atau idea daripada komuniti anak muda terhadap pembentukan masa hadapan negara Malaysia yang lebih cemerlang untuk dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

INSPIRASI dengan ini menyatakan kesungguhan untuk memperjuangkan enam gagasan yang meliputi transformasi pendidikan, keadilan undang-undang, ekonomi yang merakyat, jaminan kerjaya, politik bertintegriti dan keharmonian sosial.

Melihat kepada kondisi terkini negara juga, INSPIRASI merasa terpanggil untuk bertindak sebagai kuasa semak imbang kepada parti politik dan suara ketiga dalam pembangunan negara Malaysia serta bergerak dengan pendekatan yang berkonsepkan pendidikan dan mengutamakan pembinaan hubungan dengan pelbagai pihak.

Justeru, bagi menjayakan agenda ini, saya menyeru kepada seluruh anak muda Malaysia untuk bersama dengan INSPIRASI bagi membentuk jaringan dan membina kesatuan dalam kalangan anak muda, mendidik masyarakat, khususnya anak muda terhadap tanggungjawab kenegaraan serta memperkenalkan dan mengenengahkan prinsip dan idea Islam sebagai penyelesaian dan asas kepada pembangunan negara.

Saya yang benar,

EIKHWAN ALI
Pengerusi,
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI).


PRESS STATEMENT

Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) is a youth council which consists of various backgrounds and different organizations’ inspiration aimed to raise awareness, inculcate knowledge as well as to increase the sense of responsibility and youth participation towards the agenda of better improvements and Comprehensive Excellence Future of Malaysia.

INSPIRASI is a youth recommendation or ideas towards the excellence Malaysia's nation building in the future whereas can be enjoy by all Malaysians regardless their races and religion.

Indeed, we firmly declared our full commitment in struggling towards the six ideas which are education transformation, justice of law, economy for citizenry, career prospect, political integration and social stability.

Looking at the country’s current condition, INSPIRASI was called to act as a check and balance entity to a political parties besides being as the third force group which plays role in shaping a better development of Malaysia nation's building. INSPIRASI also outlined an offer for the movement orientation mainly based on the educational concept as well as prioritize relation- engagement with various fellowships.

Hence, in order to ensure the successful of this agenda, I warmly called upon all young Malaysians together we carry this mission by forming a beneficial network and build a strong unity among us which then optimize this synergy to educate the public, particularly the youth regarding the significant of civic consciousness and national responsibility.  Furthermore, we also aimed to highlight and promote Islamic principles and approaches as the essential solution and fundamental guideline in a national development process.

You’re sincere,

EIKHWAN ALI
Chairman, 
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI).


Monday, February 20, 2012

Syria – Kunci Terakhir Kebangkitan Islam...


Lapan bulan sudah berlalu, namun masih tiada tanda ia akan surut. Bumi Syria menjadi saksi kekejaman rejim yang terus berlarutan walaupun siri lontaran suara rakyat dan kecaman antarabangsa terus hebat diadakan.

Di tampuk kuasa, pemerintahnya buta dan tuli rasa kemanusiaan, dan ia bukanlah suatu yang ganjil bagi mereka yang menguasai tampuk kepimpinan secara warisan. Bermula dengan ayahnya, Bashar Al-Assad terus menggasak mereka yang tidak sehaluan dengan citarasanya. Kuakan darah aktivis Ikhwan Muslimin yang bergelimpangan suatu masa dahulu belum berhenti lagi.

Isu pembataian di Syria bukanlah isu yang boleh dianggap terpencil dan lapuk di sisi umat Islam amnya. Sangat aneh jika ia dipandang remeh kerana rakyat tidak berhenti menuntut perkara yang sangat rasional iaitu hak keadilan dan layanan kemanusiaan. Hanya bermula dengan tindakan berani sekumpulan kanak-kanak yang menconteng keinginan untuk meruntuhkan kerajaan Syria di muka dinding bangunan, hukuman bunuh menjadi jawapan bagi mereka. Lantas tindakan kejam ini menuntun rakyat amnya bangkit menentang sistem lapuk tirani dan kebobrokan sosialisme Arab.

Teori Domino yang disebut-sebut seusai kebangkitan rakyat di Tunisia mengajak dunia amnya melihat belahan Timur Tengah secara khusus. Baik dari sudut pergolakan politik, kelemahan sistem ekonomi, masalah kadar pengangguran yang meningkat ditambah kelemahan urus tadir kerajaan menjadi faktor utama yang mendorong revolusi Arab. Kebangkitan Arab tidak berhenti di Mesir, ia terus berlarutan ke Yaman dan Syria, namun lain halnya di Syria berbanding Mesir, tiada lagi tanda Bashar Al-Assad akan turun dari kerusi empuknya.

Keadaan diburukkan lagi dengan penempatan tentera di Homs, serangan demi serangan ke atas rakyat terus berlanjutan walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa ia dihentikan. Lebih menyedihkan apabila masjid-masjid dirobohkan dan para penyokong Bashar Al-Assad masih boleh berarak gembira menyambut kedatangan duta Rusia ke negara itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Para ulama’ terkehadapan memimpin kebangkitan rakyat dengan mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat bangkit mempertahankan hak nyawa dan harta benda mereka. Masyarakat dunia Islam harus sedar bahawa kebangkitan rakyat bukanlah penentangan yang semberono sebaliknya ia merupakan kebangkitan akidah. Kanak-kanak dibunuh, para wanita dirogol dan mereka yang keluar memenuhi jalan-jalan raya berwuduk terlebih dahulu sebelum pergi, kerana mereka belum pasti adakah mereka akan pulang atau sebaliknya.

Inilah manifestasi rakyat yang sudah jemu dengan pemerintahan yang mengenyangkan tembolok pemerintah sedangkan rakyat berada dalam paras kemiskinan. Sosialisme Arab yang bertapak lama sudah tidak mahu diterima lagi kerana ia tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya mengaut hak mereka. Dasar sosialisme yang merampas hak individu dan menyamaratakannya dalam kalangan rakyat mencipta jurang yang besar antara rakyat dan pemerintah.

Untuk rakyat, tindakan bersuara merupakan satu dosa yang besar, mereka harus dibunuh sedangkan ironinya hak untuk bersuara dijamin oleh Islam. Hal ini ditunjukkan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Suatu hari seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dia telah dianiaya oleh jirannya. Lalu baginda mengarahkan agar dia meletakkan barang-barangnya di muka jalan berhampiran rumahnya sebagai tindakan protes terhadap jirannya. Apabila orang lalu-lalang, mereka bertanya apakah yang telah berlaku dan apabila hal sebenar diketahui, jirannya berasa malu dan menghentikan tindakannya. Inilah lunas dan alternatif Islam yang membenarkan tindakan protes atas kekejaman yang berlaku.

Allah juga telah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 148 :

“Allah tidak menyukai perkataan yang buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

Ulama’ tafsir menjelaskan “orang yang dizalimi” dalam ayat tersebut boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa tentang keburukan-keburukan orang yang menzaliminya. Lantas, salahkah rakyat Syria menuntut agar Bashar Al-Assad turun dari kerusinya dan menghentikan pembunuhan yang tidak rasional ini? Pastinya dia bukan menumpahkan darah musuh Islam, tetapi darah watannya sendiri dan penderitaan rakyatnya dipendam sejak pemerintahan rejim ayahnya.

Dalam menangani isu ini, seharusnya Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Liga Arab bijak mencari peluang dan solusi dalam menghentikan kekejaman ini tanpa mengharapkan pertolongan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hakikatnya, isu Syria dipandang enteng seolah-olah tidak diambil peduli walaupun jumlah korban makin meningkat. Media massa lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan yang makin panas dibuai gelombang pilihan raya umum baik kelemahan kerajaan negeri, krisis dalaman sesetengah parti politik, soal intergriti ahli politik dan pelbagai ganjaran yang menanti  rakyat selepas pilihan raya nanti.

Bangunkan ufuk minda, darah umat Islam makin deras mengalir di Syria, lupakah diri pada sabda Rasulullah (saw) :

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sama seperti dia mencintai dirinya.”

Isu Syria tidak tertakluk kepada rakyatnya sahaja, sebaliknya ia merupakan isu bersama umat Islam amnya, apatah lagi ia membabitkan pegangan akidah dan siri kekejaman yang tidak kunjung padam. Revolusi dunia Arab dan kebangkitan rakyatnya tidak harus dipandang sepi lantaran ia memacu semangat kesedaran baru menolak kelemahan sistem ciptaan manusia, yang mana ia tidak menjamin keadilan yang sebenar sebaliknya menawarkan penindasan terhadap rakyat.

Hak bersuara dihalang, nilai nyawa menjadi murah dan perlindungan hak sosial serta kebajikan rakyat terabai mendorong rakyat menolak kerajaan yang korup dan zalim. Dunia Arab dan Asia berkongsi rasa yang sama, disapa angin Islam yang menjadi tali pengikat hubungan ukhwah Islamiah. Maka sudah sampai masanya ia diperkemaskan dan diikat kuat agar ia tidak putus lagi menerusi sokongan dan bantuan yang berterusan. Syria – kunci akhir kebangkitan Islam...akan tiba masanya Islam menang!


Thursday, February 9, 2012

HIMPUNAN AMAN SELAMATKAN SYIRIA


Walaupun Bashar al-Assad dikatakan sudah menghentikan serangan tentera, namun sehingga minggu lalu keganasan terus berlaku. Terkini, serangan askar kerajaan ke atas bandar Homs dan beberapa kawasan kejiranan, telah mengorbankan tidak kurang 200 orang. 

Ikrar Bashar al-Assad untuk mempertahankan kuasanya dengan kekerasan tentera menjadikan Syiria kini kekal satu-satunya negara Arab yang terus bergolak sejak tercetus ‘Arab Spring’ sehingga berakhirnya krisis politik di Yaman dengan berundurnya Presiden Ali Abdullah Saleh. 

Gabugan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat yang prihatin untuk turut serta dalam himpunan aman yang akan diadakan pada hari esok (10 Februari), selepas solat Jumaat, di hadapan Kedutaan Syiria, Jalan U Thant, bagi menyatakan bantahan dan kecaman ke atas pembunuhan rakyat Syiria oleh regim Bashar al-Assad yang kian semakin meruncing. 

GAMIS juga menuntut supaya, kerajaan Malaysia segera memanggil sidang tergempar Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bagi menyelesaikan krisis di Syiria. GAMIS berpandangan, Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatan-nya, gagal menyelesaikan kemelut tersebut berikutan dua kuasa veto dunia, Rusia dan China telah memilih untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan PBB terhadap Syiria. 

Perhimpunan di hari ‘sayyidul ayyam’ esok sebagai bukti solidariti umat Islam, beserta doa yang akan dipanjatkan sebagai bukti kebergantungan hamba kepada sang Khaliq, pasti bukan suatu yang sia-sia. Ayuh kita berhimpun! 

EIKHWAN ALI 
Naib Presiden GAMIS